SUAMIKU PENAGIH | Diwaktu petang begini tertarik pula Sha nak berkongsi cerpen dari http://www.wecareweserve.org/main/cerpen-suamiku-penagih-nurhadi-bin-saadon/ yang sangat menceritakan suatu keadaan yang sangat dekat dengan diri Sha. Bekerja dengan dikelilingi klien terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini sangat membenarkan keadaan di dalam cerpen ini. Iya, dikalangan mereka ada yang mengakui malu dengan diri sendiri dengan anak-anak. Anak-anak kesemuanya berjaya ke menara gading, si bapa yang seusia ayah Sha masih bergelumang tidak dapat menarik diri daripada kancah penyalahgunaan dadah. YA, bukan senang untuk berhenti daripada dadah yang memerlukan kepulihan sepanjang hidup bukan senang ditutur dengan kata-kata. Jika senang tiadalah tangkapan berulang dalam rekod.
Di sini Sha lampirkan Cerpen tersebut :
Ramai yang beranggapan dan memberikan tanggapan yang sangat
negatif apabila suami seorang penagih dadah dan keluar masuk penjara
atau pusat pemulihan, maka hidup isteri dan anak-anak akan menjadi tidak
ketentuan. Masyarakat juga manusia yang biasa seperti kita juga yang
mempunyai pelbagai pendapat serta pandangan peribadi yang tersendiri.
Pada pandangan sesetengah masyarakat Si Isteri pasti akan merana,
anak-anak pula menjadi liar, tidak tentu hala tuju hidup dan menjadi
sepertimana yang telah terjadi pada keluarga mereka. Apakah senario ini
saja yang berlaku dalam kehidupan isteri dan anak seorang penagih? Atau
mereka juga boleh berjaya seperti keluarga cemerlang yang lain? Mereka
juga mempunyai keinginan sepertimana yang kita inginkan untuk menempuh
kehidupan dunia yang sementara ini.
Golongan seperti mereka ini pasti akan berjaya sekiranya mereka
menganggap bahawa Allah sentiasa ada di sisi hamba-Nya. Allah tidak akan
menguji hamba-Nya sekiranya kita tidak mampu untuk mengatasi segala
ujian yang diberikan.
Kisah ini memaparkan bagaimana pengorbanan dan luahan hati saya
sebagai seorang isteri penagih yang terpaksa mengharungi hidup
membesarkan anak-anak tanpa suami yang sering keluar masuk penjara dan
pusat pemulihan kerana menagih.
Semoga pengorbanan saya menjadi teladan buat para isteri yang
kemungkinan sedang menghadapi masalah yang sama. Sekiranya kuat pegangan
agama kita, maka kuatlah kita untuk melalui pelbagai ujian dan dugaan
di dunia. Saya percaya kebanyakan agama lain selain Agama Islam juga ada
cara tersendiri untuk membimbing penganut mereka daripada membuat
keburukan.
Inilah realiti hidup saya sebagai isteri seorang penagih dadah.
Terlalu perit untuk melalui hidup, apalagi jika kedua-dua pihak keluarga
mengenali suami dengan segala kebaikan. Segala yang buruk tentang suami
tidak terlahir dengan kata-kata kerana tidak mahu rahsia keburukan
suami terbongkar dan diketahui keluarga.
Selama 20 tahun bergelar isteri, kehidupan saya tidak lah sesusah
mana dan tidak lah sesenang mana,tetapi saya amat gembira dengan
kehidupan yang saya lalui, memiliki suami yang penyayang.
Tidak pernah suami menunjukkan penampilan yang dirinya seorang
penagih dadah, dia sentiasa membuat saya ketawa walau hubungan saya
dengan ipar tidak sebaik mana. Mungkin kerana mereka takut saya ini akan
membebankan hidup mereka kerana abang mereka penagih.
Bagi saya adanya suami di sisi memberi saya kekuatan untuk saya tempuhi hari mendatang tanpa keluarga di sisi.
Di awal perkahwinan, saya dikejutkan dengan berita sedih. Seorang pak
cik datang ke rumah menyampaikan berita penangkapan suami saya ketika
kandungan sulung saya mencecah usia lapan bulan. Saban hari air mata
adalah teman setia, untuk mengadu dengan keluarga saya tidak berdaya.
Setiap malam saya mengambil wudu’, menunaikan solat sunat, berdoa saya
saya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk melalui ujian ini. Saya
kumpulkan kekuatan untuk pergi ke Balai Polis berjumpa suami di lokap.
Saya minta izin suami untuk pulang ke rumah ibu bapa saya di Kuala
Lumpur kerana saya mahu meminjam wang untuk menjamin suami.
Kepada mereka saya kuatkan diri untuk mengatakan bahawa suami saya
terlantar sakit di hospital dan memerlukan wang sebanyak ini untuk
menjalani pembedahan.
Syukur Alhamdulillah, ayah memberi wang yang saya mahu tanpa banyak
bertanya soalan. Setelah dua minggu di rumah keluarga, saya pulang ke
rumah dalam keadaan saya sarat mengandung. Saya tidak terus pulang ke
rumah tetapi terus ke balai polis untuk bertemu suami di lokap dan
menjaminnya.
Pasti ramai yang tertanya-tanya sebab apa saya sanggup bersusah payah
menjamin suami, sanggup berbohong dengan keluarga demi mendapatkan wang
jaminan suami. Ini kerana saya mahu melahirkan anak sulung saya di sisi
suami. Saya tidak mahu keseorangan. Bagi saya sejahat mana pun suami
saya, dia tetap suami saya, syurga saya di bawah tapak kakinya.
Selagimana dia tidak menyuruh saya membuat perkara yang dilarang oleh
Alah, selagi itu saya akan taat padanya.
Dari anak sulung hinggalah anak ke lima, suami selalu keluar masuk
penjara. Setiap kali saya dirundung pilu, saya akan memeluk anak-anak
saya, pada mereka saya tumpahkan air mata sedih. Anak-anak saya adalah
sumber kekuatan saya pada saat itu.
Apabila anak-anak tanya kenapa saya menangis, jawab saya kerana ayah
ditangkap polis sebab membawa lori secara berbahaya (ketika itu suami
bekerja sebagai pemandu lori).
Saya tidak pernah membebankan anak-anak dengan masalah saya dan tidak
pernah menceritakan pada anak-anak tabiat buruk ayah mereka.
Saya mahu anak-anak menghormati ayah mereka, walau siapa pun ayah
mereka, saya tidak mahu memutuskan kasih sayang anak-anak dengan ayah
mereka, apa lagi ayah mereka tidak pernah mengkasari mereka malah selalu
memberi tunjuk ajar yang baik walau dia sendiri terjebak dengan
penagihan dadah.
Terlalu sukar menasihati suami yang selalu leka dengan dunianya,
tetapi saya tidak pernah marah atau bergaduh di hadapan anak-anak. Saya
selalu memberi anak-anak kata-kata perangsang supaya mereka berjaya
dalam pelajaran.
Hari-hari berlalu dalam sekelip mata, kini anak-anak saya telah
dewasa, yang sulung berusia 20 tahun, sedang menjalani pengajian ijazah
pertama dalam jurusan perakaunan di sebuah IPTA terkemuka di Malaysia.
Dari peperiksaan UPSR(5A) PMR(8A) dan SPM(10A1), kini kedukaan dan
keperitan saya terubat dengan setiap gred penilaian CGPA yang selalu
diperolehnya iaitu 3.90-3.96, setiap kali peperiksaan semester.
Anak kedua saya melanjutkan pengajiannya di kolej IPTS Shah Alam.
Anak saya ini memang tidak pernah berminat dengan bidang akademik, jadi
saya masukkan dia ke bidang kemahiran yang diminatinya.
Anak ketiga saya berada di tingkatan 3 dan akan menghadapi
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dan anak yang ke
empat dan kelima masih bersekolah rendah.
Sekarang baru anak-anak saya tahu kenapa ayah mereka selalu keluar
masuk penjara dan saya memberitahu mereka, bukan saya membenci ayah
mereka atau sengaja mahu merahsiakan perkara yang sebenarnya, tetapi
saya tidak mahu mereka terjebak dengan masalah saya. Saya tidak mahu
mereka merasa tertekan dengan masalah yang di hadapi kami sekeluarga.
Saya sering mengatakan bahawa saya mahu supaya anak-anak saya berjaya dan dapat
mengubah nasib keluarga apabila dewasa nanti. Dengan kejayaan mereka
itulah penawar serta ganjaran yang amat besar untuk saya setelah
pelbagai rintangan yang dilalui.
Kini suami saya juga baru setahun keluar dari Pusat Pemulihan Akhlak
dan saya amat berharap biarlah ini penahanannya yang terakhir kerana dia
pun tidak muda lagi, sudah mencecah 50 tahun. Ajal maut pasti akan tiba
tanpa lewat walaupun sesaat, kerana kematian itu pasti.
Walau tiada apa yang dapat saya beri kepada anak sulung saya atas
kejayaannya, tetapi setiap kali peperiksaan penting, nama saya akan jadi
sebutan, suami saya juga memberitahu pada saya pihak penjara amat kagum
dengan kecekalan saya mendidik anak-anak.
Tidak semua penagih dadah yang dapat memberi pelajaran sempurna untuk
anak-anak kerana kebanyakan isteri penagih dadah akan tertekan dengan
masalah suami dan anak-anak akan jadi mangsa.
Bagaimana pihak penjara tahu kejayaan anak saya? Ini kerana saya
selalu menghantar surat dan mengirimkan salinan keputusan peperiksaan
anak saya kepada suami semasa dia dalam tahanan.
Sebelum saya menutup tirai cerita saya ini, ingin saya nasihatkan
kepada para isteri yang senasib dengan saya, pandanglah wajah anak-anak
yang tidak berdosa, jangan kita jadikan mereka tempat melemparkan
kemarahan, tetapi anggaplah mereka sahabat yang sering membahagiakan
kita.
Biarlah kita sengsara, tetapi lawan jiwa rapuh kita dengan kekuatan dan semangat untuk melihat anak-anak berjaya.
Saya melalui pahit getir kehidupan sebagai isteri penagih dadah
selama bertahun lamanya, bayangkan kesengsaraan yang saya lalui seorang
diri tanpa tempat mengadu melainkan hanya pada Allah yang Maha Esa.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi kekuatan dan kesabaran yang
luar biasa ini. Saya harap kebahagiaan ini akan berterusan. Doa saya
semoga anak-anak saya akan mendapat perlindungan, hidayah dan diberkati
hidup mereka di dunia dan akhirat.
Kepada suami, harapan dan doa saya yang tidak pernah putus, bertaubat
dan berubahlah demi anak-anak. Ingatlah kepada Allah dan kembali ke
pangkal jalan,”
Demikanlah kisah saya yang dapat saya sampaikan diharapkan sedikit
sebanyak dapat memberikan sedikit kekuatan, serta janganlah kita lupa
pada Allah yang menciptakan semua makhluk, rapatkanlah diri pada-Nya
disaat kita susah mahupun senang.
Sekian.
NURHADI BIN SAADON
SUAMIKU PENAGIH
9 Comments
sad2
ReplyDeletekuatnya wanita itu...
ReplyDeletesemua ditempuh walaupun pahit jg
Deletesalute pada isteri yang macam tu
ReplyDeletesedih pun ada bila baca kisah ni
aah..ramai yg masih bertahan & setia bersama..
DeleteKuatnya hati seorang wanita..
ReplyDeletexsemua mmpukan..
Deletetabahnya seorang wanita, baca tajuk Sha buat suspen jer tau haha :)
ReplyDeleteAhaha..nauzubillah...ehehe,,igt psl diri sndiri kan
DeleteTerima Kasih Daun Keladi