Cerita Raya Mengejut Tahun 2022 | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Kali ini Sha nak simpan secbis kenangan menyambut hari lebaran tahun 2022.
Sebenarnya sebelum mengisi borang untuk cuti hari raya, Sha dan pihak pentadbiran sudah menghadapi kekeliruan disebabkan kalendar kami berbeza tarikh jatuhnya 1 Syawal. Walaubagaimanapun majoriti mengatakan Syawal jatuh pada hari selasa jadi semua dah pegang 1 Syawal adalah pada hari selasa. Bila ada kawan yang cakap raya hari isnin, kami tak ambil peduli sangat hanya tunggu pengumuman nanti.
Disebabkan Hari Raya tahun ini dekat dengan Hari Pekerja jadi cuti raya hanya dimohon pada tarikh selepas Hari Raya.
Cerita Balik Raya Mengejut Tahun 2022
Tahun 2022 sepatutnya giliran berhari raya di Perak tetapi memandangkan suami Sha perlu bertugas di hari raya, suami menawarkan peluang untuk pulang ke kampung terlebih dahulu. Apabila peluang dibuka, selepas berbincang jadi Sha ambil keputusan untuk bersetuju dengan cadangan suami. Tanpa melengahkan masa, Sha terus membuat tempahan tiket bas secara online.
Apabila raya diumumkan jatuh awal sehari dari jangkaan awal, maka berubah sedikit perancangan hari raya. Suami dapat beraya sepenuhnya seharian tidak seperti yang sepatutnya beraya hanya separuh hari. Walaubagaimanapun semuanya sudah ditakdirkan dan inilah kali pertama kami beraya asing-asing.
Kali Pertama Balik Raya Naik Bas
Sha telah tempah tiket bas pada 1 mei 2022 dengan perkiraan sempatlah berbuka puasa bersama adik-adik di Ramadan terakhir. Memandangkan Sha nak naik bas, jadi Sha tak masak untuk berbuka hanya buat tempahan berbuka di kedai makan Selepas berbuka puasa kami terasa hairan kerana bunyi mercun di sana sini seperti esoknya hari raya.
Tidak lama kemudian abang ipar Sha menelefon suami memaklumkan esok raya. Kami yang dalam keadaan tidak percaya telah membuka telefon bimbit masing-masing maka banyaklah mesej-mesej dan kemaskini daripada kawan-kawan dan saudara mara maklum esok raya!
Bas Lewat Hampir 1 Jam
Sha nak cerita sikit dengan korang keadaan di Terminal Bas Amanjaya Meru Ipoh pada malam itu tidaklah sesak. Ya lah, semua yang nak naik bas malam itu mestilah dah beli tiket awal, mustahil untuk dapat tiket minit-minit akhir kan. Tapi yang sesak adalah lorong masuk ke Mydin Meru. Semua dah berkerumun nak masuk Mydin untuk mencari keperluan raya mengejut.
Bas Sha yang dijadualkan bergerak pada pukul 10.00 tetapi telah bergerak pukul 11 malam disebabkan kelewatan bas sampai ke terminal. Besyukur sangat lewat 1 jam sahaja berbanding ada yang telah menunggu bas sejak pukul 6.00 petang. Macam mana tahu? Setiap kali bas sampai diaorang akan panggil penumpang dan sebut waktu tiket.
Tiket Bas Bertindih
Korang tahu tak semasa Sha naik bas, dah ada orang duduk di kerusi yang sama Sha beli tiketnya. Aduhh bertindih pulak tiket bas, tak tahulah mana silapnya. Tapi bila sampai di Kuala Kangsar, orang yang duduk di kerusi Sha maklum mereka salah naik bas dan beralih ke kerusi lain.
Maka selesailah masalah Sha, yalah tak kan dari Ipoh ke Besut nak duduk 2 kerusi 3 beranak. Anak-anak Sha pun dah besarkan, saiz pun sesuai untuk satu kerusi, nak beriba memang patah pinggang. Alhamdulillah perjalanan malam itu dipermudahkan walaupun ada kelewatan.
Sampai Kampung Di Pagi Raya
Sha sampai di kampung pada pukul 8.00 pagi selepas menghantar penumpang lain di beberapa perhentian seperti Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu dan Pasir Putih Kelantan. Secara rasmi perjalanan Sha balik kampung mengambil masa 9 jam berbanding 6 jam pada hari-hari biasa. Tapi tempoh ini adalah termasuk waktu rehat di Gerik, Perak yang mengambil masa 1 jam.
Sampai Terus Cari Ayam
Memandangkan kita raya terkejut, jadi pagi-pagi lagi adik Sha keluar untuk ambil ayam yang dijanjikan. Malangnya ayam yang dijanjikan tidak ada, jadi Sha terus menggunakan kuasa internet untuk mencari ayam segar pagi itu. Selepas memohon pertolongan di dalam grup facebook tempatan kampung Sha akhirnya Sha dapatlah membeli ayam segar sebelum Solat sunat Hari Raya.
Terima kasih diucapkan kepada ahli grup facebook Cakna Besut Terengganu (CBT) kerana membantu Sha dalam misi pencarian ayam segar dipagi raya. Terima kasih juga kepada tauke ayam segar di Kampung Dengir iaitu Encik Shamsul kerana membekalkan ayam segar kepada penduduk.
Sampai Kampung Terus Raya
Bila dah sampai pukul 8.00 pagi makanya kita terus berhari raya. Walaupun mata memang mengantuk tambah pula budak-budak tak biasa naik bas lagilah mengantuk. Tapi kami gagahkan juga membersihkan diri dan bersiap untuk berhari raya bersama keluarga yang ada.
Memandangkan kami tidak menyediakan sebarang juadah, kami tutup rumah dan ziarah menziarah ke rumah pak cik dan mak cik yang ada di sekitar rumah kampung. Alhamdulillah syukur kerana Sha lahir di kampung yang ramai saudara mara sendiri. Maklumlah memang tanah sejak datuk nenek moyang kami bertapak lagi.
Baiklah itu sahaja setakat ini, nanti Sha sambung cerita hari raya dan kenangan bersama keluarga di kampung lagi.
3 Comments
Selamat Hari Raya Cik Sha
ReplyDeleteAduh memang kalut betul la raya tahun nie hahaha. Nasib baik la kitorg dh beli ayam & ikan pagi ahad. Kalau x makan bihun goreng jela jawabnya 🤣
ReplyDeleteBaca cerita pun dah rasa penat, tapi kenangan ni akan jadi memori yang tak dapat dilupakan kan. Bila orang tanya pagi raya solat kat mana? Boleh jawab solat raya atas bas je :P
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi