SHALIMAR YUSOF

Blog ini dibangunkan untuk catatan peribadi dan perkongsian info bersama pembaca semoga mendapat manfaat

Tuesday, June 11, 2019

Senarai 36 Penyakit Kritikal Di Bawah Skim Perlindungan B40

Senarai 36 Penyakit Kritikal Di Bawah Skim Perlindungan B40 | Skim perlindungan kesihatan nasional mySalam adalah inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka. Inisiatif ini menjadi realiti melalui kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion ke dalam dana amanah mySalam. Kerjasama ini merupakan contoh model Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) yang tulen, ke arah membina rangkaian perlindungan sosial yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

Sebagai permulaan, Skim ini akan ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mereka yang layak akan dimaklumkan melalui SMS di mana mereka dilindungi di bawah Skim ini. Skim ini menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 satu kali / sekaligus sekiranya mereka disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung, distrofi otot, Alzheimer, dan lain-lain. Selain itu, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan


1. Penyakit Alzheimer / Demensia Teruk

Kemerosotan atau hilang keupayaan intelektual yang disahkan dengan penilaian klinikal dan ujian imej diakibatkan oleh Penyakit Alzheimer atau Dementia Teruk yang disebabkan oleh kecelaruan otak organik yang tidak boleh pulih. Kejadian yang Dilindungi ini mesti mengakibatkan pengurangan ketara fungsi mental dan sosial yang memerlukan pengawasan berterusan ke atas Peserta/Orang Yang Dilindungi. Diagnosis mesti disahkan secara klinikal oleh pakar neorologi.

Berdasarkan definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) kecelaruan otak bukan organik seperti neurosis;
(ii) penyakit psikiatrik; dan
(iii) kerosakan otak berkaitan dadah atau alkohol.

2. Angioplasti dan rawatan invasif lain untuk penyakit arteri koronari

Menjalani Angioplasti Belon Arteri Koronari, arterektomi, rawatan laser atau memasukkan sten buat pertama kali untuk membetulkan satu atau lebih arteri koronari yang sempit atau tersumbat seperti yang dibuktikan oleh angiografi.

Prosedur penyiasatan intra-arteri adalah tidak dilindungi. 

3. Meningitis Bakteria - Mengakibatkan ketidakupayaan Kekal Untuk Melakukan Aktiviti Harian

Meningitis bakteria yang menyebabkan radang pada membran-membran otak atau saraf tunjang yang mengakibatkan kerosakan fungsi kekal. Kerosakan fungsi kekal mesti menyebabkan ketidakupayaan kekal untuk menjalankan sekurang-kurangnya tiga (3) daripada Aktiviti Kehidupan Harian. Tempoh Penilaian minimum selama tiga puluh (30) hari adalah digunapakai.

Diagnosis hendaklah disahkan oleh:
(i) seorang doktor pakar yang bersesuaian; dan
(ii) kehadiran jangkitan kuman (bakteria) di dalam cecair serebrospina oleh punktur lumbar.

Untuk definisi di atas, lain-lain bentuk meningitis, termasuk meningitis viral adalah tidak dilindungi.

4. Tumor Otak Benign - Keterukan tertentu

Tumor benign dalam otak atau meninges dalam tengkorak, di mana semua keadaan berikut dipenuhi:
(i) ia mengancam nyawa;
(ii) ia menyebabkan kerosakan otak;
(iii) ia telah dibuang secara pembedahan ataupun ia telah menyebabkan defisit neurologi yang kekal dengan simptom klinikal berterusan; dan
(iv) kewujudannya mesti disahkan oleh pakar neurologi atau pakar bedah neurologi dan disokong oleh imbasan MRI, CT atau teknik-teknik pengimejan lain yang boleh dipercayai.

Berikut adalah tidak dilindungi:
(i) sista;
(ii) granuloma;
(iii) kecacatan dalam atau pada arteri atau vena otak;
(iv) hematoma
(v) tumor di dalam kelenjar pituitary;
(vi) tumor di dalam tulang belakang; dan
(vii) tumor saraf akustik

5. Buta - Kekal dan Tidak Boleh Pulih

Kehilangan penglihatan kekal dan tidak boleh pulih akibat kemalangan atau penyakit sehingga suatu tahap apabila diuji menggunakan alat bantuan penglihatan, penglihatan diukur pada 3/60 atau lebih teruk untuk kedua-dua belah mata menggunakan carta mata Snellen atau ujian yang setara dan keputusan tersebut mestilah disahkan oleh pakar oftalmologi. 

6. Pembedahan Otak

Menjalani pembedahan ke atas otak di mana kraniotomi (pembedahan bukaan tengkorak) dilakukan di bawah anestesia am.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) prosedur lubang gerudi (burr hole);
(ii) prosedur transfenoid;
(iii) prosedur bantuan endoskopik atau lain-lain prosedur invasif secara minimum; dan
(iv) pembedahan otak akibat kemalangan. 

7. Kanser - Keterukan tertentu dan Tidak Melindungi Kanser Tahap Awal
 
Sebarang tumor malignan yang didiagnos positif dengan pengesahan histologi dan bercirikan pertumbuhan sel malignan yang tidak terkawal dan serangan tisu. Terma tumor malignan termasuk leukimia, limfoma dan sarcoma.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) semua kanser yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai berikut:
    (a) pra-malignan;
    (b) bukan invasive;
    (c) karsinoma in situ;
    (d) mempunyai malignan pinggiran (borderline);
    (e) mempunyai potensi malignan;
(ii) semua tumor prostat yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai T1N0M0 (Klasifikasi TNM);
(iii) semua tumor tiroid yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai T1N0M0 (Klasifikasi TNM);
(iv) semua tumor pundi kencing yang secara histologinya diklasifikasikan sebagai T1N0M0 (Klasifikasi TNM);
(v) leukemia Limfositik Kronik kurang daripada RAI Tahap 3;
(vi) semua kanser dengan kewujudan HIV; dan
(vii) sebarang kanser kulit selain melanoma malignan. 

8. kardiomiopati - Keterukan tertentu

Diagnosis muktamad kardiomiopati oleh pakar kardiologi yang menyebabkan kerosakan fungsi ventrikel kekal dan menyebabkan kerosakan fizikal kekal pada sekurang-kurangnya klasifikasi kelas III NYHA mengenai kerosakan jantung. Diagnosis hendaklah disokong oleh hasil penemuan ekokardiografik untuk prestasi ventrikel yang dikompromi.

Kardiomiopati yang berkait langsung dengan penyalahgunaan alkohol atau dadah adalah tidak dilindungi.

Klasifikasi NYHA bagi Kerosakan Jantung untuk Kelas III dan Kelas IV bermaksud seperti berikut:

Kelas III: Aktiviti fizikal yang terhad. Selesa ketika rehat, tetapi aktiviti yang kurang daripada kebiasaan akan menyebabkan simptom-simptom.

Kelas IV: Tidak boleh terlibat dalam apa jua aktiviti fizikal tanpa merasa tidak selesa. Simptom-simptom mungkin muncul walaupun ketika rehat.

9. Anemia Aplastik kronik - mengakibatkan kegagalan kekal tulang sum sum

Kegagalan kekal dan tidak boleh pulih sumsum tulang yang menyebabkan anemia, neutropenia dan trombositopenia memerlukan sekurang-kurangnya dua (2) daripada rawatan berikut:
(i) tranfusi produk darah berkala;
(ii) agen perangsang sumsum;
(iii) agen imunosupresif; atau
(iv) transplan sumsum tulang.

Diagnosis mesti disahkan oleh biopsi sumsum tulang.

10. Koma - mengakibatkan defisit Neurologi kekal dengan simptom Klinikal yang berterusan
 
Keadaan tidak sedar diri tanpa sebarang gerak balas atau tindak balas terhadap rangsangan luar atau keperluan dalaman, yang berterusan untuk sekurang-kurangnya sembilan puluh enam (96) jam, memerlukan penggunaan sistem sokongan hayat dan mengakibatkan defisit neurologi kekal dengan simptom klinikal berterusan. Tempoh Penilaian minimum selama tiga puluh (30) hari adalah digunapakai. Pengesahan oleh pakar neurologi mesti dikemukakan.

Berikut adalah tidak dilindungi:
Koma diakibatkan langsung daripada penyalahgunaan alkohol atau dadah

11. Pembedahan Pintasan Arteri Koronari

Merujuk kepada pembedahan bukaan dada sebenar untuk memulihkan atau merawat Penyakit Arteri Koronari (CAD) dengan cara cantuman pintasan arteri koronari.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) angioplasti;
(ii) teknik intra-arteri yang lain atau teknik berasaskan kateter;
(iii) prosedur lubang kunci (keyhole); dan
(iv) prosedur laser. 

12. Pekak - Kekal Dan Tidak Boleh Pulih.

Hilang Upaya mendengar secara kekal dan tidak boleh pulih akibat kemalangan atau penyakit sehingga suatu tahap kehilangan yang lebih daripada 80 desibel merentasi semua frekuensi pendengaran pada kedua-dua belah telinga. Bukti perubatan di dalam bentuk keputusan ujian audiometri dan ujian ambang bunyi mesti disediakan dan disahkan oleh pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

13. Ensefalitis - Mengakibatkan ketidakupayaan Kekal Untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian.

Keradangan teruk bahan otak, mengakibatkan kecacatan fungsian kekal. Kecacatan fungsian kekal mesti mengakibatkan ketidakupayaan untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) Aktiviti Kehidupan Harian.Tempoh Penilaian minimum selama tiga puluh (30) hari adalah digunapakai. Kejadian yang Dilindungi mestilah disahkan oleh pakar neurologi.

Ensefalitis dengan kewujudan jangkitan HIV adalah tidak dilindungi. 

14. Kegagalan Hati Tahap Akhir

Kegagalan hati tahap akhir dibuktikan oleh semua yang berikut:
(i) jaundis kekal;
(ii) asites (lebihan cecair dalam kaviti peritoneal); dan
(iii) ensefalopati hepatik.

Kegagalan hati berpunca dari alkohol atau penyalahgunaan dadah adalah tidak dilindungi. 

15. Penyakit Paru-Paru Tahap Akhir

Penyakit paru-paru tahap akhir yang menyebabkan kegagalan pernafasan kronik. Semua kriteria berikut mestilah dipenuhi:
(i) keperluan rawatan oksigen berkala secara kekal;
(ii) gangguan kekal pada fungsi paru-paru dengan Isi padu Ekspirasi Paksa (FEV) yang konsisten kurang daripada satu (1) liter pada saat pertama;
(iii) sesak nafas dalam keadaan rehat; dan
(iv) analisis Asas Gas Darah Arteri dengan tekanan oksigen separa sebanyak 55mmHg atau kurang.

16. AIDS dengan gejala penuh

Manifestasi klinikal bagi AIDS (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) mesti disokong oleh keputusan positif ujian antibodi HIV (Virus Kurang Daya Tahan Manusia) dan satu ujian pengesahan. Sebagai tambahan, Peserta/Orang Yang Dilindungi perlu mempunyai kiraan sel CD4 kurang daripada dua ratus (200)/µL dan memenuhi satu (1) atau lebih kriteria berikut:
(i) kehilangan lebih daripada 10% daripada berat badan dalam tempoh enam (6) bulan atau kurang (sindrom susut badan);
(ii) Sarkoma Kaposi;
(iii) Radang Paru-Paru Pneumocystis Carinii;
(iv) leukoensefalopati multifokal progresif;
(v) Tuberkulosis (batuk kering) aktif;
(vi) Kurang daripada seribu (1,000) Limfosit/µL; atau
(vii) Limfoma Malignan. 

17. Hepatitis Viral Fulminan

Nekrosis (kematian tisu hati) yang separa besar (sub-masif) kepada besar (masif) yang disebabkan oleh sebarang virus seperti yang dibuktikan oleh semua kriteria diagnostik yang berikut:
(i) penyusutan saiz hati dengan pantas seperti yang disahkan oleh ultrasound abdomen;
(ii) nekrosis (kematian tisu) melibatkan keseluruhan lobula, meninggalkan hanya satu rangka retikulum;
(iii) ujian kefungsian hati yang semakin merosot; dan
(iv) jaundis yang semakin mendalam.

Jangkitan viral hepatitis atau status pembawa sahaja (termasuk tetapi tidak terhad kepada Hepatitis B dan Hepatitis C) tanpa kriteria diagnostik di atas adalah tidak dilindungi. 

18. Serangan jantung - keterukan tertentu

Kematian otot jantung, disebabkan oleh kekurangan bekalan darah yang telah menyebabkan infarksi miokardium akut dengan semua bukti berikut:
(i) sejarah sakit dada tipikal;
(ii) perubahan ciri baru elektrokardiografik; dengan pembentukan salah satu daripada yang berikut: peningkatan atau penurunan ST, penyonsangan (inversi) gelombang T, patologi gelombang Q atau blok cabang berkas kiri; dan
(iii) peningkatan petunjuk kardium, termasuk CPK-MB melebihi tahap normal makmal yang diterima secara umum atau Troponin yang direkodkan berada di peringkat berikut atau lebih tinggi:
    (a) Troponin T Kardium atau Troponin l Kardium > / = 0.5 ng/ml.

Bukti mesti menunjukkan kejadian infarksi miokardium akut adalah pasti, yang mana seharusnya disahkan oleh pakar kardiologi atau pakar perubatan.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
  • kejadian sindrom koronari akut termasuk tetapi tidak terhad kepada angina tidak stabil; dan
  • peningkatan petunjk kardium akibat daripada prosedur perkutaneus untuk penyakit arteri koronari


19. Pembedahan Injap Jantung

Menjalani pembedahan jantung terbuka untuk menggantikan atau membaiki injap jantung disebabkan oleh kecacatan atau keabnormalan injap jantung.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) pembaikan menerusi prosedur intra-arteri; dan
(ii) pembaikan menerusi pembedahan lubang kunci atau lain-lain teknik yang serupa. 

20. Jangkitan HIV melalui transfusi darah

Jangkitan Virus Kurang Daya Tahan Manusia (HIV) melalui transfusi darah, dengan syarat semua keadaan berikut dipenuhi:
(i) transfusi darah adalah keperluan dari segi perubatan atau diberi sebagai sebahagian daripada rawatan perubatan;
(ii) transfusi darah adalah diterima di Malaysia atau Singapura selepas kuatkuasa Sijil;
(iii) sumber jangkitan adalah didapati daripada institusi yang memberikan transfuse darah atau institusi yang boleh mengesan punca darah yang dicemari HIV;
(iv) Peserta/Orang yang Dilindungi tidak menghidap hemofilia; dan
(v) Peserta/Orang yang Dilindungi bukan ahli mana-mana kumpulan berisiko tinggi termasuk tetapi tidak terhad kepada pengguna dadah intravena

21. Kegagalan buah pinggang - Memerlukan dialisis atau transplan buah pinggang

Kegagalan buah pinggang peringkat akhir yang dikemukakan sebagai kegagalan kronik tidak boleh pulih pada kedua-dua buah pinggang untuk berfungsi, yang mengakibatkan dialisis secara berkala dimulakan atau transplan buah pinggang perlu dijalankan. 

22. Kehilangan Upaya Hidup Sendiri ( Berdikari)

Pengesahan oleh pakar yang bersesuaian mengenai kehilangan upaya untuk hidup berdikari dan mengakibatkan ketidakupayaan kekal untuk melakukan sekurang-kurangnya tiga (3) daripada Aktiviti Kehidupan Harian. Tempoh Penilaian minimum selama enam (6) bulan adalah digunapakai.

23. Hilang Keupayaan Bertutur

Hilang keupayaan bertutur sepenuhnya, berkekalan dan tidak boleh pulih disebabkan oleh kecederaan atau penyakit. Tempoh Penilaian minimum selama enam (6) bulan adalah digunapakai. Bukti perubatan untuk mengesahkan kecederaan atau penyakit kepada peti suara untuk menyokong kehilangan upaya ini mesti diberikan oleh pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT).

Semua sebab yang berkaitan psikiatrik adalah tidak dilindungi.

24. Trauma Kepala Major (Teruk) - Mengakibatkan ketidakupayaan Kekal Untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian.

Kecederaan fizikal di kepala yang mengakibatkan kerosakan kekal terhadap fungsian yang disahkan oleh pakar neurologi. Kerosakan kekal fungsian mesti menyebabkan ketidakupayaan untuk menjalankan sekurang-kurangnya tiga (3) daripada Aktiviti Kehidupan Harian. Tempoh Penilaian minimum selama tiga (3) bulan digunapakai. 

25. Transplan Organ Utama / Sum Sum Tulang

Penerimaan transplan seperti berikut:
  • Sumsum tulang manusia menggunakan sel stem hematopoietik didahului dengan ablasi sumsum tulang menyeluruh; atau
  • Salah satu daripada organ-organ manusia berikut: jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, pankreas yang tidak dapat dipulihkan akibat kegagalan tahap akhir organ yang berkenaan.

Lain-lain pemindahan sel stem adalah tidak dilindungi

26. Penyakit Neuron Motor - defisit neurologi  kekal dengan Simptom Klinikal berterusan.

Diagnosis muktamad penyakit neuron motor oleh pakar neurologi dengan merujuk kepada atrofi otot tulang belakang, bulbar palsi progresif, sclerosis amiotrofik lateral atau sclerosis lateral utama. Mesti ada kekurangan neurologi kekal bersama dengan simptom klinikal berterusan.

27. Sklerosis Multipel

Diagnosis muktamad sklerosis multipel oleh pakar neurologi. Diagnosis mestilah disokong oleh semua perkara berikut:
(i) siasatan yang mengesahkan bahawa diagnosis adalah Sklerosis Multipel;
(ii) defisit neurologi berbilang yang menyebabkan kecacatan fungsi motor dan deria untuk tempoh yang berterusan sekurang-kurangnya enam (6) bulan; dan
(iii) sejarah eksaserbasi dan peredaan bagi simptom-simptom yang disebut dan defisit neurologi yang didokumenkan dengan baik

28. Distofi otot

Diagnosis muktamad Distrofi Otot oleh pakar neurologi dan mesti disokong oleh kesemua berikut:
(i) penampilan klinikal kelemahan otot yang progresif;
(ii) tiada penglibatan saraf tengah/ periferal sebagai bukti untuk kehilangan gangguan sensor; dan
(iii) hasil penemuan ciri-ciri elektromiogram dan biopsi otot.

Tiada manfaat akan dibayar di bawah Peristiwa Dilindungi sebelum Peserta/Orang Yang Dilindungi mencapai umur 12 tahun tarikh lahir berikutnya. 

29. Kelumpuhan Anggota

Hilang penggunaan penuh, kekal dan tidak boleh pulih kedua-dua tangan atau kedua-dua kaki, atau satu tangan dan satu kaki, akibat lumpuh disebabkan oleh penyakit atau kecederaan. Tempoh Penilaian minimum selama enam (6) bulan adalah digunapakai. 

30. Penyakit Parkinson - Mengakibatkan ketidakupayaan Kekal Untuk Melakukan Aktiviti Kehidupan Harian.

Diagnosis muktamad Penyakit Parkinson oleh pakar neurologi di mana semua keadaan berikut dipenuhi:
(i) tidak boleh dikawal dengan ubat-ubatan;
(ii) menunjukkan tanda-tanda kemerosotan progresif; dan
(iii) pengesahan ketidakupayaan kekal Peserta/Orang Yang Dilindungi untuk melakukan tiga (3) atau lebih daripada Aktiviti Kehidupan Harian tanpa bantuan.

Hanya penyakit Parkinson idiopatik sahaja yang dilindungi. Parkinson yang disebabkan oleh ubat-ubatan atau toksik adalah tidak dilindungi.

31. Hipertensi Arteri Pulmonari primer - Keterukan Tertentu

Diagnosis muktamad hipertensi pulmonari primer dengan pembesaran ketara ventrikel kanan yang ditentukan menerusi penyiasatan termasuk kateter jantung, yang menyebabkan kecacatan fizikal kekal sehingga tahap sekurang-kurangnya klasifikasi Kelas III Persatuan Jantung New York (NYHA) bagi kerosakan jantung.

Hipertensi arteri pulmonari disebabkan oleh sebab-sebab lain adalah dikecualikan daripada manfaat ini.

Klasifikasi NYHA bagi Kerosakan Jantung untuk Kelas III dan Kelas IV bermaksud seperti berikut:

Kelas III: Aktiviti fizikal yang terhad. Selesa ketika rehat, tetapi aktiviti yang kurang daripada kebiasaan akan menyebabkan simptom-simptom.

Kelas IV: Tidak boleh terlibat dalam apa jua aktiviti fizikal tanpa merasa tidak selesa. Simptom-simptom mungkin muncul walaupun ketika rehat

32. Penyakit Arteri Koronari Serius

Penyempitan lumen bagi Arteri Koronari Kanan (RCA), Anterior Kiri Arteri Menurun (LAD) dan Arteri Sirkumfleks (tidak termasuk cabang-cabang), berlaku pada masa yang sama dengan minimum enam puluh peratus (60%) dalam setiap arteri seperti yang dibuktikan oleh arteriografi koronari (prosedur diagnostik bukan invasif adalah tidak dilindungi). Penyempitan sebanyak enam puluh peratus (60%) atau lebih pada Stem Utama Kiri akan dianggap sebagai penyempitan Anterior Kiri Arteri Menurun (LAD) dan Areteri Sirkumfleks. Kejadian yang Dilindungi akan dibayar tidak mengira samada sebarang bentuk pembedahan arteri koronari telah dijalankan atau tidak.

33.  Strok / Angin Ahmar - Mengakibatkan defisit neurologi  kekal dengan Simptom Klinikal berterusan.

Kematian tisu otak akibat bekalan darah yang tidak cukup, pendarahan dalam tengkorak atau embolisasi dari satu sumber selain dari kranium yang mengakibatkan defisit neurologi kekal dengan simptom klinikal berterusan. Diagnosis ini mesti berdasarkan kepada perubahan yang boleh dilihat pada imbasan CT atau MRI dan disahkan oleh seorang pakar neurologi. Tempoh Penilaian minimum selama tiga (3) bulan adalah digunapakai.


Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) serangan iskemia sementara (TIA);
(ii) simptom-simptom serebral yang disebabkan oleh migraine;
(iii) kecederaan traumatik pada tisu otak atau salur-salur darah; dan
(iv) penyakit vaskular yang memberi kesan terhadap mata atau saraf optik atau fungsi- fungsi vestibular.

34. Pembedahan Aorta

Menjalani pembedahan menerusi torakotomi atau laparotomi (pembedahan bukaan dada atau abdomen) untuk membetulkan aneurisme aorta, sekatan aorta atau pembelahan aorta. Untuk definisi ini, aorta hendaklah bermaksud aorta di bahagian dada dan abdomen tetapi bukan cabangnya.

Untuk definisi di atas, berikut adalah tidak dilindungi:
(i) angioplasti;
(ii) lain-lain kaedah intra-arteri atau teknik berasaskan kateter;
(iii) prosedur lubang kunci yang lain; dan
(iv) prosedur laser

35. Lupus Eritematosus Sistemik Dengan Komplikasi Buah Pinggang Yang teruk

Diagnosis muktamad Lupus Eritematosus Sistemik yang disahkan oleh pakar reumatologi.

Untuk definisi ini, Kejadian yang Dilindungi akan dibayar jika ia mengakibatkan Lupus Nefritis Jenis III hingga Jenis V, yang dibuktikan oleh biopsi ginjal. Bentuk lain seperti lupus diskoid, atau jenis lain dengan hematologi atau penglibatan sendi sahaja adalah tidak dilindungi.

Klasifikasi Lupus oleh WHO:
Jenis III: Glomerulonefritis Segmen Fokus
Jenis IV: Glomerulonefritis Resap
Jenis V: Glomerulonefritis bermembran

36. Kelecuran Tahap Tiga - Keterukan tertentu.

Lecuran kulit tahap ketiga (iaitu ketebalan penuh) meliputi sekurang-kurangnya dua puluh peratus (20%) daripada jumlah kawasan permukaan badan.

Program ini telah bermula pada 1 Januari 2019. Penerima yang layak boleh membuat tuntuan mulai 1 mac 2019.

Untuk maklumat lebih korang boleh terus ke laman sesawang :

2 comments:

  1. Alhamdulillah meringankan beban rakyat..tapi yang tak masuk golongan kena apply insurans la gamaknya ye?

    ReplyDelete

Terima Kasih Daun Keladi