Hotel Casuarina@Meru Lancar Promosi Makanan Tradisi Perak Sempena Tahun Melawat Perak 2024 | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Pada 17 November 2023 (Jumaat) Sha sempat ke Casuarina@Meru untuk bersama-sama dengan pihak mereka untuk perasmian Promosi Makanan Tradisi Perak.
Berbaki hanya sebulan lebih kita akan memasuki tahun baharu tahun 2024, Hotel Casuarina@Meru telah mengambil langkah awal dengan membuat promosi ini sempena Tahun Melawat perak 2024.
Selain mempunyai kemudahan penginapan yang luas dan selesa, moden serta perkhidmatan yang cemerlang, Hotel Casuarina@Meru juga terletak di kawasan strategik berhampiran dengan tarikan popular dan kemudahan penting lain disekitarnya.
Jadi selain perlu tahu tentang kemudahan yang ada di Hotel Casuarina@Meru, korang juga perlu pertimbangkan apa yang pihak hotel sedang anjurkan supaya percutian korang ke negeri Perak seronok dan memberi kenangan yang manis terutamanya bab makan.
Promosi Makanan Tradisi Perak Sempena Tahun Melawat Perak 2024 Di Hotel Casuarina@Meru
Majlis ini telah dirasmikan oleh YAB Menteri besar Perak, Dato' Seri Saarani Bin Mohamad dan diharap dapat mengetengahkan warisan kulinari warisan dan budaya negeri Perak serta mampu menarik pelancong untuk berkunjung ke negeri ini.
Sabrina Ahmad Tah yang bertindak sebagai Pengurus Besar Hotel Casuarina@Meru mengatakan promosi ini merupakan salah satu komitmen Hotel Casuarina@Meru kepada pengunjung untuk menikmati keaslian cita rasa dan sajian masakan negeri Perak.
Selera Perak Dalam Bentuk Set Talam
Semalam Sha sempat mencuba lauk pauk yang memang masakan popular di negeri Perak. Ianya dihidangkan dalam bentuk "Set Talam". Kebetulan sebelah Sha seorang berbangsa cina dan beliau tidak berapa faham apa itu talam, jadi Sha tunjukkan apakah itu talam iaitu satu benda bulat yang kita letakkan lauk pauk diatasnya.
Jadi semalam memang puas makan nasi putih dengan lauk pauk yang ada. Di sini Sha senarai untuk korang yang suka makan makanan Melayu terutamanya masakan Perak.
Set Talam Masakan Tradisi Perak Di Hotel Casuarina@Perak
- Ikan Patin Masak Tempoyak
- Rendang Tok
- Sambal Tempoyak Pucuk Ubi dan Ikan Bilis
- Ikan Loma Pekasam
- Sambal Petai Sotong
- Kari Ikan Sembilang
- Daging Masak Hitam
- Kulat Sisir Bersama Pucuk Paku Goreng
- Rendang Pedas Daging
- Masak Lemak Nangka
- Ulam-ulaman Kampung seperti jering, petai dan sebagainya.
Macam mana? Korang yang suka makan makanan tradisi Sha yakin korang dah kecur air liur bukan? Korang bayangkanlah Sha saat menunggu saat dapat menikmatinya setelah dihidangkan. Dapat pula nikmatinya di hotel bertaraf empat bintang di Ipoh Perak ini.
Tidak sah rasanya jika makan tanpa ada pemanis mulut selepas makan kan? Sha sempat makan Bubur Anak Lebah, Kuih Limas dan Kuih Cecemek. Selain itu terdapat Puteri Mandi dan pelbagai lagi kuih muih tradisi.
Kalau korang nak tahu, Kuih Cecemek adalah kuih negeri Perak kegemaran Sha. Macam mana Sha boleh kenal kuih ini? Ada seorang rakan sekerja yang kadang-kadang bawa kuih ini ke pejabat jika ibu beliau buat. Maklumlah kerja di negeri Perak kenalah cuba kuih tradisinya.
Sajian Yang Bakal Disajikan Tidak Lama Lagi
Difahamkan juga selepas ini akan ada aneka menu menarik dan lebih istimewa bakal disajikan di masa akan datang yang mana akan mengetengahkan pelbagai menu mengikut daerah di negeri Perak seperti Laksa Mee, Laksa Tepung Gandum, Mee Udang, Gulai Daging Pisang Muda, Gulai Lemak Nangka Muda, Gulai Siput Sedut, Telur Dadar Kulat Sisir, Rendang Udang, Ikan Bawal Masak Gulai Asam dan banyak lagi.
Tempoh Promosi Makanan Tradisi Perak Hotel Casuarina@Meru
Untuk pengetahuan korang semua, 'Set Talam' ini telah bermula sejak bulan September 2023 yang lepas dan akan berlangsung sehingga menjelang tahun 2024 bersempena Tahun Melawat Perak 2024.
Hidangan 'Set Talam' melalui promosi ini adalah berharga RM60.00 dan sesuai untuk hidangan dua orang.
Untuk maklumat lebih lanjut berkaitan promosi ini dan acara lain yang akan berlangsung sempena Tahun Melawat Perak 2024 korang boleh sahaja menghubungi pihak Hotel Casuarina@Meru melalui Pengurus Komunikasi Pemasaran mereka iaitu Puan Nur Shafeena Yusoff Khan di emel nurshafeena@casuarinahotels.com.my atau talian 016-2167634.
1 Comments
bestnya makanan tradisi Perak, kena cuba. Suka makan sambal tempoyak.
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi