Resepi Jeput Malas Yang Rangup Di Luar Lembut Di Dalam | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Tiba hari minggu pasti fikiran ligat memikirkan menu untuk dihidangkan kepada keluarga tersayang kan? Hari minggu tak sama dengan hari-hari biasa kerana hari biasa Sha hanya berpeluang masak makan malam sahaja untuk suami dan anak-anak. Manakala hari minggu sarapan, makan tengah hari dan makan malam semuanya perlu disediakan.
Baru-baru ini Sha balik kampung di Terengganu, jadi feeling makan makanan Pantai Timur masih panas. Bekalan pencicah yang dibeli khas dari Terengganu kenalah ada sesuatu yang sesuai untuk dinikmati. Makan terjadilah cucur sayur atau jeput malas kalau orang Pantai Timur panggil.
Walaupun namanya "Jeput Malas" tapi tetap perlu rajin untuk menyediakannya. Bahan-bahan pun bukanlah tepung segera yang hanya perlu dicampur air dan terus goreng sahaja.
Resepi Jeput Malas Yang Rangup Di Luar Lembut Di Dalam
Bahan-bahan untuk membuat cucur ini sangatlah mudah, dan penuh dengan khasiat kerana dimasukkan dengan beberapa jenis sayur. Mungkin ada bahan yang korang tak pernah letak dalam cucur korang sebelum ini, jadi jom kita tengok apa yang ada dalam Jeput malas versi Sha ini.
Bahan-bahan yang Sha masukkan juga berdasarkan pemerhatian Sha selama arwah Mak membuat jeput malas untuk kami sekeluarga pada suatu masa dahulu.
Bahan-bahan Masak Cucur
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu garam
1 cekak sayur kangkung
1/2 batang lobak merah (dipotong lebih kurang 5 cm dan di hiris halus)
2 biji bawang merah dimayang halus
1 genggam udang saiz kecil
2 cawan air suam ( sesuaikan kepekatan, tak nak terlalu cair )
Cara-Cara Buat Cucur Atau Jeput Malas
Cara-cara untuk membuat jeput malas atau cucur ini sangatlah mudah ya sahabat semua. Korang hanya perlu campurkan semua bahan di dalam satu bekas.
Air merupakan bahan yang paling akhir, masukkan air kemudian kacau sehingga semua bahan sebati.
Pastikan bancuhan tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair.
Panaskan 2 cawan minyak, bila minyak betul-betul panas barulah masukkan aduan tadi.
Sha gunakan sudip nasi sahaja untuk saiz cucur yang dikehendaki.
Apabila cucur korang sudah bertukar warna kecoklatan, korang boleh angkat cucur.
Sebelum hidang korang boleh potong kecil terlebih dahulu (saiz satu suapan)
Hasil Selepas Membuat Jeput Malas
Sebenarnya apa yang best bila buat jeput malas ini, anak-anak secara tidak langsung akan makan sayur tanpa paksaan. Tambah pula di makan bersama sos pencicah yang lebih tepat adalah colek keropok yang berwarna merah pekat.
Apa lagi, nanti korang cubalah buat untuk minum petang bersama keluarga tersayang. Tambah pula cucur ini rangup di luar dan lembut di dalam.
0 Comments
Terima Kasih Daun Keladi