Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir Dengan Isi Kerang Yang Menyelerakan

Resepi Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir Dengan Isi Kerang | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Sebulan yang lepas, Sha hadir di suatu program bersama klien dan pemimpin masyarakat. Selepas selesai tugas, Sha dan kawan-kawan yang lain tak makan makanan yang disediakan oleh pihak penganjur. Tak makan bukan sebab apa, sebab ramai jadi tak nak lah berhimpit-himpit untuk makan kenalah jaga SOP kan. Kami ambil keputusan untuk makan bila balik ke pejabat sahaja. Apabila orang ramai dah siap makan, kami pun dah masuk ke dalam kenderaan untuk balik. Tiba-tiba penghulu kawasan berkenaan yang boleh dikatakan tuan rumah bersama pengarah jabatan Sha sendiri telah menjemput kami untuk turun semula dan menjamah juadah yang ada. Jadi kami pun turunlah bagi menghormati mereka.

Sebenarnya Sha memang suka kalau buat program di kawasan sini sebabnya tahu kebiasaan makanan disediakan sedap-sedap. Alhamdulillah, memang rezeki kami lauk-pauk memang banyak lagi. Untungnya kami makan dengan hidangan khas untuk kami tanpa beratur. Jadi dapatlah kami makan dengan selesa dan tanpa segan. Ahhahaa... Tengok hidangan pun dah tahu sedap, ada ikan kukus goreng dan masak lemak. Katanya akak tukang masak, semua lauk adalah mengikut kesukaan Yang Berhormat (YB)yang hadir tadi.  Kalau macam ni punya lauk, bukan setakat YB suka kak, kami pun suka. Itulah kali pertama Sha makan Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir dengan Isi Kerang. Memang bertambah-tambah la Sha makan. Rasa dia pun teringat-ingat sampai rumah.



Rezeki bulan puasa baru Sha dapat masak sendiri gulai lemak kulat sisir atau cendawan kukur tu. Masa mula-mula nak makan tu Sha tanya "Ini masak lemak apa?" "Ni masak lemak shisho" katanya akak tukang masak. Shisho tu apa la pulak, rupanya Kulat Sisir...huhuhu.. Hari ahad ada pasar pagi kat tempat tinggal Sha, jadi memang dah target nak masak Masak Lemak Cili Api Kulat Sisir dengan Isi Kerang. Alhamdulillah, selepas hampir putus asa sebab tak jumpa kulat Sha belilah pucuk paku sebagai ganti. Tapi Sha cuba juga ke kedai akhir, dengan harapan ada rezeki. Akhirnya ketemu juga Sha dengan kulat sisir yang hanya tinggal sepinggan sahaja. Rezeki pagi itu dapatlah kerang segar dan kulat sisir. Sha simpan resepinya kat sini dulu ya, nanti nak masak lagi.

Resepi Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir Dengan Isi Kerang



2 cawan kulat sisir / cendawan kukur
1 kg kerang segar
5 biji cili hijau
1 biji cili padi ( Sha nak tambah pedas )
1 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 batang serai
500 gram santan segar
1 keping asam keping
Garam
Gula

Cara-cara memasak Masak Lemak Cili Api Kulat Sisir / Cendawan Kukur




1. Cuci dan rebus terlebih dahulu kerang dengan sedikit garam. Selepas sejuk, ambil isi kerang sahaja.
 
2. Kulat sisir atau cendawan direndam di dalam air bersama dengan sedikit garam. Selepas nampak kulat dah lembut, cuci dan toskan.

3. Masukkan santan ke dalam periuk diukuti dengan cili hijau, cili padi,bawang merah, bawang putih dan kunyit yang telah di kisar. Buka api dapur.

4. Kacau santan dengan bahan kisar hingga sebati.

5. Kemudian masukan serai yang telah diketuk dan juga asam keping.

6. Masukkan kulat dan isi kerang yang telah kita rebus dan ambil isinya tadi.

7. Perasakan dengan garam dan gula.

8. Jangan tinggal periuk, pastikan kuahnya dikacau supaya tidak berketul.


Untuk hidangan Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir ini Sha padankan dengan ikan rebus goreng dan juga budu. Memang menambahlah nasi, nasib baik Sha lebihkan sikit sahaja kalau tak bahaya lagi banyak kali ceduk nasi..hihihihi.


Macam korang nampak dalam gambar tu ada nampak hijau-hijau kan. Itu gambar semasa sahur, lauk ada lebih lagi. Memandangkan kulat sisir dah habis, Sha tambahkan pucuk paku dan baki isi kerang yang ada. Jadi berbuka dengan Masak Lemak Cili Padi Kulat Sisir, manakala bersahur dah jadi Masak Lemak Cili Padi Pucuk Paku dengan isi kerang.

Paling best, suami dan anak-anak berselera menikmati kuah masak lemak dan isi kerang yang segar itu. Lepas ini kena masak lagi la nampak gayanya.

Post a Comment

3 Comments

  1. Ingatkan shisho tu bahan masakan dari Jepun.... rupanya sisir, kulat sisir. Memang sedap sangat tu dapat makan nasi lauk lemak cili padi kulat sisir dengan isi kerang. Dua-dua sedap, kulat sisir dan pucuk paku!

    ReplyDelete
  2. banyak nama cendawan ini.cendawan kukur @ kulat sisir @ shisho ( loghat kelate nie eh )

    kena cari kulat sisir camni. tapi dimana nak cari kat shah alam nie? blur jap hehehe

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi