Duit Simpanan Habis Sepanjang Pandemik Covid-19? Bagaimana Cara Berjimat Cermat Dan Kembali Menabung | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.
Pandemik covid-19 yang terjadi lebih kurang dalam tempoh dua tahun telah mengubah banyak perkara dalam kehidupan kita. Walaupun pandemik sudah makin pulih tetapi keadaan ekonomi semakin mencabar. Peningkatan kos sara hidup zaman sekarang sangat memberi kesan kepada corak perbelanjaan Sha sekeluarga. Sha juga yakin ramai yang terkesan dengan keadaan ekonomi sekarang.
Walaupun Sha dan suami bekerja sebagai penjawat awam yang mana punya gaji setiap bulan berbanding dengan insan-insan yang bekerja sendiri, kami tetap terkesan. Mana tidaknya dengan kenaikan harga barang dan kadar faedah bulanan pinjaman juga naik dari masa ke masa.
Gaji pun cukup-cukup makan bila ditolak dengan perbelanjaan wajib bulanan seperti pengangkutan sekolah anak yang juga mengalami peningkatan. Selain itu kos transit anak ke rumah pengasuh memandangkan Sha dan suami bekerja jauh dari kediaman kami.
Pendek kata jika hanya bergantung kepada gaji bulanan sebagai pegawai bawahan memang sekadar mencukupi. Jadi apakah jalan penyelesaian sebagai langkah penjimatan untuk mempunyai simpanan terutamanya simpanan kecemasan.
Cara Berjimat Cermat Dan Menabung
Kadang-kadang buntu tertanya sendiri ke mana hilangnya duit dalam akaun dan juga wang tunai di tangan. Sedar tak sedar makin hari makin berkurangan. Dengan situasi ekonomi negara yang tidak menentu ini adalah lebih baik kita mula berjimat dan tidak kerap berbelanja.
Mungkin ramai yang berada dalam situasi Sha yang kadang-kadang tidak sedar berbelanja terutamanya bila kerap menggunakan transaksi secara dalam talian. Tetapi kini Sha sudah pun mula berjimat cermat sejak mempunyai komitmen lain yang bertambah. Jom lihat apa yang kita boleh buat untuk berjimat cermat.
#1 Latih Menahan Nafsu Berbelanja
Sebenarnya Sha bukanlah kaki shopping tetapi kadang-kadang banyak berhabis untuk anak-anak. Tapi sekarang Sha dah mula belajar memilih barang mengikut kategori keperluan atau kemahuan. Sebelum membeli perlu tanya diri sendiri terlebih dahulu sama ada barang itu penting atau tidak.
#2 Had Belanja Makan
Oleh kerana bekerja setiap hari (kecuali sabtu dan ahad) maka keraplah keluar makan bila tiba waktu rehat. Mungkin selepas ini Sha perlu lebih rajin untuk memasak dan menyediakan makanan sendiri berbanding makan diluar.
Kalau kita tidak berubah, siapa lagi yang boleh tolong ubah diri kita sendiri bukan? Nasib baik ada suami yang selalu ingatkan supaya berjimat dan selalu bertolak ansur walaupun bila balik kerja kami makan malam dengan lauk yang ringkas sahaja. Yang penting masak sendiri jimat dan sihat.
#3 Elak Membeli Barang Tidak Perlu
Sha rasa sebagai perempuan memang tidak boleh lari daripada keinginan untuk membeli barangan rumah, barang kosmetik dan perhiasan lain. Tetapi Sha kini belajar untuk tidak membeli barangan tidak perlu lagi. Selalu kena tanam dalam minda barang tidak perlu beli jangan beli, tambah pula lebih mudah uruskan rumah tanpa perhiasan atau perabot yang banyak.
Barangan aksesori seperti beg tangan juga termasuk dalam barangan yang tidak sepatutnya beli jika masih punya yang elok dan cantik.
#4 Buat Bajet Perbelanjaan Bulanan
Oleh kerana Sha mempunyai gaji tetap setiap bulan mungkin lebih mudah untuk Sha membuat bajet bulanan. Antara kos wajib perlu dimasukkan dalam kos bulanan adalah seperti kos minyak ke tempat kerja, kos makan, kos belanja anak-anak di sekolah dan komitmen bulanan lain untuk rumah.
Untuk buat bajet bulanan ini mudah sahaja, Sha gunakan kalkulator online sahaja. Dengan kalkulator yang ada kita boleh hadkan perbelanjaan bulanan supaya kita dapat menyimpan setiap bulan.
#5 Elak Window Shopping
Oleh kerana Sha sedar Sha bukanlah kaya raya, jadi Sha memang selalu mengelak daripada window shopping sama ada dalam talian atau kedai fizikal. Kadang-kadang orang selalu cakap window shopping itu satu terapi, tetapi tidak bagi Sha.
Biasanya kalau Window Shopping Sha wajib beli satu barang. Jadi kita elak buat aktiviti yang boleh membuat kita terpengaruh dengan tawaran yang ada.
#6 Membeli Secara Borong
Salah satu cara yang Sha amalkan sejak berkahwin adalah membeli barangan dapur secara borong atau sekali gus pada tarikh tertentu secara tetap setiap bulan. Sebenarnya cara ini Sha sudah terbiasa daripada kecil.
Arwah ayah akan bawa Sha sekeluarga setiap kali selepas hari gaji ke sebuah pasaraya untuk membeli barang keperluan dapur bulanan. Kami memang elak membeli barang secara runcit bagi mengelakkan pembelian yang tidak sepatutnya kecuali barang basah.
#7 Jangan Menambah Hutang
Kita sedar untuk memulakan hidup terutamanya yang baru membina keluarga memerlukan kos lebih dari biasa. Mungkin ada keadaan mendesak yang membuat kita terdorong membuat pinjaman atau hutang. Jadi tetapkan itu sahaja dan tidak akan mengulang membuat pinjaman dengan alasan yang sama
#8 Penjimatan Penggunaan Eletrik
Memandangkan segala bil-bil utama di rumah suami yang selesaikan, suami selalu mengingatkan untuk mengambil langkah penjimatan yang paling mudah untuk dilakukan iaitu jimat elektrik. Pastikan perkakasan elektrik yang tidak perlu wajib ditutup suisnya.
Walaupun perkara ini nampak mudah, tetapi ianya perlu mendapat kerjasama supaya sama-sama menjaga. Anak-anak juga harus dilatih untuk mengamalkan penjimatan penggunaan eletrik harian supaya tanggungan tidaklah terlalu tinggi.
#9 Simpan Dalam Akaun Pelaburan
Zaman kini banyak pelaburan yang kita boleh lakukan. Tetapi masih perlu ingat supaya berhati-hati supaya tidak ditipu mana-mana pihak. paling asas mungkin korang boleh mempbuat pelaburan di platform yang diyakini di Malaysia seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Berhad.
Anggap sahaja itu suatu tabungan sambil melabur. Korang boleh nikmati hasil pada awal tahun bergantung kepada jumlah pelaburan korang nanti.
#10 Jana Pendapatan Sampingan
Zaman sekarang Sha rasa majoriti rakyat Malaysia mempunyai kerja lebih daripada satu pekerjaan. Tidak kiralah sekecil-kecil perniagaan walaupun hanya sebagai dropship. Dengan pendapatan sampingan itulah kita dapat menampung lompong-lompong yang tidak dapat disokong oleh gaji bulanan yang ada.
Jika gaji yang ada hanya cukup makan macam mana nak ada tabungan bukan? Jadi dengan pendapatan sampingan itulah kita dapat membuat simpanan. Bukan apa, simpanan amat penting untuk waktu-waktu kecemasan dan kita tidak perlu terlalu risau di kemudian hari.
Kepentingan Langkah Jimat Cermat Dan Kembali Menabung
Berjimat cermat amat penting untuk memastikan kemudahan kita sendiri pada masa hadapan. Kita tidak tahu bila masa yang kita akan amat-amat memerlukan wang. Bagi mengelakkan kita meminjam pada orang sekeliling apa kita mulakan langkah berjimat sebelum ujian mendatangi kita.
Pepatah melayu juga ada mengatakan sediakan payung sebelum hujan. Begitulah maksudnya supaya kita sentiasa beringat.
0 Comments
Terima Kasih Daun Keladi