Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Nasi Minyak Mudah & Cepat Rasa Macam Nasi Minyak Kenduri

Resepi Nasi Minyak Mudah & Cepat Rasa Macam Nasi Minyak Kenduri | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Memandangkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tidak ada kenduri tetapi kita teringin nak makan nasi dan lauk-pauk macam kenduri jadi kita masak menu yang biasa ada di majlis perkahwinan iaitu nasi minyak. Apabila mahu memasak nasi minyak Sha suka menggunakan resepi daripada emak Sha sendiri maklumlah kita dibesarkan dengan resepi beliau dan resepi inilah emak Sha gunakan semasa beliau masih ambil tender kantin sekolah semasa sihat dulu.


nasi minyak kenduri

Untuk buat nasi minyak yang sedap sebenarnya tak perlu beli beras yang mahal pun, Sha pun biasa gunakan beras biasa tetap sedap dan lembut. Teringat dulu-dulu kalau ke tempat kerja Sha kerap singgah beli nasi minyak di tepi jalan sebagai sarapan tapi bila sudah pindah susah nak jumpa nasi minyak yang mudah kita jumpa di negeri pantai timur pada waktu pagi. Tanpa buang masa jom apa resepi nasi minyak yang mudah dan cepat disediakan tetapi sedap dan lembut.

Resepi Nasi Minyak Mudah & Sedap

Bahan - Bahan Masak Nasi Minyak


3 cawan beras dibersihkan dan ditos airnya
6 cawan air ( mengikut sukatan biasa kita masak nasi biasa)
4 sudu besar bawang merah (dikisar)
2 sudu besar minyak sapi ( kalau tak ada pun tak apa)
2 sudu besar marjerin
2 sudu besar sunquick oren
rempah 3 beradik ( kayu manis, bunga lawang & buah pelaga)
2 inci halia (dihiris)
2 helai daun pandan
1 1/2 sudu kecil garam
1/2 kotak kecil kismis
pewarna kuning

Cara-cara memasak nasi minyak



1. Sha gunakan rice cooker biasa. Panaskan periuk dan masukkan minyak sapi dan marjerin.

2. Bila minyak panas masukkan bahan tumis iaitu bawang merah kisar, rempah 3 beradik. Tumis sehingga bau wangi naik.

3. Masukkan air bersama daun pandan, sunquick dan halia. Biarkan air panas sekejap.

4. Apabila air panas, masukkan beras kita tadi. Jangan lupa masukkan garam dan kismis kemudian gaul sebati. Boleh tutup periuk dan tunggu sehingga masak macam biasa.

5. Bila nasi masak, titikkan sedikit pewarna kuning dan gaul sebati. Tutup kembali periuk biarkan ia sebati.

Kejadian Nasi Minyak Sha
Sha paling suka makan nasi minyak dengan lauk ayam masak merah atau daging masak hitam. Kebetulan sebelum ini Sha masak DAGING MASAK HITAM masih ada berbaki jadi Sha ada dua lauk, memang macam lauk kenduri dah. Di sini Sha kongsikan sekali resepi Ayam masak merah

Resepi Ayam Masak Merah

1/2 ekor ayam
3 biji bawang besar (dikisar)
8 ulas bawang putih (dikisar)
1 inci halia (dikisar)
6 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil kicap
1 biji bawang besar dihiris bulat-bulat
rempah 3 beradik
Garam
Gula

Cara-cara memasak Ayam Masak Merah

1. Ayam dipotong dan dibersihkan. Perap dengan garam dan serbuk kunyit kemudian digoreng. Siap digoreng ketepikan terlebih dahulu.

2. Sha gunakan minyak goreng ayam tadi untuk tumis bahan-bahan tumis iaitu semua bahan kisar dan rempah 3 beradik.

3. Bila pecah minyak, masukkan ayam yang kita goreng sebelum ini. Gaul sehingga sebati.

4. Letakkan sedikit kicap dan perasakan dengan garam dan gula.

5. Akhir sekali taburkan bawang besar dan gaul lagi. Siap!

Eh belum lengkap lagi resepi nasi minyak kenduri kita ni. Tak lengkap kalau tak ada acar timun batang. Sekarang ini dah ada pembantu untuk potong timun batang jadi apadahal sangat kan?

Resepi Acar Timun Batang Atau Jelatah

1 batang timun batang dipotong dan dihiris.
1/2 batang lobak merah dipotong dan dihiris panjang
1 biji cili merah di hiris
1 sudu cuka
2 sudu kecil garam
2 sudu besar gula

Semua bahan digaul sekali. Sebenarnya cuka, garam dan gula kita boleh tetapkan mengikut selera masing-masing. Bubuh sikit demi sikit.



Bila tengok gambar ni rasa nak ulang masak balik ! Kalau ikutkan nafsu memang nak menambah-nambah tapi cukuplah kan tambah berbuka puasa dan Sha pun memang masak ngam-ngam untuk keluarga kecil Sha dan cuba elakkan membazir. Ayam masak merah sahaja Sha masak lebih boleh buat sahur sekali maklumlah itu lauk kegemaran Abang Zaryth. Amacam? Boleh dah tu petang ini masak nasi minyak kuning ala kenduri ni.

Post a Comment

4 Comments

  1. mcm sedap pula.. x pernah lgi makan nasi minyak..

    ReplyDelete
  2. Letak sunquick eh.. raya ni nak try buat la..

    ReplyDelete
  3. Memang sesuai sangat lauk dan nasinya... mudah je kan masak nasi minyak ni

    ReplyDelete
  4. Mudah je rupanya.. nak kena rajin cuba nie.. cantik kuning nasi tu..

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi