Hot Posts

6/recent/ticker-posts

Resepi Soto Simple Dengan Begedil Dan Sambal Kicap, Sesuai Untuk Baru Nak Belajar Masak

Resepi soto cepat dan mudah | Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Alhamdulillah, walaupun beraya simple sahaja tahun ini,  tetapi ia tetap diraikan. Baru-baru ini Sha memang teringin sangat nak makan soto, biasanya musim raya mesti nak makan soto kakak ipar masak. Tapi sayangnya dah beberapa tahun tak dapat merasa. Kebetulan pula kawan baik Sha dulu up status status tunjuk gambar masak soto, jadi lagilah teringin nak makan. Alang-alang dah tak ada idea nak masak apa, Sha pun ambil keputusan untuk masak soto. Tapi kali ini sha ambil keputusan untuk masak soto paling cepat dan mudah tapi sedap. masa masak tu tak tahulah sedap ke tak kan? Sebab lama tak buat soto ni, jadi Sha guna bahan-bahan yang ada kat dapur sahaja.

Kali ini Sha masak soto tanpa campuran rempah. Itulah yang Sha cakap resepi soto cara Sha ni cepat dan mudah. InsyaAllah bahan-bahan pun tak banyak sangat. Jadi jom kita tengok macam mana nak masak soto simple tapi sedap ni. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri, tapi bolehlah nak makan sekeluarga kan? Tambah pula sekarang bukan macam selalu, tak boleh kerap ke kedai untuk cari barang.

Resepi Soto Ayam Simple Tapi Sedap



Macam biasa untuk kuah kita ada bahan yang di kisar dan ada bahan yang dimasukkan terus ke dalam kuah. Sebelum mula memasak kuah soto, dinasihatkan supaya korang rebus nasi impit terlebih dahulu. Sebabnya bila nasi impit dah masak, kita perlu sejukkan terlebih dahulu sebelum makan. Untuk sejukkan nasi impit agak mengambil masa, jadi masak awal adalah lebih baik.


Bahan-bahan Kuah Soto

1.5 liter air

Isi Ayam & Tulang Ayam yang diasingkan

1 sup bunjut

2 batang serai di ketuk

2 helai daun limau purut

2 akar daun sup

1 kiub ayam

garam & gula sebagai perasa

Bahan Kisar

3 biji Bawang merah besar

4 ulas bawang putih

1 inci halia

2 inci kunyit hidup

4 biji buah keras


Cara-cara masak kuah soto

Pertama sekali panaskan sedikit minyak dan tumis bahan kisar, serai, sup bunjut dan daun limau.

Kemudian masukkan isi ayam dan tulang  ( kalau tak nak letak tak apa, Sha suka ratah tulang ayam)

Gaul ayam dalam tumisan hingga bertukar warna, kemudian baru masukkan air.

Jangan lupa letak kiub ayam dan perasa lain.

Biar hingga mendidih, boleh angkat dan tos isi ayam.

Reneh kuah hingga betul-betul masak.


Hidangan pelengkap Soto Simple Kita Hari ini

4 ketul Nasi Impit Mini

1 paket bihun yang telah dicelur lembut ( Sha suka makan dengan bihun)

Hirisan daun bawang dan daun sup

Begedil

Sambal Kicap

Bawang goreng

Isi ayam yang kita tos tadi dan dicarik-carik isinya

Taugeh

Kacang tanah goreng

Suhun goreng

Limau Kasturi


Soto simple siap !

Walaupun simple, soto memang tak boleh kalau tak ada sambal kicap dan begedil tau! Kalau tak ada tak lengkap rasanya, macam makan sup biasa. Jadi kenalah ada sambal kicap dan begedil. Benda-benda ini boleh dibuat sambil mereneh kuah sup soto sahaja. Jadi tak perlu kalut sangat. Kat sini Sha nak kongsi juga resepi begedil simple untuk makan dengan soto. Barulah resepi soto ayam sedap!


Resepi Begedil Simple


Bila dah cakap menggunakan bahan-bahan yang ada dalam peti ais sahaja, jadi Sha gunalah apa yang ada. Ini begedil cara Sha ya.


Bahan-bahan buat begedil

3 biji kentang dibuang kulit dan di potong wedges

2 keping daging burger ayam

hirisan daun sup

Sedikit bawang goreng

Sedikit garam

1 biji telur

Cara-cara membuat begedil

Kentang yang dah dipotong perlu digoreng dan dilecek hancur

Apabila kentang dah hancur, masukkan kepingan daging burger, daun sup, bawang goreng dan perasa.

Gaul semua bahan hingga sebati dan boleh dikepal atau dibentuk menjadi bulat atau bentuk yang sepatutnyalah.

Bila siap bentuk, korang celup dalam telur yang telah dipecahkan dan goreng di dalam minyak yang telah dipanaskan.

Bila dah cukup garing, boleh angkat. Lebihan telur korang jangan buang pulak, akhir nanti goreng macam buat telur sarang. Macam mana buat telur sarang? Dengan pinyak sama korang goreng begedil tadi, korang masukkan lebihan telur dengan mangkuk yang sedikit tinggi sambil kacau telur dalam kuali. Jadi dapatlah sarang telur.

Selain itu, jangan dilupa sambal kicap sebagai penyedap soto kita. Kalau Sha, sambal kicap ini perlu pedas sedikit sebab Sha memang hantu pedas. Tapi biasanya Sha buat tak terlalu pedas untuk makan bersama suami dan anak-anak. Kalau tak cukup pedas boleh sahaja potong cili padi lagi.


Resepi Sambal Kicap Untuk Soto

Kicap manis

Kicap lemak manis

2 biji Bawang putih

Sedikit sup soto

Garam

Gula

5 biji Cili hijau (Sha tambah cili padi merah 1 biji)

Blend kesemua bahan diatas, dah boleh hidang.


Semua bahan dah siap jadi kita dah boleh makan. Alhamdulillah bertambah-tambah suami dan anak-anak makan. Sha jangan tanyalah, dah memang hantu sup. Sup apa pun mesti bertambah. Tapi hidangan yang paling Sha suka adalah menggunakan bihun. Suami pula memang jenis suka campur bihun dan nasi impit. Itu yang Sha perlu sediakan kedua-duanya biar masing-masing puas hati makan. Maklumlah nasi impit segera bersaiz mini yang Sha beli sebelum raya masih ada lagi. Okay setel soto ayam sedap dan simple nih !

Apa lagi korang, banyak masa duduk rumah lagi lepas ini. Bosan tak tahu nak masak apa, nak makan luar pun tak boleh. Jadi kita kena sedia pelbagai menu untuk kita sekeluarga.

Post a Comment

4 Comments

  1. Ni bukan kategori simple lagi dah ni.... sedap sangat! Lengkap, semua ada. Saya tak cukup makan semangkuk soto begini, mau menambah bermangkuk-mangkuk heheheheee.

    ReplyDelete
  2. Terliur. Lama tak makan soto. Kalau dapat bergedil sedap lagi laju makan

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi