Akhirnya Mak Dijemput Ilahi Selepas Beberapa Tahun Menanggung Sakit

Akhirnya Mak Dijemput Ilahi Selepas Beberapa Tahun Menanggung Sakit | Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua. Hari ini merupakan hari ke 10 bonda Sha telah dijemput Ilahi. Tak kuat untuk bercerita lebih tentang pemergian Mak pada 11 November 2021 (Khamis) yang lepas. Walaubagaimanapun Sha sangat bersyukur ke hadrat Ilahi kerana urusan pengebumian kedua-dua orang tua Sha telah dipermudahkan.





Akhirnya Mak Dijemput Ilahi Selepas Beberapa Tahun Menanggung Sakit


Untuk pengetahuan korang, Mak Sha telah dimasukkan ke wad pada hari rabu selepas adik-adik Sha mendapati Mak tidak bermaya seperti biasa. Adik Sha membawa Mak ke Unit Kecemasan Hospital Besut lebih kurang pukul 1.00 pagi dan dimasukkan ke wad hampir pada waktu subuh. Kali ini agak pelik kerana sukar untuk  memasukkan ubat seperti biasa disebabkan jururawat tidak dapat cucuk jarum pada Mak.

Oleh kerana keadaan Mak yang ada batuk dan hasil imbasan paru-paru menunjukkan keadaan tak berapa ok, Mak ditempatkan di wad saringan sementara menunggu keputusan ujian covid-19. Bila berada diwad sebegini Mak hanya dibenarkan dijaga oleh seorang penjaga sahaja. Memandangkan adik Sha, Tina mempunyai kelas jadi tugas menjaga Mak dipertanggungjawabkan ke atas adik bongsu Sha.

Waktu malamnya adik bongsu Sha meluahkan rasa takut untuk menjaga Mak sorang-sorang kerana Mak lemah tak macam biasa, oksigen juga dipakaikan sepanjang masa. Bila adik rehat dan tidur, maka tak adalah update dari adik. Sha faham apa ketakutan yang adik maksudkan tapi biasalah kami sebagai anak tak bersedia pun untuk kehilangan Mak.

Kesihatan Mak Makin Merudum


Keesokkannya adik cakap Mak masih lemah, tidak selera nak makan. Masuk waktu tengahari adik maklum tangan Mak membengkak sepertinya air berkumpul disitu. Tidak lama selepas itu doktor memaklumkan mereka tidak dapat membuat rawatan seterusnya memandangkan badan Mak sudah tida memberi respon yang baik.

Jururawat yang ada juga telah memberi pilihan untuk menidurkan Mak, tetapi peluang amat tipis. Sha sebagai kakak sulung hanya bersetuju dengan jururawat dan reda Mak dijemput Ilahi dan tak mahu Mak menanggung kesakitan lagi. Semua maklum proses ditidurkan amat menyakitkan pesakit tambah pula Mak mungkin ditidurkan secara terbalik (terlentang).

Sebab Mak Meninggal Dunia.


Sebenarnya Mak telah didiagnosis dengan sakit buah pinggang tahap 5. Mak pun dalam proses untuk buat dialisis tetapi semuanya tidak sempat dilakukan. Sakit Mak bermula daripada masalah diabetes (kencing manis) daripada muda lagi. Kedua-dua kaki Mak pun dah tak ada sejak tahun 2019 dan 2020. Sejak dari itu ulang alik ke hospital untuk ambil suntikan mencairkan darah di bahagian dialisis Hospital Besut.

Kali ini Mak dimasukkan ke wad akibat bacaan garam dalam darah tinggi dan paru-paru berair. Akhirnya lebih kurang pukul 4.15 petang hari khamis Mak menghembuskan nafas terakhir dengan kegagalan buah pinggang kronik.

Mak pergi dalam pelukan adik bongsu Sha. Adik peluk dan bimbing Mak untuk ingat Maha Pencipta, Alhamdulillah ada menemani. Seorang lagi adik Sha tidak dibenarkan masuk memandangkan wad saringan dijaga ketat. Jenazah Mak juga hanya dibenarkan keluar wad setelah mendapat keputusan swab test covid-19.

Pengurusan Jenazah Mak


Dalam perjalanan balik ke kampung suami Sha ada maklum pada Sha, ketika kami pulang ke kampung minggu lepas Mak ada buat pesanan pada menantunya. Pesanan Mak jika Mak meninggal di hospital biarlah Mak dibawa pulang ke rumah dengan keadaaan yang sudah siap supaya tidak menyusahkan sesiapa dirumah.

Urusan jenazah sangat dipermudahkan, kami dipertemukan dengan pihak pengurusan jenazah di Besut yang mana mereka menguruskan dari mandi, kafan dan kebumi. Allah SWT susun cantik pemergian Mak.

Sempat Jumpa Mak Sebelum Ke Kubur


" Mok Xdok Doh"

Mesej pendek daripada adik bongsu Sha. Waktu itu Sha baru sahaja bertolak dari rumah, belum pun masuk lebuh raya. Sha yang pada mula bertenang kerana adik maklum bacaan gula Mak ok, jantung Mak ok berdoa dalam hati supaya Sha sempat jumpa Mak. Dunia Sha saat itu seakan dejavu waktu arwah ayah Sha nazak di kampung. Tetapi kali ini Allah SWT tak izin Sha berada di sisi Mak buat kali akhir seperti ayah dulu.

Seakan tersusun elok dengan waktu, pihak pengurusan jenazah mahu kebumikan Mak pada pukul 10.00 malam. Alhamdulillah Sha sekeluarga sempat jumpa Mak, tengok Mak, cium Mak sebelum Mak di usung keluar dari rumah kami.

Lemah Semangat Rasanya


Pagi itu Sha sempat makan mee goreng yang dibeli selepas hantar Adik Nur ke sekolah pagi itu. Masuk tengahari Sha dah mula nak memasak untuk masak tengahari dan ambil Adik Nur balik sekolah. Kemudian barulah Sha dapat panggilan dari adik maklumkan Mak dah 50-50 barulah Sha call suami ajak balik kampung. Sementara tunggu suami balik, Sha mengemas pakaian untuk balik kampung dan terus siapkan makan tengahari untuk anak. Bila suami sampai kami terus bersiap dan bertolak. Sha lupa sudah untuk makan, tapi bungkus semuanya dengan harapan dapatlah makan dipertengahan perjalanan.



Akibat tak makan, sakit kepala menyerang. Kebetulan suami singgah isi minyak, Sha minta izin makan sedikit untuk hilangkan lapar teramat. Maka makanlah kami beberapa suap untuk alas perut dan sambung perjalanan. Jalan yang kami lalui terasa sangat jauh. Tapi Alhamdulillah Sha bersyukur kerana kami sempat sampai. 

Terasa tak berdaya bila melangkah naik ke rumah, rumah terang Sha tak perasan siapa ada di sana waktu itu mata Sha hanya terpacak pada insan kesayangan kaku dalam kafan putih suci bersih. 

Sha capai tangan Mak Cik Sha, tak ada kekuatan nak berjalan terus... 

Berlutut di tepi Mak... tak mampu nak buka kain menutupi wajah Mak....

Sha tak pasti siapa tolong bukakan...

Sha tatap wajah Mak buat kali akhir...

Bergetar rasanya jari jemari menyentuh wajah mak..

Ya Allah.. cantiknya Mak akuu...

Berseri... Senyum indah

Hilang segala wajah sakit Mak selama ini...

Mak.. Kak Ma reda Mak pergiii....

Bergegar rasa di dada menahan sebak...

Aku cium Makkk.. sejukkkk.....


Kumpul Kekuatan Untuk Bangun


Sha bangun dan bantu menutup kembali wajah Mak. Sha iring Mak hingga ke tanah perkuburan. Terima kasih suami, pak cik mak cik, orang kampung dan yang lain dalam urusan pengebumian Mak malam itu. Sha betul-betul reda dengan pemergian Mak... Kami tak sanggup dah tengok Mak tanggung sakit bertahun-tahun, keluar masuk wad. Mak lah wanita yang punya semangat paling kuat Kak Ma kenal...



Kak Ma dan adik-adik akan doakan Mak dan Ayah di sana selalu .. InsyaAllah.

Post a Comment

12 Comments

  1. Salam takziah.
    Menghadapi saat pemergian orang yang tersayang memang sangat meruntun hati. Mudah-mudahan roh arwah emak ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. In syaa Allah.

    ReplyDelete
  2. Salam takziah buat sha sekeluarga. Moga tabah dan redha dengan ujian ini..

    ReplyDelete
  3. salam takziah dan saya doakan roh arwah tenang untuk ditempatkan bersama-sama orang beriman...aamiin

    AL-FATIHAH

    ReplyDelete
  4. Innalillahiwainna ilaihirojiuuunnn.. bergetar dada menahan sebak, salam takziah, Sha.

    ReplyDelete
  5. Semoga roh arwah mak Sha ditempatkan dikalangan hamba Allah yang beriman..Aamiin!

    ReplyDelete
  6. innalillahiwainnailahirojiunn... sebak ammi membacanya.
    Ammi dan adik beradik tak berpeluang pun tatap muka mama buat kali terakhir.. :(.

    semoga Arwah mak sha ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

    ReplyDelete
  7. Salam Takziah Sha...semoga arwah tenang di sana...amin...

    ReplyDelete
  8. Salam takziah. Semoga arwah tenang di sana

    ReplyDelete
  9. Allah sha ..menitik air mata kwani baca ni; :(.. rindu yang yang tak boleh nak diungkapkan dengan kata2 dah bila insan yg paling kita sayang dah tinggalkan kita. Semoga sha dan adik2 terus kuat dan semoga Allah tempatkan arwah mak n ayah sha dikalangan orang yang beriman dan soleh.

    ReplyDelete
  10. salam takziah shalimar. Moga mak sha ditempatkan dikalangan para solihin. aamiin

    ReplyDelete
  11. Salam takziah kak, nilah rindu yg paling berat sekali. Om tak sedia nk kehilangan parents.. Semoga mak kak sha ditempatkan dikalangan para solihin.

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi