Blog ini dibangunkan untuk catatan peribadi dan perkongsian info bersama pembaca semoga mendapat manfaat

Sunday, August 18, 2019

Rumah Ronald McDonald Hospital USM Ringankan Beban Keluarga Pesakit Kanak- Kanak di Kelantan

Rumah Ronald McDonald Hospital USM Ringankan Beban Keluarga Pesakit Kanak- Kanak di Kelantan | Assalamualaikum dan salam sejahtera. Siapa suka makan di Restoran McDonald's? Korang perasan tak di setiap kaunter McDonald's pasti ada tabung RMHC Malaysia? Pernah tak korang ambil tahu apakah fungsi tabung berkenaan? Kalau korang tak sempat baca, maklumlah kadang-kadang kita ke kedai makan asyik bersembang bersama kawan-kawan jadi tak tumpu pada maklumat yang ada di kaunter atau di bahagian maklumat tentang RMHC Malaysia. Tapi tidak mengapa, korang boleh ketahui apakah sebenarnya di sebalik tabung RMHC Malaysia ini.


Tujuan Penubuhan Rumah Ronald McDonald Di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.


Untuk pengetahuan korang, Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) telah membina Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM), Kubang Kerian, Kelantan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuklah hasil sumbangan korang di dalam tabung RMHC. Rumah penginapan sementara ini adalah untuk memenuhi keperluan keluarga pesakit pediatrik disamping meringankan beban kewangan ketika anak mereka menjalani rawatan di Hospital USM dengan kos penginapan yang amat berpatutan, berharga RM5 untuk satu malam. Kos penginapan yang sangat berpatutan dengan fasiliti dan kemudahan yang ada berbanding penginapan lain yang ada, melalui pengalaman Sha sendiri hotel diluar hospital paling tidak RM 30.00 sehari.


Pada 6 ogos 2019 yang lepas telah mencatat sejarah apabila Rumah Ronald McDonald di Hospital USM telah dirasmikan oleh YB Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan yamg mana ia merupakan rumah kedua seumpamanya di Malaysia selepas Rumah Ronald McDonald pertama telah dibina pada tahun 1999 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Kuala Lumpur yang bakal menyambut ulangtahun ke-20. Di peringkat global, Rumah Ronald McDonald oleh RMHC kini mencecah 370 buah di seluruh dunia.


Dato’ Mohd Amar dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri Kelantan amat gembira melihat inisiatif sebegini yang dilaksanakan oleh RMHC Malaysia. Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan. Sudah pasti rumah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka yang datang ke Hospital USM atau hospital-hospital lain di bandar Kota Bahru ini. Semasa pembukaan rumah ini pada 23 Jun 2019 yang lepas Sha juga melihat orang kampung Sha iaitu dari Besut, Terengganu juga antara yang mendapatkan perkhidmatan ini dan Sha sangat memahami keadaan mereka kerana walaupun mempunyai saudara-mara berdekatan tetapi mempunyai rumah sebegini lebih memberi keselesaan kepada penjaga dan pesakit.




Yang Berhormat Dato’ Mohd Amar Bin Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan ketika melawat Bilik Sensori Ronald McDonald yang terdapat di dalam Rumah Ronald McDonald di Hospital USM. Bilik Sensori Ronald McDonald ini dilengkapi dengan peralatan terapi deria yang bersesuaian untuk proses perkembangan emosi, tingkah laku dan pembelajaran seharian kanak-kanak istimewa.

Faktor Pemilihan Rumah Ronald McDonald Di Hospital USM

RRM ditubuhkan di Hospital USM kerana terdapat keperluan yang amat tinggi di mana ia menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun. Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini, ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain. Selain menjadi hospital yang menyediakan pendidikan tetapi HUSM adalah hospital yang mempunyai pakar tertentu dan menjadi tumpuan pesakit sekitarnya.

Seiring dengan pengiktirafan USM sebagai Universiti Program Pemacuan untuk Kecemerlangan (APEX), ia telah memacu Hospital USM ke hadapan dengan kedudukannya sebagai hospital rujukan utama dan hub kesihatan komuniti di Pantai Timur melalui APEX fasa kedua (bermula tahun 2014 hingga tahun 2025). Kewujudan Rumah Ronald McDonald di sini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur.



Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia berkata, “RMHC Malaysia komited untuk menyediakan lebih banyak kemudahan seperti ini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Kita berharap agar melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, kerajaan negeri dan mana-mana penyedia perkhidmatan kesihatan khususnya hospital-hospital yang berkepadatan tinggi, kita dapat menepati janji RMHC iaitu ‘Keeping Families Close’ atau memastikan famili sentiasa dekat bersama melalui kemudahan Rumah Ronald McDonald ini.”  

Azmir juga menekankan bahawa belanja pembinaan Rumah Ronald McDonald ini yang bernilai kira-kira RM4 juta tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa sumbangan ikhlas daripada pelanggan-pelanggan McDonald’s melalui tabung RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francaisi McDonald’s.

Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan Rumah Ronald McDonald ini untuk kegunaan ramai, lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini, ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka untuk menjalani rawatan di hospital,” tambah Azmir.



RMHC Malaysia turut memberi tumpuan kepada 4 program utama untuk membantu kanak-kanak di Malaysia iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, ‘Gift of Smile’ dan Pek Kembali ke Sekolah bagi pelajar-pelajar sekolah rendah dari keluarga yang memerlukan. Semua program ini meliputi 3 bidang utama RMHC Malaysia iaitu Kesihatan, Pendidikan dan Kebajikan.


Fakta Ringkas Rumah Ronald McDonald, Hospital USM, Kelantan

•    Bilangan bilik tidur: 18 (boleh memuatkan 18 keluarga dalam satu-satu masa).
•    Bilangan katil: 72 katil
•    Kemudahan Bilik Sensori Ronald McDonald: Lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk membantu perkembangan kanak-kanak istimewa
•    Kemudahan lain yang disediakan: Ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi, bilik permainan

Seperti mana yang Sha kongsikan semasa Pembukaan Rumah Ronald McDonalds Di HUSM Kubang Kerian, Kelantan untuk mendapatkan perkhidmatan Rumah Ronald McDonald ini adalah perlu memenuhi syarat seperti di bawah.

Bagaimanakah cara untuk memohon Rumah Ronald McDonald Kubang Kerian Kelantan ?

  • Dibuka untuk keluarga pesakit pediatrik sahaja yang berumur 18 tahun dan ke bawah.
  • Pesakit mestilah tinggal di luar kawasan Kota Bharu.
  • Semasa mendapat rawatan di pediatrik, boleh mengambil borang permohonan dan kemukakan ke bahagian kebajikan HUSM.
  • Selepas permohonan diluluskan oleh HUSM barulah layak untuk masuk ke Rumah Ronald McDonald dengan bayaran RM 5.00 sahaja sehari.



 

Program lain oleh RMHC yang terdapat di Hospital USM termasuklah Gift of Smile, yang merupakan program bantuan kewangan penuh untuk kanak-kanak yang dilahirkan dengan sumbing bibir dan lelangit bagi menjalani pembedahan pembetulan.

Sha sangat berbangga menjadi salah seorang terawal yang menjejak kaki ke Rumah Ronald McDonals dan dapat berkongsi berita gembira ini bersama-sama dengan kawan-kawan dan ahli keluarga dikampung memandangkan pesakit di kawasan tempat tinggal Sha adalah layak untuk mendiami rumah ini selain mematuhi syarat lain. Hubungi cawangan Rumah Ronald McDonald di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM), Kuala Lumpur di talian 03-9173 5994 atau ibu pejabat RMHC Malaysia di talian 03-7843 3388 jika anda berminat untuk menyumbang wang tunai atau menjadi sukarelawan untuk RMHC Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih Daun Keladi