SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN | 19 FEBRUARI 2018 | Setiap tahun Agensi Antidadah Kebangsaan akan menyambut Hari Antidadah Kebangsaan. Sempena dengan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan yang
ke-35 pada 19 Februari lepas, YBhg. Dato' Dr. Ketua Pengarah telah
mengeluarkan perutusan
dalam memberikan amanat berhubung peringatan tentang tanggungjawab kita
sebagai masyarakat yang berada dalam komuniti bagi sama-sama membantu
menangani permasalahan dadah di negara ini. Ini sejajar dengan tema
sambutan pada tahun ini iaitu 'Komuniti Kita Tanggungjawab Kita'.

PERUTUSAN KETUA PENGARAH
AGENSI
ANTIDADAH KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN KE -35
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM 1MALAYSIA.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta ini. Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita rasai dan pelbagai cabaran juga telah kita atasi demi menjadikan kita bangsa Malaysia yang matang dan berani menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Namun demikian kejayaan yang dinikmati pada hari ini tidak akan berkekalan sekiranya negara terus dibelenggu dengan masalah sosial khasnya penagihan dadah. Sesungguhnya dalam memacu pembangunan negara, kerajaan tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar dari pelbagai masalah sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan moral seperti masalah penagihan dadah. Oleh demikian, saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri menganjurkan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Sambutan Hari Antidadah
Kebangsaan di sambut pada 19 Februari
setiap tahun bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan
dan tanggungjawab kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah kepada negara.
Tema Hari Antidadah Tahun ini ialah “Komuniti
Kita Tanggungjawab Kita” memberi makna yang cukup besar tentang peranan dan
tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama bagi memastikan komuniti tempat
tinggal kita selamat dan bebas daripada permasalahan dadah. Masyarakat atau
komuniti ialah kelompok manusia yang paling hampir di tempat tinggal kita .
Segala perkara tentang diri, ahli keluarga, harta benda dan kerjaya terlebih
dahulu diketahui oleh mereka. Oleh sebab itu, masyarakat ialah orang yang
paling dekat untuk meminta pertolongan ketika ditimpa bencana atau musibah. Justeru
itu, ahli masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi
penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata. Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di
peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yangberupaya
menghindari berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam masyarakat. Memetik
ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak
dalam ucapan beliau dalam siri ucapan Hari Antidadah Kebangsaan yang lalu, beliau
menyeru masyarakat perlu mengelak daripada bersikap 'not me syndrome', sebaliknya
bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi
barisan hadapan dalam menangani isu dadah di komuniti masing-masing. Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat
dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama
dalam menjayakan misi negara bebas dadah. Ibu bapa dan keluarga adalah entiti
paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak
terlibat dengan gejala dadah. "Masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja,
ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang”. Kejayaan
membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan
menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan-amalan terbaik dan
'evidence-based'.
Sehubungan dengan itu pada 29 November
2017 YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri
Malaysia, Merangkap Menteri Dalam Negeri telah melancarkan Dasar Dadah Negara.
Matlamat Dasar Dadah Negara adalah untuk mewujudkan Negara dan bangsa Malaysia
yang bebas daripada ancaman gejala dadah bagi menjamin kesejahteraan hidup
rakyat dan mengekalkan kestabilan dan ketahanan nasional melalui (5) lima teras
iaitu, Pendidikan Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan, Penguatkuasaan,
Pengurangan Kemudaratan dan Kerjasama Antarabangsa.
Akhir kata, pada sambutan Hari Antidadah
Kebangsaan pada tahun ini saya menegaskan bahawa Komuniti Kita Tanggungjawab Kita.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan komuniti kita
selamat dari ancaman dadah dan anak-anak kita dapat membesar dan menjadi
generasi yang berdaya saing serta berjaya.
Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
KETUA PENGARAH
AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN
1 Comments
Bersama kita membanteras gejala dadah hingga akar umbi...
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi