HOME CONTACT SIAPA SAYA NOTA TUTOR NOTA CUTI NOTA RESEPI AIDY REVIEW SILERA CHIA SEED

Monday, September 11, 2017

SEKOLAH DAHULU DAN SEKOLAH SEKARANG


SEKOLAH DAHULU DAN SEKOLAH SEKARANG | Assalamualaikum, salam sejahtera buat pembaca coretan Sha setiap hari tanpa jemu, apa khabar ya semua. Didoakan semoga pembaca semua dan juga ahli keluarga kita beroleh kesihatan yang baik. Pembaca coretan yang tidak seberapa ini mungkin ramai yang sudah bergelar ibu dan bapa. Apabila sudah menjadi ibu dan bapa tiba pula fasa anak-anak perlu mendaftar persekolahan. Di dalam rutin harian menyiapkan anak ke sekolah Sha terfikir juga cabaran-cabaran yang akan dihadapi anak-anak pada masa hadapan. Anak Sha pun kini sudah memasuki usia 5 tahun sedang mengikut alam persekolahan tadika sementara memasuki pra sekolah pada tahun hadapan. Sungguh Sha mengakui ibu bapa kini perlu lebih ke depan berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang sedang melalui fasa anak-anak sedang membesar dan bersekolah ini. Tidak perlu jauh adik-adik Sha sendiri pun masih bersekolah sudah merasai tekanan sedikit sebanyak hasil perubahan sistem pembelajaran pada hari ini berbeza dengan zaman Sha dahulu.

Sekolah dahulu dan sekolah sekarang mempunyai perbezaan dari pelbagai sudut yang boleh kita nampak dari segi sosial, sistem pendidikan, dan kos pembelajaran juga infrastruktur. Jika dilihat dari segi sistem pendidikan masa kini memang banyak perubahan yang berlaku seiring dengan zaman. Jika dulu tidak banyak pilihan dalam subjek dan aliran kini anak-anak boleh memilih sekolah mengikut minat dan peluang yang ada. Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri telah memperkenalkan pra sekolah berbanding dulu hanya wujud tadika disediakan untuk pendidikan awal kanak-kanak tapi kini bagi anak yang berumur 4 hingga 6 tahun sudah boleh mendaftar juga meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan prasekolah swasta sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Antara pengkelasan sekolah ialah wujud Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang mempunyai etos, karakter dan identiti sendiri. Sekolah-sekolah ini akan melonjakkan kecemerlangan pelajar ke peringkat lebih tinggi dan mempunyai personaliti unggul dalam  semua bidang tidak kurang juga ianya menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan mereka ke tahap lebih tinggi. Jika dahulu akademik sahaja diukur kini penglibatan ko-kurikulum pelajar juga diambil kira dalam mengukur tahap kecemerlangan mereka. Menyebut tentang aliran pembelajaran yang ada kini kita dapat lihat anak-anak berpeluang  memilih sekolah yang sepenuhnya akademik , sekolah teknik dan vokasional juga sekolah kebangsaan agama. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang dipertanggungjawabkan dibawah Unit Sekolah Berasrama Penuh Bahagian Sekolah juga disediakan kepada pelajar cemerlang yang terpilih tak lupa juga institusi pendidikan lain yang ditubuhkan iaitu Sekolah Pendidikan Khas dan Sekolah Sukan. Selain itu, waktu pembelajaran juga berbeza jika dahulu satu sesi sahaja kini ada sekolah yang mempunyai dua sesi pembelajaran iaitu pagi dan petang. Aliran dan subjek-subjek yang ada kini adalah sangat bersesuaian untuk persediaan pelajar menuju ke tahap pembelajaran yang lebih tinggi. Subjek-subjek yang ditawarkan juga pelbagai pelajar boleh mengambil subjek untuk tambah nilai dalam peperiksaan.

Selaras dengan perkembangan teknologi semasa, pihak KPM telah memperkenalkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam sistem pendidikan yang meliputi prasarana, pengisian, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. KPM telah melaksanakan pelbagai projek ICT dengan membekalkan komputer sebagai penyediaan infrastruktur ICT. Jika dahulu papan hitam digunapakai kini papan putih, komputer, jaringan internet dan alat bantu mengajar yang lebih canggih digunakan dalam sesi pembelajaran seperti kelengkapan multimedia /cd pembelajaran interaktif. E-learning meliputi aplikasi dan proses pembelajaran berdasarkan komputer, kelas visual dan kolaborasi digital yang mengandungi teks, gambar, animasi, streaming video dan audio melalui intranet , audio, video tape, tv satelit dan CD-ROM. Tugas-tugas guru juga semakin bertambah apabila banyak urusan adalah secara atas talian seperti memasukkan keputusan peperiksaan ke dalam sistem dan ibu bapa kini juga perlu memohon kemasukan ke sekolah melalui atas talian juga berbanding dahulu hanya melalui manual dan borang yang disediakan oleh pihak sekolah. Jika dahulu pelajar university memerlukan komputer dan ini tapi kini bukan mereka sahaja tugasan sekolah juga kebanyakannya memerlukan komputer dan internet untuk menyediakan bahan-bahan pembelajaran bagi memenuhi tugasan yang diberikan. Tidak lupa juga kini pelbagai perkhidmatan dalam talian yang disediakan seperti semakan atau permohonan, pelbagai maklumat tentang pendaftaran sekolah anak-anak, maklumat untuk pertukaran guru-guru dan maklumat lain yang berkaitan dengan pendidikan negara kita.

Dari segi sudut sosial pendidikan negara juga tidak ketinggalan mengalami perubahan mungkin kerana mentaliti rakyat kini yang merangkumi pihak pelajar, guru dan ibu bapa yang menjadi unsur yang saling berhubungan dalam mencapai matlamat. Sekolah akan maju dan berkembang apabila unsur-unsur ini bersatu harmoni dan menjalankan tanggungjawab masing-masing. Guru adalah pegawai yang diberi mandat menjalankan kegiatan di sekolah mereka perlu dihormati dan dipatuhi selagi tidak bercanggah dengan peraturan dan mereka bertanggungjawab mendidik pelajar dan memberi hukuman jika murid melanggar undang-undang sekolah. Pada zaman ini ibu-bapa adalah amat berbeza dengan sekolah dahulu kerana ibu bapa harus lebih adil apabila anak-anak dikenakan tindakan dahulunya tiada kes tular seperti mana hari ini apabila anak dikenakan denda walaupun hukuman ringan terdapat ibu-bapa yang terus melenting menyalahkan satu pihak. Pemakaian pakaian juga dipelbagaikan mengikut tugas seperti pengawas, pustakawan, pembimbing rakan sebaya dan lain-lain selain itu di peringkat sekolah menengah atas iaitu tingkatan 6 juga sudah berubah jika dahulu memakai pakaian seragam sekolah kini tidak lagi. Jika dulu anak-anak dilatih apabila habis waktu sekolah mereka akan ke kelas mengaji bila petang anak-anak akan diberi peluang bermain bersama kawan-kawan. Tiba-tiba teringat zaman sekolah dulu, memang terbaik. Sekarang anak-anak balik sekolah pun lewat, kejar tuisyen pula habis belajar balik sekolah mengadap gajet atau melayari internet kurang bersosial bersama keluarga dan kawan-kawan.

Kos perbelanjaan persekolahan juga semakin meningkat berbanding dahulu. Bukan sahaja bahan pembelajaran dan buku-buku tambahan yang perlu juga alat bantu belajar yang lain bekalan duit ke sekolah juga berbeza seiring peningkatan ekonomi sara hidup kini. Jika dulu RM 2.00 hingga RM 3.00 sudah mencukupi kini RM 5.00 pun belum tentu cukup untuk belanja disekolah tapi budak zaman sekarang ada yang segan nak bawak bekal ke sekolah. Kalaulah duit itu digunakan ke jalan yang betul tak apalah kan jangan ke lain pula, tambah pula kes-kes ponteng banyak terjadi berbanding dahulu. Belum kira pengangkutan ke sekolah zaman dahulu ada jalan kaki dan berbasikal kalau yang manja sikit ibu bapa hantarkan, macam Sha dulu, kini perkhidmatan bas sekolah disediakan tunggu bayar sahaja setiap bulan tidak pun manja cara sekarang bagi motorsikal untuk kegunaan anak pergi sekolah sendiri mungkin kerana kekangan masa ibu bapa yang kebanyakkannya kedua-dua bekerja.

Masih banyak lagi sebenarnya perbezaan jika kita selami secara mendalam dan melalui pemerhatian tambah pula bagi ibu bapa yang punya anak bersekolah. Diharapkan dengan perubahan yang dilalui anak-anak dapat harungi dengan cemerlang dan ibu bapa juga dapat memberi kerjasama yang baik bagi memastikan segala perancangan yang diatur berjalan lancar dan sekali gus generasi kini dapat menjadi anak bangsa yang cemerlang dan terbilang dalam bidang masing-masing. Sha berdebar juga tunggu giliran anak-anak masuk sekolah 2 tahun lagi selain anak Sha pun kena bersedia untuk membimbing mereka iyalah semestinya kalau mereka tak faham mereka akan tanya orang tua kan.

Pada kawan-kawan yang anak dah bersekolah kongsilah tips dan pengalaman cara nak layan soalan anak-anak kita yang semakin mencabar.
Terima kasih.

3 comments:

  1. yg pasti soalan2 masa kita sekolah dulu dgn soalan anak2 skrg mmg beza.. payah giler tengok exam diaorg

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi