Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Nasi Air Pantai Timur Yang Sedap Dan Menyelerakan


Resepi Nasi Air Pantai Timur | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Kebiasaanya sebelum terjadinya pandemik covid-19 Sha akan pulang ke kampung untuk menjenguk mak, adik-adik dan saudara mara. Bila dah balik kampung mestilah wajib lepak makan minum dikedai kegemaran Sha. Bila dah berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga demi kesihatan Mak di kampung, Sha tidak berani mengambil risiko untuk pulang ke kampung buat masa ini.
 
Bila sudah kebanyakan masa adalah berada dirumah, pastinya rasa tertekan juga memikirkan juadah untuk suami dan anak-anak. Semalam tiba-tiba teringin sangat nak makan nasi air. Walaupun di tempat Sha tinggal ada kedai makan siam ( tak banyak yang buka sekarang ) tapi kebanyakkan tak ada menu Nasi Air. Jadi Sha membuat keputusan untuk memasak sendiri Nasi Air Pantai Timur. Sambil membayangkan nasi air tersedap di kampung yang Sha pernah makan, Sha cuba melengkapkan resepi nasi air terengganu ni secukupnya. Oklah jom, tengok nasi air versi kesukaan Sha walaupun tak lengkap.




Resepi Nasi Air Pantai Timur Yang Sedap Dan Menyelerakan


Sha pernah cuba makan nasi air yang ada berdekatan pejabat Sha tetapi nasinya terlalu lembik dan tidak menepati rasa yang Sha mahukan. Selepas itu memang Sha tak makan nasi air kecuali bila balik kampung. Jadi kat sini Sha nak kongsikan resepi nasi air pantai timur yang sedap dan mudah disediakan. Bukannya apa, letak resepi kat blog sendiri nanti sendiri juga yang baca..huhu... Sebelum Sha lupa Sha siapkan bahan-bahan yang Sha gunakan untuk masak nasi air.


BAHAN-BAHAN UNTUK KUAH NASI AIR


6 ulas bawang putih ditumbuk hancur
1 inci halia muda diketuk
Daging sebesar penumbuk dihiris nipis
Air
1 kiub ayam
Garam
2 sudu kicap
1 sudu besar sos ikan
1 akar daun sup
2 batang serai diketuk

Cara masak kuah nasi air yang sedap

1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih bersama halia yang diketuk tadi.
2. Masukkan air
3. Masukkan daging yang telah dihiris
4. Masukkan serai dan akar daun sup
5. Masukkan perasa iaitu kiub ayam , garam, kicap dan sos ikan.
6. Reneh kuah sup nasi air sehingga masak harum.

NASI LEMBIK


Sha masak nasi lembik menggunakan periuk nasi elektrik biasa sahaja. Untuk 4 orang makan, Sha masak 2 cawan beras.
 
  • 2 cawan beras yang dibersihkan.
  • 7 cawan air.
 
Tanak sehingga nasi masak, kacau sedikit. Apabila nasi masak, terus tutup suis dan sejukkan nasi lembik tadi.
 

BAHAN-BAHAN LAIN UNTUK NASI AIR



  • 2 ketul isi ayam direbus. Kemudian dicarik-carik isinya. Letak dalam 1 mangkuk
 
  • Lampung/ Paru yang telah dihiris nipis. Goreng garing.
 
  • Hirisan daun bawang dan daun sup
 
  • 6 biji bawang putih dipotong dadu. Kemudian panaskan minyak, goreng bawang putih untuk dapatkan minyak bawang putih. Goreng sekejap hingga naik bau harum bawang putih. Sejukkan di dalam mangkuk. Minyak bawang putih sedapkan nasi air.

  • Hirisan limau nipis

  • Air Cili. Kisar 2 biji cili merah bersama 3 biji cili api, 1 sudu kecil garam, 2 sudu kecil gula dan 1 sudu besar cuka.

  • Kalau ada cili jeruk lagi sedap.
Akhir sekali kita dah boleh makan, letak semua bahan seperti yang Sha tunjukkan dalam gambar. Memandangkan Sha sudah ada bermacam lauk di dalam nasi air Sha jadi Sha tak tambah apa-apa lagi kerana itu sudah mencukupi. Begitulah cara buat nasi air terengganu yang sedap mengikut citarasa Sha yang memang penggemar nasi air.

Selain daging, isi ayam dan paru goreng kita boleh letak hirisan perut lembut yang telah direbus. Kalau di kampung Sha suka mencuba beberapa kedai. Selepas mencuba kita boleh tahu mana satu kedai yang menggunakan paru atau perut sebagai lauk tambahan. Sebab itulah Sha akan ke kedai tersebut mengikut keinginan semasa Sha.



Baru-baru ini semasa sedang scroll status-status whatapps kontak di telefon bimbit, Sha terpandang satu status yang meletakkan gambar nasi air. Status itu adalah status salah seorang klien Sha, terus Sha komen status beliau. Katanya "sedap puan, kawan saya bagi tadi. Ini nasi air pantai timur puan". Rasa nak luku-luku je klien Sha tu, takkan tak perasan selama ini Sha bercakap masih slang pantai timur. ehehehe.. Sha terus beritahu dia, kalau ke pantai timur beritahu nanti saya syorkan kedai nasi air sedap di Besut kat mana lokasinya. Barulah dia tahu Sha orang Pantai Timur.
 
Kebiasaanya jika di kedai makan di Besut, nasi air juga akan ditabur dengan ikan bilis goreng. Tetapi memandangkan anak-anak tak suka ikan bilis jadi Sha tak letak ikan bilis. Kalau letak lagi meriah nasi air Sha ni. Pendek kata inilah antara pilihan lauk yang korang boleh letak dalam nasi air iaitu ayam, daging, paru, perut lembu dan ikan bilis goreng. Jadi jika korang terasa rindu nak balik kampung, korang boleh cuba resepi nasi air sedap pantai timur ni.
 

Post a Comment

6 Comments

  1. Nampak sedap laaa...boleh la cuba next time...

    ReplyDelete
  2. sedapnya kalau makan nasi air mcm ni

    ReplyDelete
  3. sedapnya. Lama tak makan nasi air. Rindunya nak makan nasi air kat kampung. Resepi kat sini lagi mudah daripada yang orang share kat facebook. Nak try la nanti

    ReplyDelete
  4. Pertama kali baca betul2 resepi nasi air, selama ni ingatkan nasi air tu, bubur nasi dimakan dengan sup rupa2nya ia ada resepi istimewa

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi