Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Cili Jeruk Sedap Dan Tahan Lama

Resepi Cili Jeruk Sedap Dan Tahan Lama | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

2 minggu lepas Sha sempat mengadakan jamuan raya kecil-kecilan, pendeka kata jamuan raya tertutup sahaja. Maklumlah tak berapa pandai masak dan tak yakin sebab sebelum ini Sha sekeluarga tak pernah jemput orang datang rumah dan rumah pun jarang orang datang.

Jadi kali ini kami sepakat nak memeriahkan rumah kecil kami dengan menjemput jiran sebelah menyebelah, adik beradik suami yang dekat, sepupu rapat Sha yang berdekatan dan juga kawan-kawan terdekat dengan kediaman kami. Bila kira-kira lebih kurang 13 keluarga yang sudi hadir, Alhamdulillah.

Syukur Alhamdulillah makanan pun mencukupi buat tetamu yang hadir. Sha pun masak sendiri-sendiri sahaja, jadi tak adalah masak banyak kan.  Untuk jamuan kali pertama ini Sha masak Nasi dagang Terengganu, Mee Celup, suami masak rendang jadi kita buat nasi impit sikit.

Bila dah ada menu celup wajiblah ada bahan paling melengkapkan rasa iaitu cili jeruk. Sebelum ini Sha buat cili jeruk tidak berapa menjadi, tapi kali ini Alhamdulillah sedap.


Resepi Cili Jeruk Sedap Dan Tahan Lama

Resepi yang Sha buat ini hanya muat satu balang kaca saiz balang kuih raya sahaja. Nampak sikit tapi banyak juga, masih ada stok walaupun dah seminggu. Jom tengok bahan-bahan untuk buat cili jeruk.


Bahan-Bahan Untuk Cili Jeruk

20 biji cili besar hijau
4 sudu besar gula kasar
1 sudu kecil garam
Cuka secukupnya

𝘾𝙖𝙧𝙖 𝙢𝙚𝙢𝙗𝙪𝙖𝙩 𝘾𝙞𝙡𝙞 𝙅𝙚𝙧𝙪𝙠

1. Pertama sekali korang perlu bersihkan cili hijau dan keringkan. Boleh guna tisu dapur untuk cepat kering.

2. Setelah kering, hiris cili jangan terlalu nipis

3. Masukkan setengah cili yang telah dihiris ke dalam bekas

4. Letak 2 sudu besar gula dan garam

5. Masukkan baki cili hiris

6. Letak 2 sudu lagi gula

7. Kemudian tuang cuka sehingga setengah daripada tinggi cili dalam bekas.

8. Akhir sekali bolak balik bekas/botol supaya semua bahan sekata.

9. Biarkan di dalam peti semalaman.
Siap !

resepi cili jeruk sedap
Ini gambar 5 hari



Sha tidak sempat ambil gambar proses buat cili jeruk, harap korang fahamlah ya. Tapi kali ini memang rasa cili jeruk Sha cukup rasa. Alhamdulillah, memang boleh buat diri sendiri makan bertambah.

Hidangan Bersama Cili Jeruk


Tidak rugi sebenarnya jika korang buat lebih bagi penggemar cili jeruk ini kerana ianya boleh dimakan bersama pelbagai masakan selain mee celup. Macam Sha kalau makan bihun, mee atau kuew teow goreng memang kalau nak sedap memang minta cili jeruk lebih.

Orang kata cili jeruk ini pelengkap rasa kerana ia masam-masam pedas.

Post a Comment

1 Comments

  1. Liez tak pernah buat cili jeruk lagi.. boleh cuba resepi ni

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi