Resepi Daging Dendeng Yang Sedap Dan Ringkas | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah hari ini kita sudah masuk hari keempat bulan Ramadhan 1441H. Selepas maghrib tadi Sha sempat menghabiskan bahagian juzuk yang diamanahkan oleh sebagai salah seorang peserta tadarrus Al-Quran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perak. Untuk tahun ini Sha mengambil juzuk ke 26 sambil itu menyelesaikan bacaan juzuk-juzuk lain yang Sha mulai sebelum Ramadhan tiba. Bersyukur ke hadrat Ilahi masih diberikan kesihatan untuk menjalani ibadah puasa tahun 2020 ini. Semoga kita sentiasa diberkati selalu. Bila tiba bulan puasa mulalah kumpul balik resepi sendiri yang jarang buat terutamanya resepi kegemaran untuk susun balik jadual masak untuk sahur dan berbuka nanti. Kali ini Sha nak kongsi lauk kegemaran Sha dan suami iaitu resepi daging dendeng perak.
Daging Dendeng adalah antara masakan kesukaan suami Sha dan Sha pun sudah jatuh hati sejak mengenali resepi ini pada awal-awal kahwin dulu selepas menemani suami hadir ke
kenduri biras Sha yang terletak di Teluk Intan, Perak. Seperti biasa kalau dah namanya hanti daging, masak apa pun InsyaAllah Sha tidak menolak tambah pula dikatakan ini adalah menu istimewa dimajlis perkahwinan hari itu.
Suami Sha cakap kalau yang betul-betul punya daging dendeng, petuanya kalau
daging beratnya 1 kg, bawang merah pun perlu 1 kg jugak baru
asli. Bunyinya agak renyah sebab kena kupas bawang banyak, tapi kalau nak sedap kenalah ikut resepi orang Perak yang ajar. Tanpa buang masa lagi jom kita tengok apa resepi untuk daging dendeng bawang goreng ini.
Resepi Daging Dendeng Perak
Bahan-bahan Masak Daging Dendeng
1 kg daging
1 kg Bawang Merah ( Dimayam )
Halia ( Dimayam )
Bawang Putih ( Dimayam )
Cili Kering ( Direbus & Dikisar )
Garam
Kicap
Cara-cara Memasak Daging Dendeng
Langkah 1 : Rebus daging sampai empuk
Langkah 2 : Setelah daging empuk kita hiris nipis-nipis
Langkah 3 : Daging dihiris tadi diketuk @ ditumbuk dalam lesung
Langkah 4 : Perap daging dengan kicap
Langkah 5 : Goreng daging sekejap...
( Selesai bab daging kita boleh ketepika terlebih dahulu )
Langkah 6 : Dengan minyak goreng daging tadi...kita goreng pula bahan-bahan yang telah dimayam tadi hingga terbit bau wangi, kemudian
angkat dan ketepikan.
Langkah 7 : Dengan minyak sama juga, kita tumis cili kisar tadi dengan anggaran 2 sudu sahaja untuk elak terlalu pedas, kalau suka pedas boleh letak lebih.
Langkah 8 : Tambah kicap dalam kuali dan kacau sehingga sebati.
Langkah 9 : Kita masukan daging yang digoreng tadi diikuti dengan bahan-bahan dimayam yang telah digoreng tadi. Goreng semua bahan didalam kuali sehingga semuanya sebati.
Semua bahan-bahan nampak ringkas sahaja tetapi agak mengambil masa untuk menyiapkannya kerana beberapa proses seperti merebus, perap, hiris dan ketuk daging sebelum proses masak sebenar. Nak potong bawang sekilo tu pun agak bercinta nak siapkan. Sekarang anak-anak dah besar mungkin boleh ringankan kerja ibu didapur jadi bolehlah minta tolong apa yang patut dengan mereka. Sha kalau dapat lauk macam ni memang buat lebih sebab boleh makan berulang-ulang dan selalu curi-curi buka kuali untuk meratah. Jadi apa lagi, selepas ini menu nasi panas dengan daging dendeng pula punya giliran.
2 Comments
Alhamdulillah
ReplyDeleteSelamat berbuka puasa.
i don't think i've ever tried dendeng.
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi