Hot Posts

6/recent/ticker-posts

10 Sebab Berlaku Penyalahgunaan Dadah

10 Sebab Berlaku Penyalahgunaan Dadah | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua.

Merujuk kepada tajuk, ianya antara soalan yang kerap dipersoal oleh orang awam, pelajar, pemimpin dan sebagainya. Tapi tidak semua orang memahami kepentingan untuk mencari ilmu kenapa anak-anak perlu dijelaskan tentang kesediaan menghadapi dunia luar.

 

 

Respon Tentang Kempen Antidadah

Baru-baru ini Sha telah bertugas di satu sekolah rendah. Sha didatangi oleh seorang ibu dan si ibu menyatakan isi pameran tidak sesuai dipertontonkan kepada anak-anak. Alasan si ibu adalah untuk mengelakkan anak-anak tahu tentang dadah. Agak terkejut dengan respon ibu tersebut, jadi Sha perlu menerangkan tujuan kita membuat kempen antidadah.

Pada Sha kempen antidadah yang disampaikan adalah bersesuaian dengan setiap peringkat umur. Sebaiknya pendedahan ini disampaikan oleh pihak yang betul. Hal ini kerana anak-anak zaman ini sudah maju ke depan berbanding zaman dahulu. Maklumat hanya di hujung jari, dalam diam mereka mampu tahu lebih daripada ibu bapa sendiri.

 

Saat Keliru Seorang Anak Untuk Membezakan Yang Betul Dan Salah

Korang nak tahu tak saat paling sedih dalam perkhidmatan Sha? Saat paling sedih adalah saat melihat wajah suci anak-anak yang sedang membesar berdiri dalam keadaan keliru di hadapan meja pameran. Jangan terkejut anak-anak ini pernah melihat barang salah ini di rumah sendiri.

Korang boleh bayang tak bila anak ini beritahu dan bertanya

" Barang ini ada di rumah, ayah saya guna"

" Barang ni salah ke achik?" 

Mereka mula tertanya sendiri antara kenyataan yang mereka lihat di rumah berbanding pihak bertanggungjawab sampaikan. Naluri Sha sebagai ibu selalu tersentuh bila dipersoal sebegitu.

Anak-anak seperti ini merupakan golongan keluarga berisiko maka perlu diberi perhatian yang lebih, supaya penerimaan mereka tidak terlalu mengejut. Perkara seperti ini mungkin boleh menjejaskan emosi dan tindakan mereka di rumah nanti.

 

Maksud Penyalahguna Dadah

Ya, semua orang tahu kandungan dadah dalam ubat-ubatan. Pernah pelajar sekolah mempersoalkan - 

kenapa dadah ini salah sedangkan ada dalam ubat?
Jawapannya : Sebab itu di sini kita tekankan perkataan penyalahguna dadah. Maksudnya di sini menggunakan dadah bukan atas tujuan perubatan. Sebarang dadah boleh digunakan secara dari segi perubatan sekiranya diberikan oleh doktor.

Contohnya pesakit kanser yang dirawat dengan morfin.

 

10 Faktor Risiko Yang Mungkin Menyumbang Kepada Penyalahgunaan Dadah

 

1. Pengaruh Rakan Sebaya

Dalam kalangan remaja, mereka mahukan persahabatan berbentuk kumpulan. Mereka mungkin terjebak dengan pengaruh negatif rakan sebaya dan mengambil dadah untuk menjalin ikatan dan terus berada dalam kumpulan yang mengambil dadah.

2. Rasa Ingin Tahu

Antara alasan popular adalah ingin tahu menjadikan mereka ingin bereksperimen dengan perkara-perkara baharu. Kecenderungan mencuba dadah meningkat apabila mereka bersama-sama berasa ingin tahu dan kurang memikirkan akibatnya terhadap diri masing-masing.

3. Rasa Bosan

Ramai belia zaman ini tidak mempunyai aktiviti yang berfaedah untuk mengisi masa lapang mereka. Rasa bosan kerana tidak beraktiviti dengan gaya hidup sihat boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah dan inhalan.

4. Kegagalan Mengurus Emosi

Sesetengah belia mempunyai pengalaman atau saat yang tidak menyenangkan di rumah atau di sekolah. Konflik dengan ibu bapa, prestasi pelajaran yang tidak memberansangkan dan hubungan yang tidak baik dengan rakan-rakan sekolah merupakan beberapa contoh.

Perasan kecewa, resah, kemurungan atau rasa tidak berguna boleh menyebabkan rasa rendah diri. Kegagalan mengatasi emosi-emosi ini boleh membawa kepada penyalahgunaan dadah sebagai jalan keluar.

5. Sikap Keluarga Terhadap Dadah

Mungkin tiada atau kurang pengawasan ibu bapa di rumah. Oleh itu mereka mudah terdedah kepada pengaruh negatif.

6. Sejarah Keluarga

Kita tidak boleh menolak sejarah keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang mempunyai sejarah pengambilan dadah akan terjebak. Jika anak-anak dibesarkan dalam kalangan yang mengambil bahan terlarang boleh menyebabkan belia mahu bereksperiman dengan dadah.

Ini menunjukkan betapa penting keluarga terutamanya ibu-bapa memberi contoh yang baik kepada anak-anak.

7. Ketersediaan Bahan

Banyak bahan-bahan terlarang mudah didapati dengan harga yang mampu beli. Akses anak-anak kepada dadah menyebabkan risiko untuk mereka terlibat adalah sangat tinggi.

Di sini Sha nak ceritakan sedikit perkongsian tentang bekas penagih yang bebas daripada pusat pemulihan. Bagaimana mereka boleh terjebak kembali? Mereka kembali menagih akibat dadah yang mudah didapati

8. Keseronokan

 

menagih dadah untuk seronok
 

Antara sebab seseorang mengambil dadah adalah untuk keseronokan. Dadah rekreasi mendapat sambutan kerana ia dikatakan mampu membuat seseorang itu walaupun sekejap. Walaubagaimanapun kebanyakkannya tidak tahu kesan penyalahgunaan dadah dalam jangka masa panjang.

9. Kesihatan

Pengambilan bahan terlarang atas faktor kesihatan. Alasan ini juga menjadi penyebab kepada penyalahgunaan dadah. Kita semua tahu apa-apa ubat yang diberikan oleh doktor adalah selamat untuk diambil kerana ianya mengikut dos yang betul.

Walaubagaimanapun terdapat individu yang bertindak mengambil dos dengan cara yang salah bagi menyelesaikan kesakitan dan masalah yang dihadapi.

10. Kesepian

Orang yang mengambil dadah kebanyakan mempunyai masalah sosial sama ada dari segi berinteraksi dengan orang luar atau keluarga sendiri. Mereka mahu keluar daripada keadaan sunyi dan ingin mencari kegembiraan.


Rekod Penagihan Membuktikan Sebab Berlakunya Penyalahgunaan Dadah

Untuk pengetahuan semua, 10 sebab penyalahgunaan dadah yang disenaraikan adalah merujuk kepada rekod hasil daftar kes klien yang berdaftar di Malaysia.

Dari awal kita sepatutnya didedahkan dengan kesan dan akibat jika menyalahguna dadah yang ada. Sudah menjadi lumrah bagi anak-anak yang baru nak kenal dunia suka mencuba sesuatu yang baru. Tetapi sebagai orang tua kita perlu tanam "kebencian" untuk elak penyalahgunaan dadah.

Post a Comment

1 Comments

  1. Pengaruh rakan sebaya dan sejarah keluarga tu paling kuat pengaruhnya. Risau tengok anak2 muda, terang2an hisap dadah di tempat awam. Nak tegur takut kita yang kena2. Last2 report polis je.

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi