Wednesday, February 05, 2020

Tanda-Tanda Mengandung Berbeza Antara Individu


Tanda-Tanda Mengandung Berbeza Antara Individu | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. Jangan salah faham dengan tajuk entry hari ini, ini bukan bermaksud Sha sedang mengandung ya kawan-kawan. Manalah tahu ada yang baru sampai rezekinya untuk mendapat zuriat dan tak perasan sebenarnya korang sedang mengalami fasa awal kehamilan. Kebiasaanya sebelum kita membeli alat ujian kehamilan kita pastinya akan merasai perubahan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang ujian kehamilan. Bila sudah perasan barulah kita terdorong untuk membeli alat ujian sendiri kan? Jom tengok apakah tanda-tanda awal mengandung. Korang nak tahu? Semuanya Sha alami sendiri.


Tanda-Tanda Mengandung


1. KELETIHAN

Semasa mula-mula mengandung, badan kita akan mengalami pelbagai perubahan. Janin kita akan mula menggunakan kalori dalam badan kita. Ini menyebabkan keletihan yang agak luar biasa. Oleh itu pada awal-awal kehamilan kita letih dan banyak tidur. Sha juga mengalami keletihan ini semasa awal kehamilan, kerap juga balik kerja minta izin dengan suami untuk berehat.


2. MUAL DAN LOYA

Ini adalah perkara pertama yang akan buat kita fikir yang kita mengandung. Bila tiba-tiba kita rasa loya & muntah-muntah, pada masa itu kita akan sibuk terfikirkan kitaran haid yang lambat daripada biasa barulah terasa yang kita kemungkinan hamil. Maklumlah ini adalah perkara yang kita boleh terus rasa dan automatik dikaitkan dengan mengandung. Kalau tengok drama pun kalau heroin mengandung mesti loya atau muntah-muntah kan? Sebab kebanyakkan memang akan mengalami termasuk Sha sendiri. Hari pertama loya tak apalah bila dah hari-hari memang pelik !


3. PAYUDARA MEMBESAR DAN TERASA SAKIT

Payudara kita membesar kerana badan kita sedang menghasilkan hormon & kelenjar-kelenjar penghasilan susu sedang bertindak balas. Kiranya, badan kita tengah buat kilang susu di bahagian payudara. Sebab itulah payudara kita membesar dan sebab itulah ia terasa sedikit sakit atau ngilu kadangkala terasa gatal-gatal.

4. KEMBUNG PERUT

Kita akan selalu rasa kembung perut. Padahal makan tak banyak pun. Ini adalah kerana kenaikan hormon progesterone yang memperlahankan sistem pencernaan kita. Ini juga adalah kerana perut kita pun sedang memberi ruang kepada rahim untuk membesar. Bila ini terjadi akan terasa ada saja yang tidak kena dengan perut, dengan makanan dan semualah.

5. MENGIDAM

Tiba-tiba nak makan itu ini dan tak boleh tahan selera kalau tak dapat boleh merajuk lama. Kadang-kadang kita tak perasan tapi orang sekeliling kita biasanya akan perasan. Bila mulut nak makan itu ini mesti orang tanya " Mengidam ke?" Padahal masa itu, kita pun tak perasan perubahan itu. Bila kita buat ujian, positif rupanya.

6. PENING KEPALA

Pening kepala adalah perkara yang normal dan biasa berlaku semasa awal-awal mengandung sebab badan kita sedang membiasakan diri dengan hormon-hormon mengandung. Apabila terlalu banyak perubahan dan penghasilan hormon baru, ia menyebabkan badan kita tak boleh nak sesuaikan diri lagi yang menyebabkan pening dan kadang-kadang terasa nak pitam gelap mata.

7. PERUBAHAN MOOD (moody)

Mood swing akan mula berlaku sejak awal kehamilan lagi. Ada yang sampai ke trimester ke-3 pun masih mengalami mood swing yang agak kronik. Kita boleh senyum, ketawa dan tiba-tiba menangis pada masa yang sama. Pengalaman Sha sendiri boleh menjadi cepat marah, mudah menangis. Jika korang nak tahu, perubahan paling ketara bagi Sha adalah sabun basuh kainlah paling memberi masalah kepada Sha kerana bau yang biasanya Sha suka tiba-tiba menjadi rungutan Sha setiap hari kerana sebelum ini wangi tapi menjadi busuk bagi Sha.


8. SEMBELIT

Perkara paling tak tahan adalah menghadapi sembelit ketika di peringkat awal kehamilan. Ini kerana sistem pembuangan kita juga menjadi perlahan disebabkan sistem pencernaan kita yang mengalami perubahan itu. Jadi, kita perlu perbanyakkan minum air masak dan makan makanan yang lebih berserat untuk menghilangkan sembelit. Sesungguhnya sembelit itu boleh menyebabkan kita menitis air mata.

9. KERAP BUANG AIR KECIL

Semua ibu mengandung akan merasainya kerana pada masa ini, pundi kencing kita akan sedang mengalami perubahan tempat untuk memberi ruang kepada rahim kita menyebabkan pundi kencing kita terhimpit ke belakang. Apabila ditekan, ia akan membuatkan kita mudah terasa nak buang air kecil. Pada masa yang sama, buah pinggang kita perlu membuang cecair dalam badan dengan lebih efisyen lagi.


10. KEKEJANGAN (CRAMP)

Kejang ataupun cramp di bahagian perut adalah lebih kurang sama seperti cramp semasa kita menghadapi senggugut. Ini kerana telur kita sedang melekat di dinding uterus kita. Kenalah tahan sakit sikit, sebab sakit ini tidak lama pun.


11. PUTING PAYUDARA MENJADI BERTAMBAH GELAP

Kebiasaannya, tidak ramai ibu yang perasan akan perubahan ini sehinggalah selepas 10 minggu usia kandungannya. Puting payudara kita akan bertambah gelap oleh hormon-hormon yang dihasilkan sewaktu kita hamil mempengaruhi aktiviti "Melanocytes" iaitu sel-sel di dalam puting payudara kita yang menyebabkan warna berubah daripada warna biasa.

12. KULIT MUKA BERMINYAK & BERJERAWAT

Pengalaman ini terjadi semasa mengandungkan Adik Nur. Wajah jadi berminyak hingga cukup bulan, suami cakap sampai boleh kikis buat goreng ayam kat dapur. Walaupun dibersihkan, tak lama kemudian akan berminyak kembali. Jika kerap berminyak kulit muka pasti akan ditumbuhi jerawat, rasa bengkak-bengkak muka ni bila berada dalam fasa ini. Di tempat kerja pun terpaksa kerap basuh muka sebab berminyak.

13. PERUBAHAN TINGKAH-LAKU

Mungkin kita tak perasan, tetapi orang terdekat terutamanya suami sendiri pasti akan perasan perubahan tingkah laku kita lain daripada biasa. Korang nak tahu tak apa perubahan buruk yang pernah terjadi pada Sha? Setiap kali balik kerja biasanya Sha akan tegur anak-anak supaya meletak pakaian pada tempatnya, tetapi awal-awal hamil Sha yang suka meletak pakaian merata-rata terutamanya atas lantai hinggakan suami menegur.

14. TIDAK SIHAT

Sesetengah orang akan mengalami tidak sedap badan atau tidak sihat. Kadang-kadang demam pada waktu malam. Jika di pejabat Sha kadang-kadang diserang kesejukan melampau walaupun orang lain bertenang sahaja.

Kepada yang sudah bergelar ibu pasti korang ada mengalami simptom hamil seperti yang di atas. Walaubagaimanapun tidak semua akan mengalami tanda mengandung yang sama dan ada yang berbeza setiap anak-anak sendiri. Kepada yang ada tanda-tanda di atas selepas ini korang boleh periksa ujian air kencing sendiri. Akhir sekali, kuatkan semangat dan positif selalu sehingga selamat melahirkan.


1 comment:

  1. waalaikumussalam. banyak jugak kan tanda2 nya. ada yg tak penah tahu. haha

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi

Follow Us @shalimarmohdyusof