SHALIMAR YUSOF

Blog ini dibangunkan untuk catatan peribadi dan perkongsian info bersama pembaca semoga mendapat manfaat

Wednesday, May 29, 2019

Percubaan Memasak Menu Mee Bandung Simple Pecahkan Kebuntuan Menyediakan Juadah Berbuka Puasa

Resepi Mee Bandung Cepat Dan Ringkas | Percubaan Memasak Menu Mee Bandung Simple Pecahkan Kebuntuan Menyediakan Juadah Berbuka Puasa. Sebulan berpuasa pastinya pelbagai resepi dicuba kerana ada satu masa kita akan bosan makan makanan ruji seperti nasi dan lauk pauk, begitu juga dengan Sha. Percaya atau tidak inilah kali pertama Sha memasak Mee Bandung, tapi tak tahulah versi negeri mana sebabnya dalam banyak-banyak resepi Sha padankan dengan barangan yang ada dalam peti sejuk di rumah sahaja sebab itulah Sha katakan cepat dan mudah.


Bahan- bahan Mee Bandung

1 paket mee kuning * dicelur
10 ekor udang
2 ekor sotong saiz sederhana
1 biji Bawang Besar *kisar
3 ulas Bawang Putih *kisar
3 sudu besar cili boh
4 sudu besar sos tiram
4 sudu besar sos cili
1 liter air kosong
1 sudu besar tepung jagung
2 sudu kecil garam *jika perlu
2 sudu kecil gula *jika perlu
3 biji telur
Sayur sawi
2 sudu besar minyak masak

Bahan lain

Bawang goreng
Hirisan limau nipis / limau kasturi.

Cara Memasak Mee Bandung

1. Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bahan kisar dan cili boh. Kemudian masukkan sos tiram, sos cili kacau seterusnya air. Biarkan semua bahan sebati dengan api kecil.

2. Masukkan tepung jagung yang sudah dilarut dalam air.

3. Masukkan udang, tunggu hingga menggelegak.

4. Kuah menggelegak pecahkan telur sebiji demi sebiji jangan sampai telur kuning pecah sekali tau.

5. Selepas itu barulah masukkan sotong diikuti dengan sayur sawi yang telah dipotong. Jangan tunggu lama, tutup api.

Akhirnya jadi macam gambar, jangan lupa letak bawang goreng dan perahan limau nipis. Gambar tu pun kurang sebab Sha lupa nak letak semua tu terus ngap! Alhamdulillah percubaan pertama ini tidak mengecewakan.. ewaaahhh,.. Lepas ini kita buat tapi dengan air daging pulak.

Selamat Menjamu Selera.

Tuesday, May 28, 2019

Persiapan Hari Raya Tahun 2019 Serba Ringkas

Persiapan Hari Raya Tahun 2019 Serba Ringkas | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Tahun ini merupakan giliran untuk Sha berhari raya di kampung halaman Sha iaitu di Besut, Terengganu. Alhamdulillah urusan cuti raya Sha dipermudahkan dan tidak terlibat dengan sebarang operasi semasa musim hari raya sepertimana tahun-tahun sebelumnya. Sebaik-baik perancang juga hanya Allah S.W.T sahaja kerana yang menentukan.


Pada hari ahad lepas (26 Mei 2019 ) Mak dikampung maklumkan kakinya luka dan nak ke klinik. Selepas berbuka puasa Adik-adik Sha dikampung membawa ke klinik dan akhirnya terpaksa di rujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut. Seperti biasa Mak akan cakap luka biasa, tetapi adik Sha hantar gambar kaki Mak, membuatkan Sha terkejut kerana ianya telah menjadi hitam.

27 Mei 2019 (22 Ramadan 1440H) Mak ditempatkan di wad sementara bahagian kecemasan untuk pantauan doktor dan pakar di sana. Menurut adik pakar yang terlibat adalah pakar tulang, pakar salur darah dan pakar buah pinggang. Untuk pengetahuan korang, Mak Sha bukan setakat ada kencing manis tetapi ada darah tinggi dan gangguan fungsi buah pinggang , jantung pun lemah juga. Saat ini doktor-doktor yang ada masih dalam perbincangan sementara mereka memasukkan antibiotik ke dalam badan Mak Sha. Ya Allah, tak dapat bayangkan perasaan Mak waktu itu.

28 Mei 2019 (23 Ramadan 1440H) setakat pagi ini Adik Sha maklumkan doktor mungkin buang setakat jari yang rosak sahaja. Rasa bersyukur juga di dalam hati ini kerana mengharap juga tidaklah banyak dipotong kaki Mak. Nanti usahakan untuk baik pulih salur darah Mak yang tidak aktif disebabkan Mak makin kurang pergerakannya menyebabkan salur darahnya tidak lancar.

Sha sekeluarga akan menyambut Syawal dengan lebih sederhana daripada tahun-tahun lepas memandangkan tidak pasti bila Mak dapat keluar dan akan menjalani pembedahan. Korang doakan Mak Sha kuat dalaman dan fizikal yea juga dikurniakan kesihatan lebih baik dari sebelumnya.. Tambah pula tahun ini adalah tahun kedua Sha sekeluarga menyambut Hari Raya tanpa Arwah Ayah bersama.

Terima Kasih Sha titipkan di sini buat Boss, ketua dan rakan sekerja yang memahami keadaan Sha sekarang, Hanya Allah SWT dapat membalas budi baik korang. Semoga urusan korang juga akan dipermudahkan olehNya. Perancangan awal cuti raya Sha bermula isnin depan iaitu 3 Jun 2019 tetapi dengan keadaan begini InsyaAllah Khamis ini ( 30 Mei ) Sha akan mula bercuti untuk bersama adik-adik memberi kekuatan kepada Mak.

Al-Fatihah buat kita, keluarga kita yang masih hidup dan yang telah tiada.

Bas Percuma Untuk Mahasiswa Terengganu Balik Kampung

12 Bas Percuma Untuk Mahasiswa Terengganu Balik Kampung | Assalamualaiku dan salam sejahtera. Alahaiii... agak lama tak kemaskini apa-apa, hari ini Sha hanya nak kongsikan sedikit info tentang balik raya nanti pada adik-adik mahasiawa negeri Terengganu.

Kerajaan negeri melalui Yayasan terengganu menyediakan sebanyak 12 buah bas secara percuma untuk membawa 480 mahasiswa Terengganu yang belajar di luar negeri Terengganu untuk pulang ke kampung halaman sempena menyambut Aidilfitri yang bakal tiba menerusi program Jom Balik Raya Aidilfitri Persatuab Mahasiswa Anak Terengganu.

Pegawai Perhubungan Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) mengatakan bahawa program "Tranung, Mu Tunggu Aku Balik" itu membantu mahasiswa dapat balik beraya bersama keluarga tersayang selain membantu mengurangkan beban kewangan. 12 bas berkenaan dijadual bertolak daripada lokasi yang ditetapkan pada 31 mei ini dan dijangka tiba di perkarangan Yayasan Terengganu pada awal pagi 1 Jun 2019.



Program yang diadakan sejak 7 tahun dulu adalah bertujuan untuk membantu mahasiswa yang tidak dapat balik beraya di kampung kerana kehabisan tiket bas. Bagi pelajar yang tinggal di 6 daerah iaitu Besut, Setiu, marang, Hulu Terengganu, Dungun dan kemaman, Yayasan terengganu akan menghantar mereka pulang ke daerah masing-masing dengan bas percuma juga.

Katanya makanan untuk bersahur juga disediakan sementara mereka pulang ke rumah masing-masing. Bersyukur punya pemimpin yang mengambil berat kekangan yang dihadapi sesetengah pelajar yang tidak semuanya berasal daripada keluarga senang.

Semoga adik-adik menghargai usaha ini dan belajar bersungguh-sungguh, jika suatu hari nanti jadi pemimpin ambillah contoh yang baik sebegini bukan hanya berjawatan gah tetapi tanggungjawab tiada.

Saturday, May 18, 2019

Should we invest in landed property?