
SEKOLAH DAHULU DAN SEKOLAH SEKARANG | Assalamualaikum, salam sejahtera
buat pembaca coretan Sha setiap hari tanpa jemu, apa khabar ya semua. Didoakan
semoga pembaca semua dan juga ahli keluarga kita beroleh kesihatan yang baik.
Pembaca coretan yang tidak seberapa ini mungkin ramai yang sudah bergelar ibu
dan bapa. Apabila sudah menjadi ibu dan bapa tiba pula fasa anak-anak perlu
mendaftar persekolahan. Di dalam rutin harian menyiapkan anak ke sekolah Sha
terfikir juga cabaran-cabaran yang akan dihadapi anak-anak pada masa hadapan.
Anak Sha pun kini sudah memasuki usia 5 tahun sedang mengikut alam persekolahan
tadika sementara memasuki pra sekolah pada tahun hadapan. Sungguh Sha mengakui
ibu bapa kini perlu lebih ke depan berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang
sedang melalui fasa anak-anak sedang membesar dan bersekolah ini. Tidak perlu
jauh adik-adik Sha sendiri pun masih bersekolah sudah merasai tekanan sedikit
sebanyak hasil perubahan sistem pembelajaran pada hari ini berbeza dengan zaman
Sha dahulu.
Sekolah
dahulu dan sekolah sekarang mempunyai perbezaan dari pelbagai sudut yang boleh
kita nampak dari segi sosial, sistem pendidikan, dan kos pembelajaran juga
infrastruktur. Jika dilihat dari segi sistem pendidikan masa kini memang banyak
perubahan yang berlaku seiring dengan zaman. Jika dulu tidak banyak pilihan
dalam subjek dan aliran kini anak-anak boleh memilih sekolah mengikut minat dan
peluang yang ada. Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri telah memperkenalkan
pra sekolah berbanding dulu hanya wujud tadika disediakan untuk pendidikan awal
kanak-kanak tapi kini bagi anak yang berumur 4 hingga 6 tahun sudah boleh
mendaftar juga meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah dengan menjadikan
prasekolah swasta sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan. Antara
pengkelasan sekolah ialah wujud Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang mempunyai
etos, karakter dan identiti sendiri. Sekolah-sekolah ini akan melonjakkan
kecemerlangan pelajar ke peringkat lebih tinggi dan mempunyai personaliti
unggul dalam semua bidang tidak kurang
juga ianya menjadi inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan
kecemerlangan mereka ke tahap lebih tinggi. Jika dahulu akademik sahaja diukur
kini penglibatan ko-kurikulum pelajar juga diambil kira dalam mengukur tahap
kecemerlangan mereka. Menyebut tentang aliran pembelajaran yang ada kini kita
dapat lihat anak-anak berpeluang memilih
sekolah yang sepenuhnya akademik , sekolah teknik dan vokasional juga sekolah
kebangsaan agama. Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang dipertanggungjawabkan
dibawah Unit Sekolah Berasrama Penuh Bahagian Sekolah juga disediakan kepada
pelajar cemerlang yang terpilih tak lupa juga institusi pendidikan lain yang
ditubuhkan iaitu Sekolah Pendidikan Khas dan Sekolah Sukan. Selain itu, waktu pembelajaran
juga berbeza jika dahulu satu sesi sahaja kini ada sekolah yang mempunyai dua
sesi pembelajaran iaitu pagi dan petang. Aliran dan subjek-subjek yang ada kini
adalah sangat bersesuaian untuk persediaan pelajar menuju ke tahap pembelajaran
yang lebih tinggi. Subjek-subjek yang ditawarkan juga pelbagai pelajar boleh
mengambil subjek untuk tambah nilai dalam peperiksaan.
Selaras
dengan perkembangan teknologi semasa, pihak KPM telah memperkenalkan Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dalam sistem pendidikan yang meliputi prasarana,
pengisian, kemudahan pendidikan dan latihan perguruan. KPM telah melaksanakan
pelbagai projek ICT dengan membekalkan komputer sebagai penyediaan
infrastruktur ICT. Jika dahulu papan hitam digunapakai kini papan putih, komputer,
jaringan internet dan alat bantu mengajar yang lebih canggih digunakan dalam
sesi pembelajaran seperti kelengkapan multimedia /cd pembelajaran interaktif. E-learning
meliputi aplikasi dan proses pembelajaran berdasarkan komputer, kelas visual
dan kolaborasi digital yang mengandungi teks, gambar, animasi, streaming video
dan audio melalui intranet , audio, video tape, tv satelit dan CD-ROM. Tugas-tugas
guru juga semakin bertambah apabila banyak urusan adalah secara atas talian
seperti memasukkan keputusan peperiksaan ke dalam sistem dan ibu bapa kini juga
perlu memohon kemasukan ke sekolah melalui atas talian juga berbanding dahulu
hanya melalui manual dan borang yang disediakan oleh pihak sekolah. Jika dahulu
pelajar university memerlukan komputer dan ini tapi kini bukan mereka sahaja
tugasan sekolah juga kebanyakannya memerlukan komputer dan internet untuk
menyediakan bahan-bahan pembelajaran bagi memenuhi tugasan yang diberikan.
Tidak lupa juga kini pelbagai perkhidmatan dalam talian yang disediakan seperti
semakan atau permohonan, pelbagai maklumat
tentang pendaftaran sekolah anak-anak, maklumat untuk pertukaran guru-guru dan
maklumat lain yang berkaitan dengan pendidikan negara kita.
Dari
segi sudut sosial pendidikan negara juga tidak ketinggalan mengalami perubahan
mungkin kerana mentaliti rakyat kini yang merangkumi pihak pelajar, guru dan
ibu bapa yang menjadi unsur yang saling berhubungan dalam mencapai matlamat.
Sekolah akan maju dan berkembang apabila unsur-unsur ini bersatu harmoni dan
menjalankan tanggungjawab masing-masing. Guru adalah pegawai yang diberi mandat
menjalankan kegiatan di sekolah mereka perlu dihormati dan dipatuhi selagi
tidak bercanggah dengan peraturan dan mereka bertanggungjawab mendidik pelajar
dan memberi hukuman jika murid melanggar undang-undang sekolah. Pada zaman ini
ibu-bapa adalah amat berbeza dengan sekolah dahulu kerana ibu bapa harus lebih
adil apabila anak-anak dikenakan tindakan dahulunya tiada kes tular seperti
mana hari ini apabila anak dikenakan denda walaupun hukuman ringan terdapat
ibu-bapa yang terus melenting menyalahkan satu pihak. Pemakaian pakaian juga
dipelbagaikan mengikut tugas seperti pengawas, pustakawan, pembimbing rakan
sebaya dan lain-lain selain itu di peringkat sekolah menengah atas iaitu
tingkatan 6 juga sudah berubah jika dahulu memakai pakaian seragam sekolah kini
tidak lagi. Jika dulu anak-anak dilatih apabila habis waktu sekolah mereka akan
ke kelas mengaji bila petang anak-anak akan diberi peluang bermain bersama
kawan-kawan. Tiba-tiba teringat zaman sekolah dulu, memang terbaik. Sekarang
anak-anak balik sekolah pun lewat, kejar tuisyen pula habis belajar balik
sekolah mengadap gajet atau melayari internet kurang bersosial bersama keluarga
dan kawan-kawan.
Kos
perbelanjaan persekolahan juga semakin meningkat berbanding dahulu. Bukan
sahaja bahan pembelajaran dan buku-buku tambahan yang perlu juga alat bantu
belajar yang lain bekalan duit ke sekolah juga berbeza seiring peningkatan
ekonomi sara hidup kini. Jika dulu RM 2.00 hingga RM 3.00 sudah mencukupi kini
RM 5.00 pun belum tentu cukup untuk belanja disekolah tapi budak zaman sekarang
ada yang segan nak bawak bekal ke sekolah. Kalaulah duit itu digunakan ke jalan
yang betul tak apalah kan jangan ke lain pula, tambah pula kes-kes ponteng
banyak terjadi berbanding dahulu. Belum kira pengangkutan ke sekolah zaman
dahulu ada jalan kaki dan berbasikal kalau yang manja sikit ibu bapa hantarkan,
macam Sha dulu, kini perkhidmatan bas sekolah disediakan tunggu bayar
sahaja setiap bulan tidak pun manja cara sekarang bagi motorsikal untuk
kegunaan anak pergi sekolah sendiri mungkin kerana kekangan masa ibu bapa yang
kebanyakkannya kedua-dua bekerja.
Masih banyak lagi sebenarnya perbezaan jika kita selami secara mendalam dan melalui pemerhatian tambah pula bagi ibu bapa yang punya anak bersekolah. Diharapkan dengan perubahan yang dilalui anak-anak dapat harungi dengan cemerlang dan ibu bapa juga dapat memberi kerjasama yang baik bagi memastikan segala perancangan yang diatur berjalan lancar dan sekali gus generasi kini dapat menjadi anak bangsa yang cemerlang dan terbilang dalam bidang masing-masing. Sha berdebar juga tunggu giliran anak-anak masuk sekolah 2 tahun lagi selain anak Sha pun kena bersedia untuk membimbing mereka iyalah semestinya kalau mereka tak faham mereka akan tanya orang tua kan.
Pada kawan-kawan yang anak dah bersekolah kongsilah tips dan pengalaman cara nak layan soalan anak-anak kita yang semakin mencabar.
Terima kasih.
2 Comments
banyak sangat perbezaan dulu n skrg
ReplyDeleteyg pasti soalan2 masa kita sekolah dulu dgn soalan anak2 skrg mmg beza.. payah giler tengok exam diaorg
ReplyDeleteTerima Kasih Daun Keladi