Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Puan, Saya Rasa Suami Saya Tak Jujur

Puan, Saya Rasa Suami Saya Tak Jujur | Assalamualaikum dan Salam sejahtera semua. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan dari tahun lepas 2020, program bersama klien telah dijalankan secara dalam talian. Talian yang paling pantas adalah melalui aplikasi whatapps. Segala maklumat, program dan arahan disampaikan melalui whatapps sahaja. Ya, tak semua klien mempunyai telefon pintar sendiri dan ada sesetengah menggunakan telefon bimbit isteri dan juga anak-anak.




Masa awal dulu agak risau untuk berinteraksi melalui no telefon peribadi, tetapi oleh kekangan semasa terpaksa juga terbuka. Alhamdulillah sudah setahun berlalu, perjalanan program dapat diteruskan walaupun tidak bersemuka seperti biasa. Bila dah klien atau keluarga mempunyai kontak, pasti ada yang akan sembang tepi bukan? Tapi banyak yang bertanya tentang hal-hal program sahaja.

Di dalam beberapa mesej Sha ingin berkongsi satu mesej. Suatu malam Sha dapat mesej daripada seorang isteri klien.

Puan, saya rasa suami saya tak jujur.

Sha cuba bertanya tak jujur dari segi apa yang dimaksudkan oleh beliau. Sang isteri mengatakan jawapan yang diberikan suaminya kepada pegawai adalah tidak benar. Apa yang tidak benar? Saya rasa suami saya masih mengambil dadah dan jika ujian urin dilakukan pasti positif. Dan, Sha pun menyemak jawapan yang baru sahaja suami beliau hantar. Ternyata jawapan suaminya menyatakan jika ujian urin diadakan adalah negatif.


Kejujuran Dalam Kepulihan Dadah

Untuk pengetahuan, Kejujuran adalah salah satu tajuk di dalam Program Pemulihan di AADK dibawah Program Pencegahan Relapse. Kejujuran dalam proses pemulihan adalah amat berkait rapat dengan sebab seseorang itu berhenti mengambil dadah. Dalam apa jua keadaan setiap orang pasti akan berasa selamat jika mengamalkan kejujuran dalam diri sendiri. Kejujuran juga harus disusuli dengan tindakan positif bagi memastikan perkembangan kepulihan diri. InsyaAllah dengan kejujuran membawa keberkatan dan kejayaan dalam kepulihan berterusan.


Kebergantungan Kepada Dadah


Kebergantungan kepada dadah menggambarkan pengguna dadah ingin melarikan diri daripada realiti kehidupan dan kewajipan serta enggan menerima akibatnya. Mereka yang menggunakan dadah sentiasa terpaksa berbohong dan memberi alasan. Mengorak langkah ke arah kepulihan merupakan langkah pertama untuk mengakui kebenaran tentang kebergantungan kepada dadah.

Untuk berjaya dalam kepulihan, seseorang itu perlu mengingatkan diri tentang kejujuran. Ini bermakna mereka bukan sahaja perlu mengakui diri mempunyai masalah penagihan tetapi juga perlu mempunyai komitmen untuk bertingkahlaku secara jujur apabila berinteraksi dengan orang lain. Kebiasaannya adalah sukar mengaku secara jujur pada diri tentang penagihan.

Setelah mengorak langkah untuk mendapatkan rawatan dan mengakui pada diri secara jujur, mereka juga perlu mendepani orang lain. Untuk menjadi ikhlas dan jujur dalam kalangan kawan dan ahli keluarga mungkin membawa masalah. Menjadi jujur pada diri sendiri dan orang lain semasa proses pemulihan adalah sangat penting.

Kadangkala menjadi jujur boleh menjadi sukar kerana pengguna dadah kelihatan bukan seperti seorang yang baik, berperang untuk menangani perasaan orang yang pernah terluka dan rasa malu yang masih menebal dalam diri. Walaupun ianya sukar, kejujuran berterusan adalah asas kepada kejayaan suatu kepulihan.


Pengalaman Seorang Bekas Penagih Dadah Meninggalkan Dadah Selama 17 tahun

Kebetulan semalam Sha mengikuti program yang mempunyai slot perkongsian bersama bekas klien yang telah meninggalkan dadah selama 17 tahun. Paling menarik adalah cerita saat meninggalkan dunia penangihan adalah sangat sakit, kerana secara jujurnya saat mengambil dadah saat yang paling bahagia. Tetapi dia lebih memilih untuk meninggalkan dadah sehingga beliau kembali diterima oleh keluarga. Kejujuran dan keikhlasan dalam diri akan menjadi alasan paling besar untuk berubah menjadi lebih baik.

Korang rasa mudah ke nak tinggal dadah? Ia sama situasi dengan hisap rokok, bukan mudah untuk seorang perokok tegar untuk meninggalkan rokok!

Tapi Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dan azam yang kuat, dengan meninggalkan dadah seorang yang dulu menjadikan Pusat Serenti dan penjara sebagai rumah kedua kini mendapat kembali ibu-bapa dan adik beradik. Malah beliau berkhidmat membimbing rakan-rakan yang lain.

Apakah program yang dijalankan sepanjang proses pemulihan bersama? Boleh baca sini

Apakah Program Yang Dijalankan Oleh AADK Sepanjang Klien Menjalani Pemulihan Dadah (shalimaryusof.com)

Keluarga Penagih Dadah Memerlukan Sokongan

Berbalik kepada perkongsian seorang isteri yang Sha sebutkan pada awal tadi, Sha amat yakin dalam kepulihan klien, selain klien keluarga mereka juga memerlukan sokongan orang sekeliling. Apa yang Sha nampak Sang Isteri sangat menyayangi suami dan sangat mengharap perubahan suaminya. Di akhir perbualan, Sang isteri berterima kasih kerana meluangkan masa mendengar luahan beliau.

Jika pembaca ada yang mempunyai rakan yang ada dalam situasi sebegini, janganlah menjadi batu api dalam sesuatu perhubungan. Sebab apa? mereka tahu apa yang mereka tahu dalam hidup. Jika mereka mahu berkongsi, dengarlah dan nasihatlah yang sepatutnya bagilah sokongan. Hal ini kerana bukan semua penagih dadah mahu terus berada dalam dunia penagihan, tetapi kepulihan mengambil masa sepanjang hayat. Lainlah kes dadah telah menjadi kes jenayah lain dan boleh memudaratkan keluarga sahabat atau adik-beradik korang.

Post a Comment

2 Comments

  1. Ya, sebenarnya mereka tahu apa yang mereka mahu dalam hidup. Janganlah kita jadi batu api pula. Berilah sokongan dan motivasi.

    ReplyDelete
  2. Hebat pekerjaan shalimar ya, bukan senang nak urus kes mcm ini. Kita yang kena bijak menaakul dan buat rumusan tindakan mana perlu diambil. Motivasi penting untuk seseorang itu berubah sepenuh hati, tapi bukan senang. Kena diri sendiri yang nak, org luar cuma boleh support je apa yg boleh.

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi