Assalamualaikum dan salam sejahtera semua...
Malam ini ditemani radio saluran suria fm, Sha nak coretkan sedikit kenangan ketika majlis perpisahan bersama beberapa rakan sekerja.
Tapi coretan kali ini khususnya untuk ketua Sha iaitu Puan Intan Nafisah.

Puan Intan adalah ketua Sha bermula pada tahun 2015 ketika Sha ditukarkan bertugas di Daerah Perak Tengah. Selama berkhidmat selama 18 di perkhidmatan awam, beliaulah ketua Sha paling lama.
Selamat Maju Jaya Puan Intan
Setiap manusia bukanlah sempurna tetapi Puan Intan adalah salah seorang ketua yang Sha segani dan menjadi contoh dalam pekerjaan. Dedikasi beliau dalam pekerjaan selalu menjadi rujukan bukan sahaja di peringkat daerah tetapi juga di peringkat negeri.
Bermula pertengahan ogos 2026 beliau akan meninggalkan agensi yang menemukan kami. Demi memajukan diri dalam perkhidmatan beliau akan memberi khidmat di jabatan lain pula dengan pangkat baharu, tugas baharu, tempat baharu dan persekitaran baharu.
Terima Kasih Puan Intan
Banyak sebenarnya Sha nak ceritakan, tetapi sebenarnya tidak mampu pun untuk Sha curahkan rasa dihati dengan hanya menaip kata-kata. Perasaan ini hanya Allah SWT yang memahami. Semasa tahu Puan Intan memohon jawatan baharu pun memang terselit doa untuk beliau semoga beliau berjaya kerana beliau memang layak meneruskan perjalanan ini ke peringkat lebih tinggi.

2015
Terima kasih Puan Intan kerana selalu membimbing Sha dalam pekerjaan. Selalu memberi sokongan dalam setiap idea dan cara kerja serta bekerja bersama-sama. Kerana tidak semua ketua mampu berbuat demikian.
2017
Terima kasih Puan Intan kerana memberi semangat di saat kehilangan arwah ayah. Sokongan sebagai ketua, sebagai rakan sekerja dan sebagai seorang kakak.
2021
Pun sama, sentiasa ada saat Sha kehilangan arwah Mak. Kerana tidak perlu satu pejabat pun untuk buat kita kuat tetapi Puan Intan adalah salah seorang yang selalu bertanya khabar.
2022
Tahun 2022 Sha telah ditukarkan dari Daerah Perak Tengah ke Daerah Kinta. Betapa downnya rasanya saat itu kerana ditukarkan tiba-tiba. Di saat ada sesetengah orang berkata-kata yang tidak menyenangkan, tetapi Puan Intan masih berdiri teguh dibelakang Sha. Selalu cakap "Sha boleh".
Puan Intan juga yang menjadi salah seorang yang selalu bertanya khabar ok ke tidak dan menjadi tempat mengadu. Tetap cakap "Sha boleh" jangan risau. Bila Sha cakap Sha tak nak buat kerja... "Sha janganlah macam tuu, kerja macam biasa"..... huhuhu... walaupun dia tahu Sha bukan macam tuu...
2025
Betapa gembiranya hati bila dapat tahu Puan Intan pula ditukarkan ke Daerah Kinta, maksudnya kami akan satu pejabat kembali. Tambah gembira lagi bila Boss letakkan Puan Intan sebagai Ketua Unit Sha lagi.
2026
Sebelum masuk 2026 kami telah merancang program unit bersama-sama supaya perjalanan kpi dapat dilaksanakan dengan teratur. Semuanya berjalan dengan baik sehinggalah Boss telah menukarkan Puan Intan untuk menerajui unit lain. Banyak perancangan tergendala, dan bukan mudah untuk kami menyesuaikan diri dengan ketua baru dengan rentak baru. Namun pengalaman membantu kami meneruskan tugas seperti biasa tanpa Puan Intan.
Malam 13 Jun 2026 Sha terima mesej daripada Puan Intan. "Sha, saya dapat emel tawaran peg JKM". Saat itu terasa nak menitis air mata kerana tumpang gembira atas tawaran yang beliau terima. Memang sokongan penuh diberi pada Puan Intan untuk menerima tawaran berkenaan. Korang bayangkanlah, selepas 20 tahun berkhidmat barulah Puan Intan buat permohonan jawatan baharu dan memang rezeki beliaulah untuk naik pangkat dan ke jabatan lain.
Gembira Dalam Sedih
Sudah menjadi lumrah setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Memori masakkan Nasi Dagang untuk Puan Intan adalah salah satu yang indah. Kalau masak Nasi Dagang mesti ingat Puan Intan suka ambil cili sekali. 28 Julai yang lepas sempatlah Sha masakkan Nasi Dagang untuk Puan Intan buat kali terakhir sebelum kami berpisah.
Terima kasih Puan Intan kerana selalu ada dengan Sha tidak kira dalam kerja, memberi sokongan kepada Sha dalam menjadi seorang Kak Long dan juga menjadi seorang ibu. Terima kasih untuk segala yang telah kita lalui bersama selama 11 tahun ini.

0 Comments
Terima Kasih Daun Keladi