Sunday, April 19, 2020

Resepi Ketupat Sotong Versi Kelantan

Pertama Kali Cuba Masak Resepi Ketupat Sotong Versi Kelantan | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Sebenarnya sudah 2 hari Sha beli sotong dengan niat memang nak buat ketupat sotong style kelantan. Sebab apa Sha sebut style Kelantan? Sebab setahu Sha ketupat sotong ada dua versi sama ada style Kelantan atau ketupat sotong style Terengganu. Apa beza kedua-dua ketupat sotong ini? Dari segi warna pun kita sudah boleh nampak bezanya, jika ketupat sotong style Terengganu warna kuahnya putih. Sha lahir dan dibesarkan di Besut, Terengganu iaitu sempadan antara negeri Kelantan dan Terengganu. Membesar dengan selera Kelantan dan Terengganu memang menarik kerana emak Sha yang berasal dari Kota Bharu besarkan Sha dengan masakan style Kelantan dan style Terengganu. Jika nasi dagang emak Sha biasakan Sha dengan Nasi Dagang Terengganu sehinggakan Sha tak boleh terima nasi dagang belah Kelantan tetapi untuk ketupat sotong emak Sha biasa buat Ketupat Sotong Style Kelantan.

ketupat sotong style kelantan

Pada pendapat Sha, sotong yang sesuai digunakan adalah bersaiz sederhana kerana nanti apabila ketupat sotong masak jadi comel-comel sahaja untuk dihidangkan.

RESEPI KETUPAT SOTONG VERSI KELANTAN

Bahan-Bahan Untuk Membuat Ketupat Sotong Versi Kelantan


6 ekor sotong bersaiz sederhana
1 cawan beras pulut
3 cawan santan
1/2 keping gula melaka
Sekeping daun pandan
1/2 sudu kecil garam
***
Lidi dipotong lebih kurang sepanjang 4-5 cm untuk cucuk dan sambung kepala sotong dengan badan nanti.

Cara-cara Memasak Ketupat Sotong Style Kelantan


1. Pertama sekali kita rendam beras pulut yang dibersihkan dengan 1/2 cawan santan dan sedikit garam. Ketepikan.

 2. Sementara menunggu beras pulut diperap, kita bersihkan sotong tanpa buang kulit luar. Asingkan kepala sotong dan bersihkan apa yang patut. Toskan.

3. Selepas semuanya siap kita boleh mula mengisi beras pulut yang diperap dengan santan tadi ke dalam sotong. Diingatkan supaya tidak mengisi sotong dengan sepenuhnya bagi memberi ruang kepada pulut tadi masak. Jika penuh pulut akan keluar dari sotong kita tadi.

 

4. Selepas isi beras pulut di dalam sotong, kita ambil balik kepala sotong dan masukkan kembali di bahagian kepala sotong cantumkan dengan menggunakan lidi.


5. Setiap kali siap cantumkan kembali kepala sotong kita susunkan sotong-sotong di dalam periuk.


6. Selepas siap susun sotong, masukkan lebihan santan tadi ke dalam periuk. Jangan lupa letakkan daun pandan yang disimpul rapi dan letakkan sedikit garam.


7. Bila separuh masak letakkan gula melaka. Biarkan gula melaka mencari di dalam periuk bersama santan.


8. Jangan tinggalkan Ketupat Sotong di dalam periuk, nanti hangit. Pastikan gula melaka cair sepenuhnya dan sebati dengan santan dan bahan-bahan lain. Nampak kuah sedikit pekat kita boleh tutup api.

[ Tengah cari lauk berasaskan sotong? Boleh masak Sotong Goreng Kunyit Berkuah ]

Alhamdulillah akhirnya selepas bertahun-tahun tak makan ketupat sotong ini hari ini dapat juga merasa tambah pula dengan air tangan sendiri. Resepi Ketupat Sotong Style Kelantan yang mudah ini hanya sesuai untuk orang yang biasa makan manis, yang tak biasa dengan manisan mungkin tak suka sangat. Sebenarnya masa masak ketupat sotong ini terbit juga rasa risau jika pulut di dalam sotong tidak masak, maklumlah pertama kali masak.

3 comments:

Terima Kasih Daun Keladi