PERUTUSAN KETUA PENGARAH AADK SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2018 - SHALIMAR YUSOF


Wednesday, February 21, 2018

PERUTUSAN KETUA PENGARAH AADK SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2018

SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN | 19 FEBRUARI 2018 | Setiap tahun Agensi Antidadah Kebangsaan akan menyambut Hari Antidadah Kebangsaan. Sempena dengan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang ke-35 pada 19 Februari lepas, YBhg. Dato' Dr. Ketua Pengarah telah mengeluarkan perutusan dalam memberikan amanat berhubung peringatan tentang tanggungjawab kita sebagai masyarakat yang berada dalam komuniti bagi sama-sama membantu menangani permasalahan dadah di negara ini. Ini sejajar dengan  tema  sambutan pada tahun ini iaitu 'Komuniti Kita Tanggungjawab Kita'.

PERUTUSAN KETUA PENGARAH

AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN KE -35

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta ini. Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita rasai dan pelbagai cabaran juga telah kita atasi demi menjadikan kita bangsa Malaysia yang matang dan berani menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Namun demikian kejayaan yang dinikmati pada hari ini tidak akan berkekalan sekiranya negara terus dibelenggu dengan masalah sosial khasnya penagihan dadah. Sesungguhnya dalam memacu pembangunan negara, kerajaan tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar dari pelbagai masalah sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan moral seperti masalah penagihan dadah. Oleh demikian, saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri menganjurkan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Sambutan Hari Antidadah
Kebangsaan di sambut pada 19 Februari setiap tahun bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah kepada negara.
Tema Hari Antidadah Tahun ini ialah “Komuniti Kita Tanggungjawab Kita” memberi makna yang cukup besar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama bagi memastikan komuniti tempat tinggal kita selamat dan bebas daripada permasalahan dadah. Masyarakat atau komuniti ialah kelompok manusia yang paling hampir di tempat tinggal kita . Segala perkara tentang diri, ahli keluarga, harta benda dan kerjaya terlebih dahulu diketahui oleh mereka. Oleh sebab itu, masyarakat ialah orang yang paling dekat untuk meminta pertolongan ketika ditimpa bencana atau musibah. Justeru itu, ahli masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata. Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yangberupaya menghindari berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam masyarakat. Memetik ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak dalam ucapan beliau dalam siri ucapan Hari Antidadah Kebangsaan yang lalu, beliau menyeru masyarakat perlu mengelak daripada bersikap 'not me syndrome', sebaliknya bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah di komuniti masing-masing. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah. Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala dadah. "Masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja, ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang”. Kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan-amalan terbaik dan 'evidence-based'.
Sehubungan dengan itu pada 29 November 2017 YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Merangkap Menteri Dalam Negeri telah melancarkan Dasar Dadah Negara. Matlamat Dasar Dadah Negara adalah untuk mewujudkan Negara dan bangsa Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional melalui (5) lima teras iaitu, Pendidikan Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan, Pengurangan Kemudaratan dan Kerjasama Antarabangsa.
Akhir kata, pada sambutan Hari Antidadah Kebangsaan pada tahun ini saya menegaskan bahawa Komuniti Kita Tanggungjawab Kita. Oleh itu marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan komuniti kita selamat dari ancaman dadah dan anak-anak kita dapat membesar dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya.

Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
KETUA PENGARAH
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN

1 comment:

  1. Bersama kita membanteras gejala dadah hingga akar umbi...

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi