Tuesday, June 11, 2019

Aidilfitri 2019 Beraya Di Hospital

Aidilfitri 2019 Beraya Di Hospital | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Seronok membelek media sosial kawan-kawan sama ada di facebook atau instagram dengan hashtag #OOTD yang meriah dan gembira. Berlainan pula untuk Sha sekeluarga pada tahun ini disambut dengan penuh ala kadar kerana keadaan kesihatan Mak tidak memberansangkan. Baju raya adik-adik pun petang sehari sebelum baru raya baru diambil di rumah saudara tukang jahit. Menu raya juga dibuat saat-saat akhir maklumlah ingatkan Mak tak dapat berhari raya di rumah. Malam raya itulah baru Sha dan adik-adik sibuk di dapur menyediakan apa yang sempat seperti nasi tomato, rendang dan ketupat. Alhamdulillah dapat juga 3 batang lemang hasil pemberian sepupu dan kawan arwah ayah. Adik Sha yang bongsu tu sampai tak tidur sediakn juadah, dia je yang paling rajin nak masak..huhuuhu.


Hari raya pertama berjalan dengan lancar, seperti biasa menyambut saudara mara yang sudi singgah ke rumah pada hari mulia itu. Masuk hari kedua Mak minta letakkan dia di dalam bilik tidur, nak berehat katanya yang mana sebelum ini dia banyak berehat di ruang legar rumah kampung Sha sahaja. Mak semakin tiada tenaga. Akhirnya petang hari raya kedua kami terpaksa memanggil ambulans untuk mengambil Mak ke Unit Kecemasan Hospital Besut. Kami terkejut dengan perubahan mendadak Mak, risaunya Allah SWT sahaja yang tahu.

Maka Mak terpaksa ditahan di wad selama 3 malam untuk memantau kandungan gula dalam darah yang mana Mak mengalami hipo teruk. Untuk pengetahuan korang Mak jaga pemakanan kerana baru sahaja membuat pembedahan membuang 3 jari kaki yang tak dapat diselamatkan akibat salur darah yang tidak mengalir dengan baik di bahagian kaki.

5 Syawal 1440H barulah mak dibenarkan keluar wad. Korang doakan Mak dan Adik-adik Sha kuat dalam menempuh dugaan ini. Besar harapan kami untuk melihat Mak kembali sihat dan cergas tak perlulah sampai boleh berlari tapi harap Mak boleh berjalan dan bertenaga kembali dan boleh masuk dapur. Adik-adik yang masih bersekolah, Sha sendiri pun dah lama tak merasa air tangan Mak dan teringat pula adik bongsu beritahu Mak berhasrat nak masak untuk anak-anak raya tahun ini tapi nampaknya hasrat Mak terpaksa ditangguh. Semoga Aidilfitri tahun depan 2020 Mak sihat dan diberikan kesembuhan supaya Mak dapat merealisasikan hasratnya untuk masak juadah bagi anak-anak, menantu dan cucu-cucunya.

Kadang-kadang tak perlu terlalu melihat bahagia orang, kerana masih ada yang diuji dengan ujian berat daripada kami menjadikan kami lebih positif. Mak cepat sihat yeaa... nanti boleh jalan-jalan.

2 comments:

Terima Kasih Daun Keladi

Follow Us @shalimarmohdyusof