Friday, August 23, 2019

Nikmati Cuti Sekolah Yang Menjimatkan Tetapi Enjoy !!


Percutian Semasa Cuti Sekolah Pertengahan Penggal 2 2019 | Assalamualaikum dan salam sejahtera. Agak terlambat untuk kongsi tapi sebagai catatan atas talian Sha untuk keluarga kecil Sha, Sha nak juga simpan kenangan di blog kesayangan Sha ini. Cuti Pertengahan Penggal 2 baru-baru ini selama 1 minggu termasuk Cuti Hari Raya Korban Sha tidak mengambil cuti kerana tahun ini giliran Sha berhari raya di Perak dan cuti rehat Sha pun tak banyak. Tapi itu tidak menjadi alasan untuk Sha dan suami tidak meraikan anak-anak walaupun kami hanya bercuti di hari minggu. Setakat ini mampu bawa anak-anak jalan dalam negara sahaja itupun belum pusing satu Malaysia lagi..ahahahaa.. Orang kata nak bercuti kena ada banyak duit, ribu-ribu tapi sebenarnya terpulang pada bajet dan perancangan kita macam Sha hanya buat dan janji dengan anak-anak yang mana mampu. Sebabnya bila berjanji kalau tak dapat penuhi memang tak bestlah kan jadi ukurlah poket sendiri.

Nikmati Cuti Sekolah Jimat Dan Gembira


Sabtu [ 17 Ogos 2019 ]

Sha dan keluarga bergerak dari rumah pada jam 7.30 pagi. Kami merancang untuk bersarapan ke Ikea Batu Kawan, Pulau Pinang memandang kami belum berkesempatan singgah ke Ikea yang baru dibuka ini. Lebih kurang jam 9.45 pagi kami sampai di Ikea Batu Kawan, kiranya agak lambat kami bersarapan pada pagi itu. Di Ikea Batu Kawan kami hanya ambil nasi lemak, bubur nasi, sup cendawan dan meatball, kami kongsi makan apa yang ada.

 Ikea Batu Kawan, Penang.


 Percutian jimat sekitar Penang Dan Perak.

Selesai makan Sha dan suami hantar anak-anak ke Smaland iaitu taman permainan yang ada di Ikea. Tapi sayangnya Adik Nur tak dapat menyertai Abang Zaryth kerana belum cukup tinggi iaitu minimum 100 cm manakala maksimum 130cm. Jadi kami tinggalkan Abang Zaryth sahaja di Smaland, di sini korang jangan risau untuk tinggalkan anak-anak InsyaAllah dengan tahap keselamatan yang ada anak korang selamat dalam jagaan kakitangan Smaland kerana hanya siapa yang daftar menghantar anak sahaja boleh mengambil anak. Walaubagaimanapun hanya 1 jam sahaja dibenarkan meninggalkan anak di Smaland, cukup 1 jam kakitangan akan buat panggilan pada penjaga.


Agak bertenang window shopping di Ikea kalau salah seorang anak tak ada..ahahhahaha..kalau tidak asyik bergaduh je Abang Zaryth dan Adik Nur. Kali ini tidak lama kami pusing tapi kalau dah ke sini memang mustahillah tak beli apa-apa walau sekadar beli tuala sahaja. Jumlah hangus di Ikea untuk barang yang tak dirancang adalah RM 93.00 tak termasuk makan sarapan.

Selepas ambil Abang Zaryth di Smaland, kami alas perut terlebih dahulu dengan ais krim, karipap Ikea kegemaran suami juga roti sosej. Sha cuma banyak minum kopi sahaja dengan roti sosej, suami suka sangat karipap Ikea sebab dalamnya ada telur.


Selesai sahaja urusan di Ikea Batu Kawan, kami memulakan perjalanan ke TeddyVille Museum Penang. Dalam pukul 2.30 petang kami sampai ke muzium ini, disambut oleh kakitangan muzium. Pada fikiran Sha muzium teddy ini hanya mempamerkan koleksi anak patung teddy terbaru yang comel-comel tetapi rupanya koleksi anak patung teddy dari pelbagai negara dengan pelbagai harga. Banyak juga perkataan "ooooooooooooo" keluar daripada mulut Sha sepanjang melewati muzium Teddy ini. Paling best dapat dengar kembali sejarah Penang melalui karekter patung teddy.

TeddyVille Museum Penang.


Setelah lebih kurang 1 jam setengah kami berada di TeddyVille Museum, kami bergerak ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk melawat anak saudara sebelah suami yang mengalami kemalangan jalanraya dan seterusnya berehat dan bermalam di rumah kakak ipar Sha di Pokok Sena Kedah.

Ahad [ 18 Ogos 2019 ]

Tunai Janji Bawa Anak Ke Zoo Taiping

Dari Pokok Sena Sha bersarapan terlebih dahulu di Art Roti Canai, sebuah kedai makan kesukaan suami Sha setiap kali datang ke rumah kakak ipar. Lebih kurang jam 12.00 tengahari barulah kami bergerak ke lokasi yang Sha janjikan pada Abang Zaryth iaitu Zoo Taiping, Perak yang mana lokasinya hanya dalam perjalanan balik ke rumah kami. Lebih kurang jam 3.00 petang kami sampai di Zoo Taiping tetapi cuaca agak tidak mengizinkan kerana langit agak gelap.

Zoo Taiping Perak

Selepas parkir kereta kami terus ke kaunter tiket dan beratur untuk menaiki kenderaan yang disediakan mengelilingi zoo. Siap mengelilingi zoo kami diturunkan dan berpeluang berjalan-jalan sekitar zoo dengan berjalan kaki. Malangnya kami hanya sempat ke kandang gajah dan tidak sempat melihat dekat bada dan seladang kerana hujan lebat mulai turun.

Hujan reda kami meneruskan perjalanan mencari makanan di sekitar Taiping. Jadi kami memilih untuk makan di Pusat Penjaja Taiping yang terletak di hadapan Novotel dan Taiping Mall. Agak ramai yang review makan di sini, jadi kami pilih untuk makan petang di sini dengan menu Kuew Teow Goreng, Nasi Ayam dan Yong Tau Fu.

Pusat Penjaja Taiping , Perak.


Dengan hujan yang tidak henti-henti kami memulakan perjalanan pulang ke rumah. Lebih kurang jam 7.30 petang kami sampai di Batu Gajah, Perak. Alhamdulillah akhirnya Sha dapat menunaikan janji pada anak-anak dan menghabiskan sisa-sisa cuti sekolah mereka dengan gembira.

Selesai cuti sekolah kali ini Abang Zaryth pun mulalah bertanya nanti nak pergi mana lagi. Budak sorang memang suka jalan kecuali jalan ke pasar !!.. ahahhahaa.... rajin tolong ibu masak di dapur tapi ke pasar jangan harap, bosan katanya. Oklah setakat ini sahaja coretan percutian ringkas kali ini.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Daun Keladi

Follow Us @shalimarmohdyusof