Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Hari Pertama Percutian Di Pulau Langkawi

Hari Pertama Percutian Di Pulau Langkawi | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Agak lama Sha tidak menyimpan kenangan bercuti bersama keluarga kecil Sha. Jadi kali ini sempena cuti akhir tahun 2023 dan cuti persekolahan selama lebih kurang dua minggu ini Sha dan suami membawa anak-anak berjalan ke tempat yang mereka belum pernah jejaki bersama.

Kali ini Sha memilih Pulau Langkawi sebagai destinasi. Sebenarnya ini bukan pertama kali Sha usulkan kepada suami untuk bercuti ke Langkawi, tetapi Alhamdulillah kali ini suami bersetuju.

Maklumlah sahajalah kos ke Pulau Langkawi agak tinggi bagi kami berbanding ke tempat lain.

Oleh sebab itu Sha cuba mencari aktiviti yang berpatutan untuk kami kunjungi di Pulau Langkawi selama 3 hari 2 malam.


cuti bajet ke langkawi


Percutian 3 hari 2 malam Ke Langkawi Untuk Kami Empat Beranak


Sebelum ke Pulau Langkawi, Sha sediakan beberapa tempat untuk dikunjung dengan kos tiket supaya memudahkan membuat bajet perbelanjaan ketika di sana. Untuk langkah penjimatan, kami ke Pulau Langkawi melalui Jeti Kuala Kedah.

Kami berada di Langkawi dari 20 Disember 2023 hingga 22 Disember 2023. Walaubagaimanapun pada petang 19 Disember 2023 kami sudah bergerak ke Kedah menuju ke rumah kakak ipar Sha. Kakak ipar sudah bersetuju untuk menghantar kami ke jeti keesokan harinya, jadi malam itu kami tidur di rumah kakak ipar terlebih dahulu.

Untuk tiket kami sudah membuat tempahan tiket ke Langkawi secara atas talian iaitu tiket pergi dan balik. 


Harga Tiket Feri Ke Langkawi

Terdapat dua jeti yang disediakan untuk ke Pulau Langkawi iaitu Jeti Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis.

Tiket Feri Kuala Kedah Ke Langkawi

Dewasa Dengan MyKad - RM 26.50

Kanak-kanak Dengan MyKad - RM 20.50

Dewasa Tanpa MyKad - RM 34.50

Kanak-kanak Tanpa MyKad - RM 25.50


Tiket Feri Kuala Perlis Ke Langkawi

Dewasa Dengan MyKad - RM 21.00

Kanak-kanak Dengan MyKad - RM 16.00

Dewasa Tanpa MyKad - RM 27.00

Kanak-kanak Tanpa MyKad - RM 19.50


Oleh kerana kami memilih Jeti Kuala Kedah kena bayar lebih lah. Puncanya tak nak tinggal kereta di tempat parking. Kami minta tolong kakak yang hantarkan ke jeti dan ambil nanti kami balik.


Hari Pertama Di Pulau Langkawi


Selepas perbincangan, kami telah menempah tiket pergi pada pukul 10.30 pagi. Bukan apa seeloknya satu jam sebelum bergerak dah kena ada di jeti.

Tempoh perjalanan menaiki feri dari Jeti Kuala Kedah Ke Langkawi adalah mengambil masa lebih kurang 1 jam 30 minit. Alhamdulillah perjalanan lancar dan Sha sempatlah tidur sekejap, yelaah nak buat apa lagi kan. Nak tengok telefon bimbit macam pening-pening..huhu

Memandangkan kami sampai lebih kurang pukul 12.05 minit ke jeti, jadi memang agak awal untuk terus bergerak ke hotel.

Bila sampai suami Sha terus menghubungi pihak kereta sewa untuk memaklumkan kami sudah sampai di jeti. Kami menyewa sebuah kereta Perodua Axia dengan kos RM 180.00. Tapi agak lama jugak urusan dengan yang sewakan kereta tu termasuk tunggu dia datang dekat kami.

Lepas selesai urusan sewa kereta, kami terus bergerak ke hotel dengan harapan bilik sudah sedia. Tak salah kan cuba nasib? huhuhu... tapi itulah, terlalu awal jadi bilik belum siap dibersihkan.


Naik Kereta Kabel Pulau Langkawi

Disebabkan bilik belum siap dan cuaca pun cantik kami mengambil keputusan untuk memulakan hari kami di Pulau Langkawi dengan menaiki kereta kabel atau SkyCab Langkawi. Maklumlah cuaca sekarang tidak menentu, hari esok belum tentu tidak hujan kan.



Kami terus ke stesen kereta kabel yang terletak di kaki Gunung Machincang yang mana terletak lebih kurang 29 km dari resort yang kami bakal inap.

Bila tengok aplikasi maps masa perjalanan dari Kuah ke SkyCab ini adalah dalam masa 46 minit. Masa dalam perjalanan kami singgah isi minyak kereta sebanyak RM 30 untuk bekalan kami sepanjang 3 hari 2 malam di Langkawi.

Untuk menaiki kereta kabel kami dapatkan tiket kaunter tiket sahaja. Asalnya nak beli online yang lebih murah tapi suami cakap malas nak belek-belek, nak pilih jadi kami terus beli di kaunter sahaja tambah pula kaunter tidak ada orang beratur.


Harga Tiket Kereta Kabel Langkawi Tahun 2023

Tiket untuk kereta kabel yang Sha ambik adalah termasuk akses masuk ke SkyDome, SkyRex dan 3D Art Langkawi.

Ini adalah harga yang Sha bayar di kaunter tiket SkyCab Langkawi

Harga Tiket SkyCab Langkawi

Dewasa Dengan MyKad - RM 43.00

Kanak-kanak Dengan MyKad - RM 33.00

Dewasa Tanpa MyKad - RM 85.00

Kanak-kanak Tanpa MyKad - RM 65.00


Jumlah harga tiket yang Sha perlu bayar di kaunter adalah sebanyak RM 152.00. Fuhh.. Selepas beli tiket di kaunter kami terus beratur, memang panjang tapi tidak terlalu lama sangat menunggu. Bila dah naik kereta kabel, kami singgah terlebih dahulu dulu di Eagle's Nest Skywalk Langkawi.



Sebenarnya tak perlu pun turun di sini, tapi terturun pulak.. ahahaha... Sampai sini mungkin sebab mula lapar, jadi Sha beli satu cawan Sweetcorn berharga RM5, 1 tin air berharga berharga RM4. Jadilah buat rasa-rasa isi perut.

Duduk tak lama pun, terus beratur untuk naik cabel car balik untuk terus ke SkyBridge.

Ok, bila sampai dekat atas kita kena beli tiket lagi kalau nak ke Skybridge atau nak lepak situ sahaja pun boleh. Untuk ke skybridge boleh pilih sama ada nak turun ke situ menaiki SkyGlide atau jalan kaki melalui laluan yang disediakan.

Nak jimat kami pilih untuk jalan kaki sahaja, tambah pula untuk naik SkyGlide perlu tunggu lebih kurang satu jam. Harga untuk ke SkyBridge adalah RM6.00 untuk dewasa, manakala kanak-kanak RM4.00 berbanding SkyGlide RM16 untuk dewasa dan kanak-kanak RM11.00.

Jadi kos ke SkyBridge adalah RM20.00.


Makan Tengah Hari

Selepas selesai turun dari kereta kabel, masuk Skydome, Skyrex dan 3D Art Langkawi perut memang lapar gila sebab kami sarapan pukul 9.00 pagi sahaja. Tapi kami tahan lapar sebab tiket dah beli, rugi pulak kalau tak guna sepenuhnya.



Alhamdulillah, dapat makan di kedai makan murah Langkawi. Kami tak rancang pun, hanya singgah mana kedai yang ada di sepanjang jalan ke hotel. Nama kedai makan yang Sha sekeluarga singgah itu adalah Warung Ekonomi.

Bagi kami sangat murah lah tambah sedap pula.

Nasi goreng ayam 3, nasi goreng pattaya, Teh Ais 1, Teh 0 Ais 3 dan Teh 0 panas berjumlah RM34.00 kesemuanya.

Selesai makan kami terus ke hotel yang kami sudah tempah satu minggu awal iaitu di De Baron Resort.


Check In De Baron Resort Langkawi

Lebih kurang 6.30 petang baru kami sampai ke resort. Tapi bila masuk bilik, kami minta tukar bilik lain disebabkan bunyi penghawa dingin agak kuat dan tidak mungkin memberi keselesaan kepada kami sekeluarga.


Pada mulanya pihak resort usahakan untuk baiki, tapi tidak berjaya jadi kami diberi bilik lain di tingkat yang sama. Alhamdulillah, akhirnya dapatlah kami bersihkan diri dan berehat.

Harga bilik De Baron Resort Langkawi melalui tempahan di booking.com adalah sebanyak RM352.00 secara kad debit dan perlu tambah RM6.00 secara tunai untuk cukai pelancongan. Jadi jumlah semua RM358.00, harga ini untuk 3 hari 2 malam termasuk sarapan.


Pasar Malam Pekan Kuah

Orang kata jika ke Langkawi wajib kena pergi ke Pasar Malam Langkawi, kebetulan pula malam itu pasar malam hanya berdekatan dengan resort kami jadi bila masing-masing dah rehat kami pergilah sekejap ke pasar malam.

Habislah modal beli air dengan makanan RM20.00..huhu.. oklah, tak ada yang menarik sangat, mungkin sebab kenyang.


Pusing-Pusing Kuah

Akhir sekali selepas pergi pasar malam, kami pusing-pusing Pekan Kuah dengan kereta sahaja. Menikmati malam dari jeti feri dan balik semula ke resort.

Masing-masing pun dah penat sangat berjalan, macam nak tercabut rasa kaki Sha. Jadi ambil gambar apa yang cantik di mata dari dalam kereta sahaja sebab dah tak sabar nak masuk bilik.


Kesimpulan

Begitulah kami bila bercuti, hanya senaraikan tempat yang nak pergi kemudian bab masa kadang tidak ikut sangat sebab bergantung pada keadaan dan cuaca yang bersesuaian. Ok, selesai hari pertama kami di Pulau Langkawi.

Post a Comment

0 Comments