Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Perapan Satey Mudah Dan Sedap

Resepi Perapan Satey Mudah Dan Sedap | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Salam 4 Syawal 1441H buat semua pembaca. Syawal tahun 2020 ini bukan sahaja tidak dapat balik kampung meraikan hari kemenangan bersama mak dan adik-adik. Tahun ini memang sepatutnya giliran raya pertama dan kedua di Ipoh kemudian sambung berhari raya di Besut Terengganu pula. Tahun ini mungkin ramai yang jimat cuti raya sebab tak perlu cuti lama-lama kerana tidak dapat ke mana-mana, kebiasaanya tetap meriah dengan ipar duai tetapi tidak kali ini kerana kakak-kakak ipar yang tinggal di luar negeri Perak juga tidak dapat merentas negeri untuk berhari raya bersama. Walaubagaimanapun Sha dan suami tidak membiarkan meja di rumah mentua kosong tanpa hidangan hari raya walaupun yang ada hanya abang-abang ipar sahaja. Pada asalnya Sha teringin nak masakkan nasi arab untuk keluarga di sana, tetapi suami hanya mahu menyediakan rendang ayam dengan ketupat sahaja. Petang sebelum malam raya Sha berangan-angan seorang diri memikirkan juadah tambahan untuk di makan bersama. Malam raya pula suami kerja jadi banyak masa untuk Sha membuat persiapan sendiri. Akhirnya Sha meminta izin daripada suami untuk ke kedai membeli bahan-bahan untuk dibuat sate ayam dengan menaiki motosikal.


Alhamdulillah niat nak meraikan Hari Raya Aidilfitri dan makan bersama ipar duai yang ada dipermudahkan. Pergi kedai tak perlu beratur panjang, nak beli lidi sate pun senang sahaja tanya terus ada. Balik terus potong ayam ikut saiz kita nak, terus perap dengan bahan-bahan kemudian rehat sementara perap. Lepas rehat terus letak bekas perap depan tv dan mula cucuk sate bersama suami. Bila lenguh macam-macam gaya duduknya, tetapi puas hati bila siap semua dan bungkus letak dalam peti sejuk. Sha ikut sahaja bahan perapan sate yang paling mudah ini , korang boleh cuba nanti.

Resepi Perapan Satey


2 kg isi ayam
4 biji bawang besar
7 ulas bawang putih
4 batang serai
5 inci halia
5 inci lengkuas
2 sudu besar serbuk jintan manis
2 sudu besar jintan putih
serbuk kunyi secukupnya
garam secukupnya
1/2 kg gula pasir
Lidi

Cara-cara memerap satey


1. Isi ayam di potong kecil saiz biasa sate dalam 1 inci kemudian dibersihkan dan di tos.

2. Kisarkan bawang merah, bawang putih, serai, halia dan lengkuas.


3. Masukkan isi ayam yang siap di tos di dalam bekas. Tambahkan bahan kisar tadi bersama gula, serbuk jintan manis, jintan putih, serbuk kunyit dan garam secukup rasa. Kemudian gaul semua bahan hingga sebati.

4. Perap seketika isi ayam dengan bahan-bahan supaya serap.


5. Siap perap, kita boleh mula cucuk dengan menggunakan lidi. Terpulang kepada kita saiz satu cucuk.



5. Siap cucuk boleh dibakar dan dihidang bersama kuah kacang, nasi impit, timun batang dan bawang merah.



Untuk 2 kilogram isi ayam Sha dapat dalam 100 pucuk sate dengan purata 3 kiub ayam yang di potong setiap batang lidi. Sebenarnya masa perap Sha termasin jadi bila sampai rumah mentua suami perap balik dengan air gula jadi rasa pun ok balik. Maklumlah sate perlu rasa manis lebih barulah terasa sedapnya bukan? Nampaknya lain kali boleh buat sate sendirilah dengan resepi ini, biasanya kakak ipar akan beli beku siap dari Kedah bawa balik ke Ipoh. Tapi kalau dapat buat sama-sama, duduk keliling besen lagi meriah dan seronok bila bab mencucuk sate. Kalau mencucuk sorang-sorang boleh patah pinggang.

Post a Comment

4 Comments

  1. sedap sate!
    walaupon raya xmcm biasa tp tetap kena meriahkan rumah dgn juadah yg enak2..
    haha..
    blh mkn bersama keluarga sambil tgk tv..

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi