Friday, October 16, 2020

Apakah Yang Membanggakan Seorang Penagih Dadah?

Apakah Yang Membanggakan Seorang Penagih Dadah? Setiap insan punya impian, cita-cita dan janji kepada diri sendiri begitu juga insan yang bergelar penagih dadah. Apa yang membanggakan bagi seorang penagih? Pastinya DAPAT BERUBAH MENJADI INSAN YANG LEBIH BAIK & MEMBUKTIKANNYA PADA ORANG TERSAYANG. Sebagai orang yang bersih daripada najis dadah pun berbangga jika dapat menjadi lebih baik daripada kelmarin, mereka juga begitu bahkan lebih lagi. Hal ini kerana meninggalkan najis dadah adalah bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan semangat dan azam yang kuat. Percayalah mereka juga seperti manusia lain yang punya rasa menyesal tetapi ianya penuh jenuh perit untuk berubah. Bercerita tentang kebanggaan, Sha ingin kongsi satu pencapaian oleh klien Sha sendiri yang baru-baru ini telah menjadi Juara Pertandingan Tilawah Al-Quran dan Juara Azan. Sha dapat melihat kegembiraan beliau dan betapa pentingnya penghargaan itu buat beliau.


Penyampaian Hadiah Pertandingan Pencarian Daei Unggul Peringkat AADK Negeri


14 Oktober 2020 (Rabu) yang lepas telah diadakan satu majlis penyampaian hadiah untuk pemenang pertandingan pencarian daei dikalangan Orang Kena Pengawasan (OKP). Acara yang telah dipertandingkan adalah kategori Tilawah Al-Quran, kategori laungan azan dan kategori tulisan khat. Juara bagi setiap kategori ini akan mewakili Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Perak ke pertandingan peringkat kebangsaan pula. Walaubagaimanapun akibat pendemik Covid-19 pertandingan ini terpaksa dijalankan melalui sidang video sahaja berbanding pertandingan tahun-tahun sebelumnya yang mana diadakan di majlis yang meriah.
 
 
Gambar ; Klien yang mewakili Daerah Perak Tengah bersama Ketua Pegawai dan Ketua Unit Rawatan, Perubatan & Pemulihan. AADK Daerah Perak Tengah telah berjaya menjuarai dua kategori iaitu kategori Tilawah Al-Quran dan kategori Azan Terbaik dan bertanding di peringkat kebangsaan pula.



Sijil penyertaan telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan AADK Negeri Perak


Juara Tilawah Al-Quran & Azan



Hari yang sama juga telah diadakan sesi rakaman video bacaan Al-Quran dan laungan azan daripada juara peringkat negeri dan akan dipertandingkan peringkat kebangsaan pula.


Setelah melalui undian, peserta yang mewakili AADK Negeri Perak perlu memperdengarkan bacaan daripada Surah Al-Furqan.

Kata Semangat Dan Penghargaan


Sebelum peserta bergerak ke AADK Negeri Perak untuk sesi penyampaian hadiah dan sesi rakaman video tersebut Sha sempat berjumpa dan memberikan kata-kata semangat kepada beliau. Sebagai salah seorang pegawai yang menyelia beliau secara dekat, Sha amat berbangga dengan pencapaian beliau setakat ini.

Sha amat gembira apabila menerima perkhabaran apabila Pengarah AADK Negeri Perak dan para juri yang terlibat telah sepakat memilih beliau sebagai juara. Sesi ini juga bertambah seri dengan hadirnya sokongan daripada insan tersayang iaitu isteri dan anak beliau.

Sebagai seorang yang bekerja membantu dalam kepulihan klien penyalahgunaan dadah, apabila klien berjaya hidup seperti orang lain dalam masyarakat adalah suatu pencapaian yang terkesan dihati kami. InsyaAllah doakan mereka yang tersilap langkah ini kembali ke pangkal jalan.

2 comments:

Terima Kasih Daun Keladi