Apabila perlu menjaga anak yang baru lahir walaupun ibu jatuh sakit pastinya membimbangkan. Apatah lagi jika melibatkan penyakit viral seperti selesema. Bertenang, Hello Doktor akan kongsikan petua penjagaan bayi selepas bersalin apabila ibu dan ayah kurang sihat.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Menjaga anak baru lahir walaupun tidak sihat
Bergelar ibu bapa baharu sudah tentu akan hadir rasa keterujaan untuk sentiasa bersama si manja.
Tetapi apabila berada dalam keadaan tidak sihat, secara tidak langsung akan wujud kegusaran untuk menjaga bayi baru lahir.
Berikut beberapa tip penjagaan untuk membantu anda:
1. Pemeriksaan doktor
Anda perlu mengetahui masalah kesihatan apakah yang dialami agar dapat berwaspada daripada menyebarkan kuman kepada bayi baru lahir.
Sebaiknya jika anda perlu menjaga bayi ketika sakit, lakukan pemeriksaan doktor untuk menentukan gangguan kesihatan yang dialami serta langkah untuk mengurangkan penyebaran bakteria apabila perlu bersentuhan dengan si kecil.
Menjaga anak ketika sakit #2. Jangan panik bayi akan berjangkit
Sebagai ibu bapa pastinya anda risau jika bayi akan dijangkiti dengan masalah kesihatan anda itu.
Bergantung kepada masalah kesihatan yang anda alami, pastinya doktor akan memberitahu jika anda perlu mengurangkan sentuhan untuk mengelakkan penyebaran jangkitan.
Walau apapun, cara terbaik adalah untuk kerap mencuci tangan serta cuba kurangkan sentuhan tangan dan mulut dengan bayi.
3. Penjagaan bayi selepas bersalin walaupun sakit: Teruskan penyusuan
Jika menyusu badan, teruskan penyusuan seperti biasa kerana ia antara salah satu cara untuk mengekalkan tahap kesihatan si manja.
Ini kerana apabila jatuh sakit, tubuh akan bekerja keras untuk menghasilkan antibodi dan secara tidak langsung ia akan disalurkan kepada bayi melalui susu badan.
Sekiranya anda bimbang untuk menyusu serta menjaga anak secara dekat atau mungkin tahap kesihatan tidak mengizinkan, pamkan susu dan minta bantuan pasangan untuk memberikannya melalui susu botol.
Anda perlu mengetahui bahawa susu ibu tidak akan menyebarkan jenis kuman yang menyebabkan penyakit sementara seperti selesema atau demam.
4. Dapatkan bantuan untuk menjaga anak
Mintalah bantuan pasangan, keluarga atau rakan baik untuk membantu aspek penjagaan bayi selepas bersalin apabila anda tidak sihat.
Berterus-terang mengenai keadaan kesihatan anda dan dapatkan bantuan mereka. Jangan malu kerana ia adalah apa yang anda perlukan buat masa ini dan pastinya mereka akan dapat memahaminya.
5. Kekal tenang
Secara jujurnya, penjagaan bayi selepas bersalin dalam keadaan tidak sihat pasti agak huru-hara.
Pastinya ‘sakit mata’ melihatkan pinggan mangkuk bersusun di sinki serta baju kotor bertimbun di dalam bakul. Namun dalam masa yang sama ia mengajar anda kemahiran keibubapaan untuk belajar melepaskan sesuatu.
Buat sementara lupakan mengenai pinggan mangkuk tidak berbasuh serta baju yang menimbun. Biarkan rumah bersepah untuk seketika. ‘Butakan mata’ anda sekejap.
Paling penting, dapatkan rehat yang secukupnya sepanjang tempoh anda tidak sihat ini dan kumpulkan tenaga untuk ‘berperang’ apabila pulih nanti!
Menjaga anak ketika sakit #6. Cegah penularan melalui udara
Sekiranya tiada sesiapa yang boleh membantu menjaga bayi baru lahir ketika anda sakit, lakukan cara terbaik bagi mencegah penularan penyakit melalui udara.
Elakkan bernafas secara langsung ke wajah bayi dan jika boleh, keluar daripada bilik apabila perlu batuk atau bersin. Anda juga boleh memakai penutup muka sebagai langkah pencegahan.
Di samping itu, anda juga boleh meletakkan selimut antara anda dan si manja semasa penyusuan untuk membantu mengurangkan risiko penularan jangkitan.
7. Segalanya akan bertambah baik
Sudah tentu anda akan berasa serabut dan mahukan segalanya segera kembali seperti biasa serta dapat menjaga si manja. Percayalah, semuanya akan kembali pulih, namun anda perlu bertenang.
Sememangnya ia merupakan tempoh masa yang kurang baik untuk jatuh sakit selepas membawa pulang bayi baru lahir.
Namun paling penting buat masa ini adalah untuk kerap membasuh tangan, mengurangkan ciuman kepada si manja, berserta sedikit rasa sabar dan rehat yang mencukupi pasti keadaan akan pulih.
Percayalah, anda boleh melalui fasa ini dengan baik!
Cabaran menjaga anak ketika sakit
Menjadi ibu bapa dan jatuh sakit antara kombinasi yang meningkatkan lagi tahap kesukaran kerana anda bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri, bahkan ada individu lain turut bergantung serta memerlukan perhatian anda.
Amat penting sekali untuk menjaga diri sendiri! Perbanyakkan minum air dan dapatkan rehat yang secukupnya.
Jangan berasa malu untuk mendapatkan bantuan untuk penjagaan bayi selepas bersalin ketika anda jatuh sakit.
Perkara mudah lain yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan adalah dengan membuka tingkap bagi membolehkan peredaran udara berlaku.
Perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan runcit dalam talian pastinya penyelamat sepanjang tempoh anda jatuh sakit ini.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
2 Comments
memang susah nak kawal emosi kalau jaga anak tengah sakit. Bab rumah bersepah tu memang kena tutup mata kalau tak makin teruk stressnya.
ReplyDeletetips yg sngt brguna untuk para ibu..
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi